Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

02 Oktober 2015

TPM @Zahid_Hamidi : Malaysia Sedia Bantu 3,000 Pelarian Syria

PUTRAJAYA, 1 Okt -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada hadirin di majlis penyampaian dokumen dan sijil penghargaan kepada orang ramai sempen Hari Pendaftaran Negara di Bangunan JPN, Khamis. 
 --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA




KUALA LUMPUR– Malaysia akan menawarkan penempatan dan peluang pekerjaan sementara kepada 3,000 pelarian Syria serta akses pendidikan kepada anak-anak mereka semasa berada di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penerimaan pelarian berkenaan menunjukkan sikap keperimanusiaan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap nasib yang menimpa rakyat Syria.

“Yang penting adalah perlindungan kepada mereka dan keluarga, dan kita akan memikirkan beberapa pendekatan tentang memberikan pendidikan untuk anak-anak mereka juga.

“Kita gunakan pengalaman lalu supaya penempatan, pendidikan dan peluang pekerjaan sementara dapat diberikan kepada mereka sehingga keadaan (kembali) aman di Syria dan mereka dapat pulang ke negara asal,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Ekstremisme Ganas di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika berucap pada sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Khamis, mengenai kesediaan Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Najib berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat Syria terpinggir yang melarikan diri dari negara mereka dalam jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia mempunyai pengalaman dalam memberikan bantuan kepada rakyat negara bergolak termasuk Bosnia Herzegovina sehingga diberikan pujian di peringkat antarabangsa.

“Kita dapat lihat pelajar Bosnia ketika itu yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa kini sudah menjadi pemimpin utama di Bosnia dalam politik dan korporat serta (ada juga yang menjadi) profesional,” katanya.

Justeru itu, katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama perlu memberikan sokongan kepada rancangan Malaysia membantu rakyat Syria berkenaan.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Imigresen akan menguruskan kemasukan pelarian Syria melalui Akta Imigresen sedia ada.

Ahmad Zahid berkata kementerian juga akan mengadakan kerjasama dengan International Organisation for Migration dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mengeluarkan kad pelarian yang mempunyai ciri-ciri keselamatan.

Ditanya bila pelarian berkenaan tiba di Malaysia, katanya beliau akan mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai perkara itu dengan Perdana Menteri selepas beliau pulang dari luar negara.

“Lokasi penempatan rakyat Syria berkenaan juga belum diperincikan,” katanya.


— BERNAMA






http://selangorpost.com/?p=8256

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate