Tindakan Keluar UMNO Tidak Wajar.. Seluruh Ahli Mesti Terus Kekal Bersatu – Zahid
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO mengambil berat terhadap perkembangan politik negara ketika ini.
"Selaku Presiden UMNO, saya juga memandang serius situasi yang berlaku terutama kepada parti UMNO sendiri.
"Dalam keadaan ini, saya minta semua pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat agar bertenang, berlapang dada, terus yakin, serta memberikan kepercayaan kepada pimpinan parti bagi menangani keadaan ini."
Katanya, sudah pastilah UMNO sangat kesal, dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO dan terkini YB Datuk Seri Mustafa Mohamed, Ahli Parlimen Jeli dan YB Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Kimanis yang bertindak keluar meninggalkan UMNO.
"Kita perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti. Meninggalkan UMNO ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani. Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki oleh syara'.
"Dalam keadaan ini, saya ingin nyatakan bahawa, atas alasan apapun tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan apatah lagi beliau dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang UMNO berikan.
"Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Maklumnya, parti akan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2018 penghujung bulan ini.
"Saya harap ia tidak melemahkan kita. Malah, saya ingin nyatakan bahawa, selepas PRU-14, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh UMNO untuk mengukuhkan kembali keyakinan dan kepercayaan ahli serta rakyat kepada idealisme perjuangan UMNO.
"UMNO akan tetap dengan asas perjuangan bagi memastikan keadilan sosial dan nilai kesejagatan dikekalkan sejajar dengan faktor kemajmukan di Malaysia.
"Kita tetap menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera serta membela hak semua kaum dalam negara ini. Kerana itu selagi wujud sokongan ramai, UMNO akan terus berjuang dalam apa keadaan sekali pun, biarpun di situasi mencabar ketika ini."
Selaras dengan itu, beliau berharap, isu ini tidak melemahkan apalagi melumpuhkan UMNO.
"UMNO memerlukan loyalis parti untuk terus hidup. Biarlah yang setia kepada semangat perjuangan saja yang tinggal bersama UMNO. Dengan itu, parti dan segala rancangannya akan lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik."
Bagaimanapun katanya, dalam senario sedemikian, UMNO mengambil pendirian menerima keputusan mereka dan kita menghormatinya.
"Kita ucapkan selamat maju jaya. Semoga jalan pilihan mereka akan memberi kepuasan buat diri mereka.
"Kepada semua pimpinan dan ahli parti kita mesti terus kekal bersatu padu dan bersama memastikan parti kekal relevan dalam lanskap politik yang kian mencabar. UMNO ini sebuah perjuangan. Ini mesti di teruskan bersama para pejuang parti yang istiqamah dalam perperjuangan demi agama, bangsa dan tanahair tercinta.
Andalah mata rantai perjuangan yang panjang.
"Saya minta kita merapatkan saf dan melakukan usaha bersama agar UMNO bangkit semula menjadi parti kuat di negara ini. Saya yakin jika kita terus berpadu semua pihak akan menghormati kita," tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – MediaUMNO
6 hours ago
Tiada ulasan:
Catat Ulasan