KUALA TERENGGANU 29 Jan. - Para penulis blog dinasihati agar menghindari budaya fitnah kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah merugikan bangsa dan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, paling teruk apabila penduduk tempatan terpengaruh dengan berita-berita berunsur fitnah melibatkan pemimpin di negeri mereka yang dimuatkan dalam pelbagai blog.
Katanya, fitnah dan pembohongan dalam penulisan terutama berkaitan isu sosial dan politik mampu mencetuskan kontroversi dan reputasi buruk terhadap sesebuah kerajaan.
"Saya mahu penulis blog lebih bertanggungjawab dengan apa yang dipaparkan iaitu melalui penyiasatan yang dibuat terlebih dahulu bagi mengetahui sama ada ia benar atau sebaliknya.
"Justeru itu, bagi pihak kerajaan, saya sedia bekerjasama dengan penulis blog dalam memberi sumber-sumber dan maklumat yang tepat mengenai pembangunan negeri Terengganu untuk bahan blog anda," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Bersama Blogger di Kediaman Seri Iman dekat sini, semalam.
Pada majlis tersebut kira-kira 80 penulis blog dari seluruh negara berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar itu bagi bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat dan Pengarah Unit Komunikasi negeri, Shamsuddin Sulong.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin politik sering menjadi mangsa fitnah dalam sesebuah kerajaan negeri, selain dipertanggungjawab atas apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawai mereka.
Jelasnya, akibat daripada penyebaran fitnah itu, sesebuah kerajaan boleh jatuh dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa.
"Apabila pemimpin politik dijatuhkan akibat fitnah, rakyat yang rugi kerana apa yang dirancangkan tidak dapat diteruskan di masa depan kerana mereka tidak lagi menjadi pemimpin," ujarnya.
Sementara itu, dalam sesi dialog bersama penulis blog berkenaan, Ahmad turut menghargai sumbangan 300 daripada 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu merancakkan pembangunan di Terengganu.
Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2 juta untuk diagihkan kepada semua NGO bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan masing-masing. -utusan
Nasihat MB Terengganu ini sememangnya tepat dengan kehendak YAB Perdana Menteri agar blogger menulis dengan fakta bukan fitnah.
Jangan jadikan budaya menfitnah sebagai asas penulisan blogger kerana ia akan merugikan agama bangsa dan negara kita jua.
Jadilah blogger yang menulis dengan jujur berdasarkan pandangan peribadinya dan jangan jadikan habuan dunia sebagai pembakar semangat untuk menghentam sesiapa yang tidak disukai.
Dalam jihad siber hari ini, elakkan menjatuhkan sesama sendiri dan sewajarnya sesiapa sahaja yang membawa adu domba untuk memburukkan rakan seperjuangan yang berlainan 'batalion' maka orang ini adalah musuh dalam selimut yang SANGAT BERBAHAYA.
Mari hayati dengan lapang dada dan bertaubatlah sebelum satu persatu Allah akan tunjukkan balasan perbuatan jahat kita di dunia lagi sebelum dibalas bakinya di akhirat sana.
Tanda kita ikhlas berjuang ialah merasa gembira apabila rakan semakin berjaya dalam perjuangan bukan semakin benci dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka lalu menabur fitnah untuk merosakkannya.
Jika hati sudah mati, apa guna lagi nasihat dan peringatan. Jika hati sudah terlalu hitam sudah tentu perkataan yang busuk lagi hanyir juga yang dilafazkan.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua Insya Allah.
Terima kasih atas undangan MB Terengganu ke sana namun Panglima ada hal lain yang perlu dibereskan sehingga tidak dapat sertai program tersebut. Program bersama MB Perak juga tidak dapat disertai kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.
Banyak dengar cerita sepanjang bloggers berada di sana yang tidak perlulah ditulis di sini. Yang penting info tersebut akan sampai ke telinga yang sepatutnya mendengar dan mengetahui apa terjadi.
Terima kasih.
Pesanan : satu group fb baru nama 'Facebooker 1Malaysia' telah diwujudkan oleh Panglima pada 6.6.2011. Sasaran 1 Juta sebelum 13 Julai 2012. Sila klik di sini http://on.fb.me/kFnvGS untuk join dan mohon jasa baik anda untuk disebar kepada kawan2 Fb anda. Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan