Pengikut Blog Panglima

30 Oktober 2015

Jangan salahkan KDN kegagalan saring pengawal



 
Ahmad Zahid Hamidi
LANGKAWI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh dipersalahkan atas kegagalan sebuah syarikat kawalan keselamatan untuk membuat saringan ke atas pekerja mereka yang mempunyai rekod jenayah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata semua syarikat kawalan keselamatan telah diberikan garis panduan tentang tanggungjawab yang perlu dipenuhi mereka dalam mengambil pekerja.

"KDN telah menetapkan syarat-syarat ketat berhubung pengambilan pekerja oleh syarikat kawalan keselamatan seperti mewajibkan ujian saringan bagi tiap-tiap individu (yang memohon menjadi pengawal keselamatan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Asean Mengenai Dadah ke-4 di sini hari ini.

Katanya KDN turut menjalankan proses pengauditan terhadap semua syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes seorang pengawal keselamatan yang menjadi suspek kes rogol dan bunuh seorang pelajar tingkatan lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Ahad lepas.

Suspek berkenaan yang dikatakan mempunyai rekod penagihan dadah berjaya diberkas beberapa jam selepas mayat Intan Suraya Mawardi,17 ditemukan oleh bapanya dalam keadaan berlumuran darah di atas katil di dalam biliknya kira-kira jam 7.30 malam.

Ahmad Zahid berkata KDN yang telah mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap  syarikat berkenaan sehari selepas kejadian itu dan telah memberikan tempoh tujuh hari untuk memberikan jawapan.

Menurutnya. jika syarikat itu gagal menjawab dalam tempoh itu atau memberikan jawapan yang tidak memuaskan, tindakan untuk membatalkan pendaftaran mereka akan dilaksanakan.

Katanya kementeriannya tidak akan bertolak-ansur dalam tindakannya sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian di pihak syarikat berkenaan dalam proses pengambilan pengawal keselamatan mereka.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang didapati cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-salahkan-kdn-kegagalan-saring-pengawal-1.445705
Catat Ulasan