Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

03 Julai 2014

UMNO Online - Draf Undang-Undang Keharmonian Nasional Belum Dimuktamadkan Lagi – Nancy


Draf Undang-Undang Keharmonian Nasional Belum Dimuktamadkan Lagi – Nancy

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Draf Rang Undang-Undang (RUU) Keharmonian Nasional belum lagi dimuktamadkan kerana ia masih melalui proses konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata justeru, anggapan orang ramai bahawa draf RUU berkenaan telah siap dan akan dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen adalah tidak benar sama sekali.

"Kerajaan tidak akan melakukan sesuatu secara tergesa-gesa mahupun menggubal sesuatu undang-undang yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy, yang kini sedang mengerjakan umrah di tanah suci Makkah, berkata sesuatu draf RUU perlu melalui proses penggubalan yang ketat dan isi kandungannya hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi di Negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sehingga hari ini, Akta Hasutan 1948 masih lagi berkuat kuasa sehingga tarikh pemansuhannya diumumkan kelak, iaitu setelah RUU Keharmonian Nasional atau apa jua nama bersesuaian yang akan digunakan untuk akta itu kelak, diluluskan di Parlimen.

Nancy berkata Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang diurus-setia oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menjalankan konsultasi dengan pihak berkepentingan termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan input mereka.

"Melalui beberapa siri rundingan bersama pihak berkepentingan, Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah MKPN seterusnya menghasilkan tiga draf RUU berkaitan keharmonian nasional untuk dipertimbangkan," katanya.

Beliau berkata hanya apabila selesai semua proses rundingan dan penglibatan, draf akhir RUU yang dicadangkan oleh MKPN akan dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih lanjut.

"Kemudian, barulah ia boleh dibawa untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya.

Nancy berkata beliau juga telah menerima tiga draf RUU untuk diteliti dan dikaji serta setiap cadangan yang dipertimbangkan akan mengambil kira segala aspek yang melibatkan kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini termasuk Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.


http://www.umno-online.my/?p=109064&utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+umnoonline+%28UMNO+Online%29


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate