Desakan Pemuda UMNO agar pemimpin berusia 60 tahun ke atas khususnya DS Najib meletak jawatan adalah tidak logik. Kekalahan ini meskipun pahit namun tidak perlu menjadi alasan untuk membuang semua kepimpinan sedia ada berusia lebih 60 tahun tanpa ada alasan kukuh.
Kepimpinan bukan senang dan menangguk di air keruh bukan tindakan pemimpin yang berjiwa pejuang dan kasihkan parti.
Peralihan perlu berlaku namun bukan dengan desakan terbuka di saat kita mengalami kekalahan teruk PRU14 yang menyaksikan tsunami undi meranapkan pemerintahan BN / UMNO di negara kita.
Lihat bagaimana pergaduhan sesama bangsa Melayu akibat suara-suara yang menyakitkan hati ini didengar dan telah tersebar ke merata tempat di alam maya.
Kita percaya pemimpin kita berjiwa besar dan tahu bila masa mereka perlu undur dan tidak perlulah desakan liar dibuat untuk menjadi juara dan mengaut untung di kala parti sedang dilanda taufan kebencian oleh rakyat.
Pemuda perlu bersama di saat susah dan senang dan masa ini kita perlu melihat kembali kesilapan yang dilakukan bukan menuding jari kepada sesiapa sahaja termasuk Presiden parti.
Jangan mudah beremosi dan kekalkan semangat perpaduan sehingga tiba masa kita akan bangkit kembali.
Perang media sentiasa berjalan dan usaha kita jangan pernah berhenti.
Masanya akan tiba untuk menunggu peralihan jawatan dalam parti agar perubahan dapat dilakukan sebelum UMNO akan semakin karam dalam tsunami PRU15 akan datang....
Pemuda UMNO Johor desak Najib berundur
JOHOR
BAHRU 11 Mei - Pemuda UMNO Johor mendesak Presiden Parti, Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk berundur dan memberikan peluang kepada muka baharu
yang mampu melakukan perubahan.
Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, Pemuda UMNO negeri juga menggesa
supaya beliau mampu memberikan kerjasama dalam proses transisi tampuk
kepimpinan UMNO.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Najib
Tun Razak atas jasa yang telah diberikan sepanjang beliau menerajui
tampuk kepimpinan parti UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini
sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau yang mewakili 26 Ketua Pemuda UMNO bahagian di
negeri ini turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-72 buat
parti keramat UMNO, parti yang telah sekian lama menjadi wadah
perjuangan orang Melayu sejak dari zaman menuntut kemerdekaan.
Pada masa sama, katanya, mereka turut rasa rendah diri memohon
kemaafan kepada semua ahli UMNO dan jentera parti kerana sebagai
pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO Johor mereka gagal mempertahankan negeri
ini dan parti.
Pemuda UMNO Pulau Pinang Pula Desak Najib Berundur
- Details
- Published on Friday, 11 May 2018 20:51
PULAU PINANG:
Pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini mendesak agar Presiden UMNO,
Datuk Seri Najib Tun Razak segera meletakkan jawatan bagi memberi laluan
kepada pemimpin muda lain yang lebih disayangi rakyat.
Ketuanya, Rafizal Abd. Rahim berkata,
desakan itu bagaimanapun bukanlah dibuat sebagai alasan di atas
kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),
Rabu lalu.
Sebaliknya, beliau mendakwa, Najib
adalah penyebab utama kekalahan tersebut sama ada di peringkat Pusat
atau di peringkat negeri.
“Beliau (Najib) perlu menghayati apa
yang beliau selalu sebut iaitu ‘saya berjiwa besar’ dan segera
menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi UMNO kepada orang yang lebih
layak daripada beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini,
hari ini.
Ujar Rafizal, UMNO kini perlu melalui
satu proses ‘reformasi dalaman’ serta penjenamaan semula agar parti itu
kembali relevan pada PRU-15 nanti.
Tambahan pula katanya, semakin ramai
generasi muda akan menjadi ‘first time voters’ atau pengundi kali
pertama pada PRU berkenaan.
“Maka, dengan penuh rasa rendah diri,
kami (Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang) ingin meminta agar transisi
jawatan Presiden dalam UMNO disegerakan dan diberikan kepada pemimpin
yang lebih muda dan popular dalam kalangan rakyat,” katanya.
- Utusan Online
Pemuda Umno Terengganu desak Najib berundur
Mohd Johari Abu Bakar
KUALA TERENGGANU – Selepas melalui kekalahan dalam PRU14, Pemuda Umno Terengganu hari ini tampil menyuarakan desakan agar Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi laluan kepada pelapis baharu bagi menerajui parti keramat itu.
Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar berkata, perubahan kepimpinan baharu yang dipimpin orang muda penting bagi memastikan Umno kekal relevan selain kelangsungan parti itu pada masa hadapan.
Dalam merealisasikan hasrat itu katanya, trasformasi menyeluruh harus dilaksanakan agar Umno dilihat lebih segar dengan kepimpinan baru dan bangkit berjuang seiring dengan kehendak rakyat Malaysia.
"Permulaan baru untuk Malaysia, suara keramat rakyat telah memilih perubahan yang cukup jelas dan nyata.
"Kekalahan ini adalah mesej jelas dari rakyat bahawa Umno dan BN perlu bermuhasabah sedalam-dalamnya sebelum membuka langkah kehadapan.
"Menuju ke hadapan, kita perlu menjadi gerakan politik yang lebih baik dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan lain, kerana rakyat dan ahli akar umbi adalah denyut nadi kita,"katanya.
Menurut Mohd Johari, BN juga perlu bergerak ke hadapan dan membuat pembaharuan dengan lebih berkesan serta pada masa sama menjadi pembangkang yang lebih hebat dan berbisa.
Pemuda Umno Kedah desak Najib undur
ALOR SETAR - Pemuda Umno Kedah mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak berundur daripada jawatan presiden demi menyelamatkan parti.
Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa, sudah nyata bahawa Najib gagal mentadbir dan mempertahankan kuasa yang dipegangnya.
“Pemuda Umno Kedah konsisten mempertahankan presiden sebelum ini, namun demi kelangsungan parti pada masa hadapan kita mendesak supaya Najib berjiwa besar mengosongkan jawatan beliau demi memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih muda dan berupaya,” katanya.
Menurutnya, Pemuda Umno negeri ini akur dan menerima kekalahan teruk BN pada PRU lalu.
“Pemuda Umno Kedah akur bahawa rakyat telah buat keputusan dan ahli serta kepimpinan parti perlu menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
“Hakikatnya apabila rakyat telah buat keputusan kita kena terima dan berharap kerajaan baru ini dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini,” katanya.
Katanya, terdapat keperluan untuk BN kembali melihat ke hadapan dan buat pembaharuan dengan lebih berkesan dan pada masa sama menjadi pembangkang yang lebih hebat.
“Kita memerlukan perubahan kepimpinan dan pendekatan. Umno dan BN tidak boleh berjaya jika sekadar mempunyai kepimpinan serta cara mengurus seperti yang kita ada hari ini.
“Pemuda Umno Kedah juga menggesa agar ia dilakukan dengan kadar segera. Hakikatnya akar umbi masih setia dan menunggu arahan,” katanya.
Shaiful Hazizy berkata, Pemuda parti tidak sanggup lagi menanggung liabiliti peribadi ini.
“Parti harus bingkas bangun dan melaksanakan transformasi menyeluruh. Harus diingat rakyat sudah menghakimi kita, sudah tentunya kita perlu muhasabah diri dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan,” katanya.
Pemuda Umno Wilayah dan Selangor desak Najib berundur
Sayap pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Selangor turut mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Razlan Rafii berkata pemimpin tertinggi Umno perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Pemimpin tertinggi perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas malapetaka ini dan harus bersedia untuk berundur diri dan seterusnya memberi laluan kepada muka baru mengetuai parti keramat Umno,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ketika dihubungi, Razlan menjelaskan bahawa pemimpin tertinggi yang dimaksudkannya adalah presiden dan pemimpin tetringgi lain.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zakaria turut membuat gesaan serupa.
“Kita tidak bercakap mengenai individu, tapi kita bercakap mengenai masa depan parti (Umno).
“Maka adalah lebih baik supaya beliau (Najib) bertanggungjawab serta berundur supaya satu gerakan pembaharuan dapat dilaksanakan dalam parti,” katanya yang dipetik oleh portal pembangkang Utusan Malaysia.
Awal hari ini, Pemuda Umno Kedah dan Terengganu turut menggesa Najib berundur.
Gesaan itu dibuat ketika Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Khairy Jamaluddin menggesa agar parti diberi nafas baru dibuat secepat mungkin.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Ketua Jelebu Umno Jalaluddin Alias ikut menggesa Najib dan Pengerusi Umno Negeri Sembilan Mohamad Hasan meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Berikan pendapat anda sebanyak di sini.
Komen menyalahi undang-undang akan ditanggung oleh penulisnya..
Tapisan tidak dibuat di blog ini.
Cuma ulasan mencarut dan sewaktu dengannya akan dipadamkan.