Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

19 Ogos 2014

Peningkatan Pengaruh Komunikasi Cetus Penyebaran Maklumat Palsu Tentang Islam - Ahmad @Zahid_Hamidi

Embedded image permalink

Embedded image permalink 

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Peningkatan pengaruh komunikasi dan perkongsian maklumat telah meningkatkan keupayaan teknologi sedia ada, dan juga menyaksikan penyebaran maklumat palsu tentang Islam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata penggandaan pengaruh dengan kewujudan teknologi baharu juga mendorong pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan potensi dan peluang untuk eksploitasi.

"Keadaan ini juga telah menyebabkan penyebaran maklumat palsu mengenai Islam, salinan Al-Quran dan hadis dicemari, dan komunikasi yang menyebabkan gangguan sosial dan tarikan kepada kepercayaan secara penyamaran yang jelas bercanggah dengan Islam".

Beliau berkata demikian dalam kertas khas pada Persidangan Dunia mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam 2014 (WCIT2014) bertema "Kebangkitan dan Kejatuhan Tamadun: Kedudukan Kontemporari Hal Ehwal Islam" di sini hari ini.

"Malah, terdapat masyarakat Islam yang telah keluar daripada Islam kerana terpengaruh dengan maklumat palsu yang menawarkan keseronokan jangka pendek kepada mangsa-mangsa yang malang ini, kata beliau.

"Memandangkan potensi ancaman yang wujud dalam era revolusi digital, ia sudah tentu tidak bijak untuk menolak momentum yang tercetus akibat fenomena ini," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata sekarang adalah masa yang sesuai bagi alternatif Islam untuk penyebaran maklumat dalam dunia siber dengan memastikan maklumat yang sahih yang boleh menapis pelbagai laman web yang dapat diterima daripada perspektif Islam.

"Banyak agensi berkaitan perlu mengkaji perkara ini. Antara lain, agensi berkaitan pendidikan, undang-undang, komunikasi, multimedia, keselamatan, pertahanan dan lain-lain," tambah beliau.

Beliau juga mencadangkan Malaysia menubuhkan Hab Inovasi Islam Antarabangsa yang pertama di Kuala Lumpur untuk mengorak langkah ke arah mewujudkan tamadun baharu Islam.

Dunia Islam perlu menguruskan sendiri aset, ulama, saintis, ahli teknokrat, usahawan dan semua umat Islam mestilah menjadi penggerak inovasi yang akan mengeluarkan mereka daripada belenggu pergantungan, kata beliau.

Beliau berkata dunia Islam dan tamadunnya dihormati dan dicontohi kerana ilmunya.

Ahmad Zahid juga berkata dunia Islam perlu mempunyai indeks urus tadbir komprehensif dikenali sebagai Indeks Urus Tadbir Syariah Islam (ISGI).

"Melalui ISGI, kita dapat mengetahui rentak sebenar kita, sama ada kita berada dalam landasan yang lurus atau tidak dan yang penting, sama ada kita secara sistematik menyesuaikan standard kita ke taraf dunia dan pada masa yang sama mematuhi Syariah," kata beliau.

WCIT2014, anjuran Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, menghimpunkan pemikir dan ahli akademik Islam untuk berkongsi ilmu dan pandangan berhubung pelbagai isu daripada perspektif Islam.

Selain Malaysia, peserta adalah dari Algeria, Botswana, Mesir, Indonesia, Jordan, Libya, Nigeria, Oman, Pakistan, Arab Saudi, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman.

-- BERNAMA 


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate