Apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad mencadangkan supaya isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dibincangkan di Perhimpunan Agung UMNO November ini, ada pihak tertentu menganggap beliau menghasut. Tetapi saya melihat Mohamad Azli jujur dan realistik tentang bahaya SJKC dalam konteks hubungan kaum dan ini tidak boleh ditutup lagi.
Selama ini pun banyak pihak sedar bahawa SJKC menjadi pemangkin melebarkan jurang kaum khususnya antara Cina dan kaum teras iaitu Melayu. Tetapi kerana menjaga kepentingan politik, tidak ada pihak yang berani atau sanggup memalaysiakan sistem pendidikan SJKC. Kononnya SJKC tidak boleh dicuit kerana boleh menjejaskan kelangsungan politik Barisan Nasional (BN).
Sebenarnya kita pula telah lama 'berkorban' membiarkan jurang kaum melebar kerana mengharapkan keuntungan politik yang tidak pasti. Walau apa sekalipun hakikatnya tidak ada negara yang mengizinkan generasi muda Cina diasingkan daripada budaya kaum teras melalui sekolah vernakular. Tidak ada. Di Singapura yang dianggap 'negara Cina' juga tidak ada sekolah vernakular.
Saya sangat bersetuju dengan Menteri Dalam Negeri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bercakap atas kapasiti peribadi bahawa sudah tiba masanya dilaksanakan sekolah satu aliran. Tetapi apabila melihat beberapa perkembangan politik muktahir, saya tidak fikir kerajaan serius memikirkan gagasan sekolah satu aliran. Apa lagi persatuan Cina, Dong Zong yang cauvinis mendesak kerajaan mengiktirafkan Sijil Sekolah Menengah Cina. Apakah ini juga akan menjadi kenyataan?
Kajian
Dalam satu kajian yang dibuat oleh sarjana tempatan, Prof. Dr. Teo Kok Seong mendapati 604 pelatih (Cina dan India) daripada 14,000 pelatih di 79 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun 2010 tidak boleh bertutur bahasa Melayu. Nisbahnya sangat besar dan inilah 'sumbangan' sekolah vernakular dalam konteks perpaduan yang kita laung-laungkan. Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru tiga bulan sudah boleh berbahasa Melayu.
Bagi saya isu SJKC sudah lapuk. Ia menjadi lapuk kerana tidak ada ruang untuk dibahaskan di pentas intelektual. Semua ruang penuh dengan prejudis dan kepentingan politik. Sekolah vernakular yang terus wujud dan diberi bantuan kewangan adalah suatu yang sangat tidak masuk akal. Tetapi bagi Zong Dong peruntukkan untuk SJKC masih belum cukup. Ini lagi tidak masuk akal.
SJKC menjadi pemangkin kepada sebahagian besar orang Cina yang memilih pengasingan atau mengasingkan diri daripada menerima sosio-budaya etnik Melayu. Pengasingan ini berlaku secara besar-besaran terutama apabila pengaruh politik Cina yang semakin besar pada pasca Pilihan Raya Umum Ke -12 (PRU-12). Malah parti politik Cina yang bertentangan ideologi boleh duduk semeja mempertahankan SJKC. Tidak adakah dalam kalangan pembuat dasar yang boleh membaca mesej ini?
Barangkali ini ada kaitan dengan sejarah silam abad ke-19 dan awal abad ke-20 dulu ketika nenek moyang kaum Cina yang ada di negara ini datang dari China. Pada awal abad ke-19, berlaku pergolakan politik yang hebat di China dan etnik Han yang menjadi majoriti di negara itu mencari tempat lain yang lebih aman serta dapat menambah kekayaan.
Etnik Han di utara China mencari penempatan baharu dan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kaya dan bangsawan. Mereka tidak boleh lagi meneruskan hidup dengan mewah akibat ditekan oleh Manchuria serta peperangan dengan Jepun atau Sino-Japanese War. Etnik dari utara ini memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.
Sementara etnik Han di selatan pula memilih Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu. Tetapi hasrat mereka berhijrah dengan etnik di utara berbeza. Mereka berhijrah untuk mencari kekayaan dan bukan untuk menetap di Tanah Melayu pada mulanya. Mereka berhasrat untuk pulang ke China suatu masa nanti dengan membawa kekayaan yang diraih di Tanah Melayu.
Saya ada membaca tentang Ru Xiang Sui Su, satu falsafah Cina yang mengingatkan supaya orang yang datang dari luar milieu setempat menyesuaikan diri dengan budaya dan sosial di tempat baharu itu. Inilah yang menjadi pegangan generasi awal Cina yang berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan dan negara-negara Eropah.
Tetapi malangnya sesetengah orang Cina di negara ini tidak lagi berpegang kepada falsafah Ru Xiang Sui Su ini. Mungkin dianggap lapuk dan menghakis 'kecinaan' mereka. Hasilnya mereka sengaja tidak mahu menyesuaikan diri dengan budaya kaum teras di negara ini. SJKC menjadi benteng supaya orang Cina tidak diserapi milieu sosial yang berbeza dengan tanah asal nenek moyang mereka.
Saya sangat berharap isu jurang kaum ini dapat ditangani dengan penuh hemah, bertanggungjawab dan mengetepikan kepentingan politik. Kerajaan wajar menegaskan bahawa isu SJKC bukan satu tindakan politik dan tidak harus dibiarkan pihak tertentu membina persepsi ke arah itu. Kali ini isu SJKC menjadi tanda aras kesungguhan kita sama ada mengutamakan perpaduan bangsa Malaysia atau terus hipokrit untuk kepentingan politik.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/memalaysiakan-semangat-sistem-pendidikan-sjkc-1.16787#sthash.QO9IQuuK.dpuf
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan