Pengikut Blog Panglima

02 Oktober 2015

Besan TPM @Zahid_Hamidi Nafi Fitnah Blogger Salah Guna Dana Awam

Chairul Anhar


SHAH ALAM - Besan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Chairul Anhar menjelaskan bahawa pihak pengantin perempuan yang menyediakan majlis resepsi bagi anak menantunya, sekaligus menafikan dakwaan mengatakan majlis itu menggunakan dana awam.

Katanya, mereka mengadakan majlis berkenaan di ‎Hotel Ritz Carlton, Jakarta pada 19 September lalu berikutan jadual Timbalan Perdana Menteri itu melawat Indonesia.

"Sebagai ayah, semestinya saya yang mengadakan majlis berkenaan dan membiayai sepenuhnya.

"Saya ahli perniagaan di Indonesia dan Malaysia, tentu memiliki kawan-kawan yang ramai. Semua tetamu yang datang baik dari Malaysia dan Indonesia, adalah jemputan saya sepenuhnya.

"Sekali lagi saya tegaskan, acara saya ini adalah dari pihak pengantin perempuan. Bukan acara besan saya Datuk Seri Dr (Ahmad) Zahid Hamidi," katanya kepada Sinar Harian.‎

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan sebuah blog yang mendakwa Ahmad Zahid menggunakan dana awam bagi mengadakan resepsi anaknya di Jakarta.


Perkara berkenaan juga dinafikan Timbalan Perdana Menteri semalam.

Mengulas lanjut, Chairul yang sudah lebih 20 tahun menjalankan perniagaan di Malaysia berkata, waktu pelaksanaan dipilih berdasarkan kunjungan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke Indonesia.
"Kami pihak pengantin perempuan yang menyesuaikan dengan jadual waktu kunjungan beliau ke Jakarta kerana beliau sangat sibuk dengan tugas kenegaraan Malaysia dan tidak mahu mengambil cuti khusus untuk resepsi anak.

"Saya fikir pertimbangan Datuk Seri sangat bijaksana. Beliau sayangkan waktu untuk menjalankan tugas-tugas negara yang mulia.

"Demi penyesuaian waktu dan jadual kunjungan TPM ke Jakarta menyebabkan jarak antara pernikahan di Kuala Lumpur pada 26 Julai dan resepsi di Jakarta sangat jauh iaitu 19 September lalu," katanya.

‎Dalam pada itu, beliau menyifatkan pihak menuduh Timbalan Perdana Menteri menggunakan dana kerajaan bagi membiayai majlis resepsi‎ anaknya di Jakarta sebagai fitnah yang sangat kejam.

Katanya, beliau berdoa agar dosa mereka mendapat keampunan daripada ALLAH.



Catat Ulasan