PUTRAJAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk mengeluarkan satu perenggan dalam penghakiman bertulis mahkamah persekutuan yang menyatakan beliau mempunyai kecenderungan homoseksual.
Anwar memfailkan permohonan itu pada Mei tahun lalu, iaitu 10 tahun selepas beliau dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah persekutuan daripada tuduhan meliwat pemandu peribadi keluarganya, Azizan Abu Bakar.
Panel lima hakim mahkamah persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak permohonan itu.
Korum berkenaan turut dianggotai Datuk Seri Zaleha Zahari, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.
Ketika membuat keputusan itu, Zulkefli berkata, Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang menyediakan penghakiman bertulis tersebut telah mendapati bukti yang mencukupi sebelum menyediakan penghakimannya.
Menurutnya, hakim-hakim mahkamah persekutuan ketika itu sebulat suara membuat keputusan bahawa salah laku homoseksual itu berlaku namun hanya terdapat keraguan bilakah ianya berlaku.
Menurut Zulkefli, mahkamah itu mempunyai kuasa budi bicara di bawah peraturan 137 Undang-undang Mahkamah Persekutuan (RFC) yang perlu dilaksanakan secara berhati-hati dalam kes-kes luar biasa yang mana satu ketidakadilan ketara mungkin berlaku.
"Azizan tidak berbohong, sebaliknya mungkin terlupa kerana kejadian itu berlaku beberapa tahun sebelum, tidak seperti kebanyakan kes seksual, dan dia (Azizan) tidak membuat laporan polis segera.
"Kita tidak akan pergi sehingga peringkat ini untuk menyatakan kenyataan Azizan adalah tidak boleh diterima atau dipercayai, namun kami menyatakan bahawa beberapa kenyataan itu adalah diragukan dan tidak konsisten, maka kita perlu mencari bukti yang nyata," katanya.
Beliau berkata, Azizan mengakui kejadian itu. Walaupun ragu bila waktunya berlaku, dia merupakan mangsa kejadian.
Anwar memohon untuk memadam satu perenggan dalam penghakiman bertulis mahkamah persekutuan terdahulu berhubung kes liwat pertamanya atas alasan perenggan itu merosakkan reputasi dan secara berterusan digunakan untuk merujuk dirinya sebagai pelaku homoseksual.
Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah, semasa hujahannya pada 2 Disember tahun lalu menyatakan perenggan itu diterbitkan secara meluas dan digunakan oleh pihak tertentu sebagai justifikasi bagi mengutuk anak guamnya sebagai pengamal seks songsang.
Sementara itu, semasa hujahan balas, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, berhujah bahawa permohonan semakan ditolak atas alasan mahkamah hanya boleh menyemak keputusan terdahulu sedangkan Anwar memohon memadam satu perenggan dalam penghakiman yang telah memihak kepadanya.
Anwar dibebaskan oleh mahkamah persekutuan pada 2 September 2004, dalam keputusan majoriti 2-1, daripada pertuduhan meliwat Azizan.
Mahkamah persekutuan itu membatalkan keputusan mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Anwar.
Panel mahkamah persekutuan yang sama turut membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun ke atas adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibicarakan bersama-sama Anwar atas dakwaan meliwat Azizan di Tivoli Villa di Kuala Lumpur pada 1994.
Sementara itu, sejurus keputusan dibuat, Anwar bangun dari kerusinya dan berkata: "Asalkan kes Anwar Ibrahim, mesti kalah..." sebelum mendapatkan peguamnya.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan