UMNO Kelantan Sokong Zahid Sebagai Presiden UMNO
oleh wartawan BacalahMalaysia.com
UMNO Kelantan mengambil kira dalam segala aspek termasuk atas dasar kepentingan parti bahawa keupayaan watak yang mempunyai daya kepimpinan tertinggi perlu ada dalam diri Presiden UMNO yang baharu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaacob menyifatkan selepas mengambil kira segala aspek dan pertimbangan dalam soal pertandingan jawatan Presiden UMNO, semua peringkat di negeri Kelantan perlu bersama-sama memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon terbaik Presiden.
"Saya mohon semua dalam kalangan kita di semua peringkat bersama sama dengan saya untuk memberikan sokongan kepada beliau (Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden).
"Malahan setelah saya membuat perkiraan di setiap segi berdasarkan kemelut politik hari ini, maka atas dasar kepentingan parti juga mengenal pasti bahawa elemen keupayaan watak (keupayaan kepimpinan tertinggi) perlu dimiliki oleh seseorang Presiden itu.
"Maka atas dasar itulah… pertimbangan yang saya kira lebih baik buat kepada Datuk Seri (Zahid Hamidi)," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang berkata, lantaran kekalahan kita dlm PRU14 yang lalu, tiba-tiba parti telah hilang pedoman dan mula menuding jari sedangkan sebenarnya kita telah terperangkap dalam taktik yang sangat kotor oleh pihak lawan.
"Lebih malang apabila kita mulakan langkah untuk membunuh panglima kita (dalam UMNO) tanpa kita memikirkan bagaimana untuk merapatkan kembali saf kita bagi menghadapi peperangan yang akan datang.
"Kita lupa bagaimana peristiwa perang Uhud takkala tentera Islam tewas dan kemudiannya tentera Islam bangkit semula untuk peperangan yang seterusnya tanpa meminggirkan mana-mana panglima.
"Ternyata panglima dan pasukan yang sama sejak perang Uhud itu telah berjaya memenangkan peperangan tersebut dengan izin Allah SWT," kata Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang.
Tegas beliau, janganlah kita terus terperangkap dengan agenda sesetengah pihak yang masih ada maksud tersirat dalam diri sesetengah orang apatah lagi di dalam parti keramat yang menjadi benteng agama bangsa ini.
"Barangkali ini semua adalah ujian yang belum habis yang terpaksa kita lalui.
"Semuanya ada hikmah di dalam proses mencari pemimpin sejati yang akan membawa dan menerajui kebangkitan semula perjuangan kita semua.
"Moga saudara saudari masih ada keyakinan kepada saya untuk bersama-sama menghadapi dan mendepani situasi getir dalam menyusun semula barisan saf dalam parti dan memilih seorang pemimpin yang sanggup memikul tanggungjawab dan amanah apatah lagi tatkala bahtera UMNO yang karam ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan