Pengikut Blog Panglima

21 September 2013

Ku Li Elok Bertanding Majlis Tertinggi

Kiriman Email



 

Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li secara terbuka mengakui bahawa beliau masih mempunyai hasrat untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO kali ini.  Sebagai seorang veteran dan berjasa pula, ramai yang melihat satu-satunya jawatan yang sesuai wajar ditandinginya ialah jawatan tertinggi. 

 

Namun, begitu Ku Li menafikan ingin bertanding jawatan tertinggi tetapi tidak keberatan bertanding jawatan yang lebih rendah. 

 

Kenyataan Ku Li ini dilihat sebagai cerminan kematangan orang lama yang tidak terbawa-bawa dengan kerakusan untuk berkuasa tetapi berpijak di bumi nyata.  Dengan usia yang mencecah 76 tahun, pastinya berebut kuasa bukanlah perkara mengujakan bagi Ku Li.  Lagipun, UMNO tidak memerlukan pertandingan sengit yang mampu memecahbelahkan parti pada dan ketika ini. Apatah lagi dalam keadaan UMNO amat memerlukan tenaga muda dan segar untuk kekal relevan dalam arus politik semasa.   

 

Walaupun tenaga muda itu penting bagi UMNO, parti ini turut memerlukan semangat dan kematangan orang-orang lama.  Pengalaman orang-orang lama terlalu berharga untuk diketepikan seratus peratus.  Justeru, minat Ku Li untuk terus berkhidmat di dalam UMNO dan bertanding dalam pemilihan tidak harus dipandang sinis. 

 

Memandangkan penggal ini dilihat sebagai penggal terakhir untuk Ku Li bertanding, maka inilah disarankan agar Ku Li bertanding Majlis Tertinggi UMNO yang mana dilihat lebih sesuai untuknya. Dengan cara ini, UMNO akan berpeluang mendengar pendapat dan nasihat orang lama yang pastinya berguna untuk dijadikan panduan. 

 

Kekuatan Ku Li bukanlah calang-calang.  Beliau telah menyandang jawatan Ketua Bahagian Gua Musang sejak 1962 iaitu selama 51 tahun.  Ini sekali gus menunjukkan bahawa beliau semestinya seorang pemimpin yang berkesan bagi rakyat kawasannya.  Sekiranya beliau berada dalam MT UMNO, maka kekuatan dan keberkesanan kepimpinan beliau tentu sekali boleh dimanfaatkan oleh semua. 

 

Bagaimanapun, terpulanglah kepada Ku Li untuk menentukan langkah seterusnya.  Apa yang pasti, barisan kepimpinan UMNO cukup terbuka untuk menerima cabaran dari sesiapa sahaja. 



Panglima : sokong Ku Li diberi tempat dalam parti 


Sent from my iPhone
Catat Ulasan