Warkah terbuka warga Jasa untuk Tun M
SHAH ALAM: Catatan berupa surat terbuka buat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tersebar di media sosial sejak Jumaat lalu.
Surat sembilan perenggan bertajuk Warkah Terbuka Warga Jasa Buat Tun itu dipercayai ditulis mewakili kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang akan diberhentikan selepas jabatan itu dibubarkan berkuat kuasa esok.
"Beberapa hari sahaja lagi riwayat kami akan berakhir sebagai penjawat awam atas arahan Tun. Semakin dekat tarikh 15 Oktober hati semakin gundah-gulana kerana bakal kehilangan satu-satunya punca rezeki untuk menampung keluarga.
"Dengan faktor umur 40 tahun ke atas, siapalah yang hendak menggajikan kami sebagai pekerja mereka, kami perlu bersaing dengan adik-adik yang jauh lebih muda daripada kami.
"Sehingga kini, kami masih lagi tertanya-tanya apa salah dan dosa kami sehinggakan Tun tergamak untuk memberi arahan menamatkan kontrak kami?," tulis surat tersebut. Mereka juga menjelaskan bahawa pekerjaan yang mereka perolehi itu bukan melalui lantikan sebaliknya melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta melalui proses temuduga yang ketat.
Dalam surat itu juga, mereka menuntut janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang mahu menyerap kakitangan terlibat dalam agensi di bawah kementerian.
"Kami merasakan diri kami adalah mangsa mainan politik. Apabila kami sudah diterima bekerja, kami hanya menurut perintah.
"Kami tidak boleh mengatakan tidak kepada arahan yang diberi. Jika tidak mengikut arahan akan diambil tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja.
"Kami berkhidmat untuk kerajaan hari ini. Tahukah Tun bahawa kami merupakan benteng di hadapan yang mempertahankan kerajaan yang ada? Kami merupakan pejuang-pejuang yang berada di belakang kerajaan untuk menyampaikan segala dasar-dasar negara kepada rakyat," katanya.
Mereka juga turut mengingatkan soal penubuhan jabatan itu dilakukan ketika Tun Mahathir menjadi perdana menteri ke-4.
Malah mereka turut mempertikaikan tindakan memberhentikan kakitangan demi menyelamatkan kewangan negara.
"Apakah tindakan ini adalah untuk menyelamatkan kewangan negara? Kalau ya, kenapa pula kami menjadi mangsa? Kami terpaksa berdepan dengan persepsi negatif orang ramai yang mengatakan kami lantikan politik dan patut diberhentikan.
"Tun, di antara kami ini ada yang merupakan ibu tunggal, suami dan bapa yang menjadi satu-satunya punca rezeki keluarga. Terdapat juga yang menghidap menyakit kronik dan memerlukan rawatan susulan setiap bulan. Dimanakah belas ihsan Tun kepada kami?," katanya.
Namun katanya, mereka tetap menaruh harapan agar Tun Mahathir berlembut hati dan memberi sinar harapan kembali buat mereka sekeluarga.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan jabatan akan dibubarkan termasuk Jasa, Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).
Beliau menyifatkan Jasa dan JKKP perlu dibubarkan kerana ia berunsur politik.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan