5 petugas masjid Perlis letak jawatan bantah pemecatan imam
Isu pemecatan 25 imam masjid di Perlis masih belum reda apabila bantahan dan tekanan terus disasarkan kepada muftinya Dr Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) Dr Hazman Hassan.
Hari ini lima petugas Masjid Saidina Umar al-Khattab di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, meletakkan jawatannya sebagai protes terhadap perkara itu.
Imam masjid itu antara 25 yang dipecat akhir Disember lalu.
Surat peletakan jawatan mereka diserahkan kepada wakil Jaips dalam satu himpunan bantahan di perkarangan masjid itu selepas sembahyang Jumaat hari ini, yang disertai kira-kira 100 orang.
Mereka yang meletakkan jawatan adalah dua bilal, dua siak dan seorang penjaga kariah.
Menurut jurucakap penganjur, himpunan diadakan selepas pihaknya gagal berunding dengan Jaips yang menurutnya masih belum memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
"Perhimpunan ini diadakan sebagai membantah tindakan kurang sihat Jaips termasuk mufti yang memecat imam mengikut nafsu mereka.
"Pihak kami juga tidak berpuas hati kerana sehingga kini pihak yang berwajib masih gagal memberi penjelasan sewajarnya.
"Alasan yang diberikan bagi memecat imam-imam berkenaan adalah tidak masuk akal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain di Masjid Saidina Umar al-Khattab, beliau berkata protes sama turut diadakan di sembilan lagi masjid di negeri itu hari ini.
Pemecatan mereka dimaklumkan menerusi sepucuk surat oleh Maips pada 31 Disember lalu. Ia berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Dalam surat itu, Jaips memaklumkan ia diputuskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) pada 6 Disember lalu.
Dua bekas imam mendakwa pemecatan berpunca daripada amalan seperti berzikir beramai-ramai selepas solat, membaca qunut, membaca Yasin pada malam Jumaat dan berselawat ketika solat tarawih.
Mohd Asri bagaimanapun menafikan perkara itu dan berkata ia dilakukan terhadap imam yang lanjut usia agar dapat digantikan dengan yang lebih muda.
Beliau turut membangkitkan masalah imam yang tidak mampu membaca al-Quran dengan sempurna, dikaitkan dengan disiplin, tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat disediakan, membawa penceramah luar dan menyentuh isu politik dalam ceramah di masjid.
Selain pemecatan 25 imam, lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan