Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

30 September 2012

Kisah Ibu Diuji Allah Dengan Tujuh Anak Penagih Dadah


7 anak penagih


Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

am@hmetro.com.my





KERIAN: Hancur luluh hati seorang ibu apabila mendapat tahu semua tujuh anaknya adalah penagih dadah tegar hingga menyebabkan dia dicaci masyarakat yang menuduhnya tidak pandai mendidik anak.

Wanita malang itu, Zawiyah Osman, 68, berkata, aktiviti tujuh anaknya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah cukup menyedihkan, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menasihati anak-anaknya itu.

Lebih menyedihkan apabila empat dari tujuh anaknya itu meninggal dunia satu persatu kesan pengambilan dadah secara berlebihan.



“Saya tidak segan berkongsi pengalaman duka dialami kerana inilah takdir dalam hidup saya. Berat mata memandang, berat lagi bebanan jiwa yang saya tanggung selama ini.

“Walaupun semua anak mak cik penagih dadah, naluri keibuan dan kasih sayang saya kepada anak tidak pernah luntur. Mak cik tetap mengambil berat dan menjaga mereka,” katanya ketika ditemui pada sesi rawatan dan pemulihan penagih dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pada sesi itu, Zawiyah membawa seorang anaknya, Fauzi, 30-an, untuk mendapatkan rawatan pemulihan daripada pihak AADK.

Dia yang juga seorang ibu tunggal mendakwa anaknya tidak pernah menyusahkan atau mencuri barang berharga miliknya walaupun bergelar penagih dadah.

“Walaupun mereka penagih tegar, semua mereka tidak pernah menyusahkan saya atau penduduk kampung.

“Mak cik tidak pernah berhenti menasihati mereka untuk berubah dan kembali menjadi manusia normal. Malangnya hati mereka tidak terbuka untuk kembali ke pangkal jalan sebelum ini,” katanya.

Dia mendakwa terpaksa mengorbankan segala yang dimiliki demi menjaga anaknya terutama membabitkan kos rawatan pemulihan supaya anaknya menjadi insan berguna.

“Namun, hajat mak cik tidak kesampaian apabila empat anak mak cik meninggal dunia satu persatu akibat bahana dadah. “Bagaimanapun, mak cik bersyukur kerana masih ada tiga lagi anak yang sedang menjalani rawatan pemulihan dadah. Makcik harap mereka dapat berubah dan tidak mengulangi kesilapan lalu,” katanya.

Sementara itu, Fauzi yang ditemui berkata, dia menyesal dengan penagihan dilakukan itu dan mendakwa ia berpunca daripada hasutan rakan yang juga penagih dadah.

Dia yang baru melangsungkan perkahwinan lima bulan lalu berhasrat untuk berubah demi ibu dan isteri tercinta.

“Saya sudah muak menjadi penagih dadah dan mahu kembali ke pangkal jalan. Hanya ini saja cara saya membalas jasa dan kesabaran ibu selama ini,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28

http://www.hmetro.com.my/articles/2012092807575020120928075750/Article

Panglima : kerana itu dadah merosakkan bukan sahaja diri tetapi keluarga. Ketagihan akan membuatkan manusia merosakkan diri sehingga mati akibat dadah ini. Jangan sesekali kita menghampiri atau membiarkan penagih mendekati ahli keluarga kita. Seseorang akan mengikut budaya atau agama sesiapa yang dijadikan teman rapatnya sabda Nabi saw.

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate