Tidak
tegas punca ideologi IS mudah meresap
BH:Boleh Datuk jelaskan pengaruh dan ancaman kumpulan
militan IS di Malaysia ketika ini?
Ayub
Khan: Berdasarkan operasi, siasatan dan pengumpulan data yang kita buat setakat
ini, tidak ada sebarang tanda menunjukkan ancaman IS berkurangan. Sejak
Februari 2013 hingga 26 April lalu, jumlah anggota IS yang ditangkap ialah 107
orang. Daripada jumlah itu, 87 adalah lelaki dan 20 perempuan. Seramai 15 orang
pula warga asing, bakinya warga tempatan. Statistik rakyat Malaysia yang
berlepas ke Syria juga meningkat sekali ganda.
Sejak
Januari hingga Jun 2014, jumlahnya 30 orang dan Julai ke Disember meningkat
kepada 60 orang. Jumlah terbaru kita kenal pasti dianggarkan 80 orang. Trend
ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, tapi ia menjadi trend global. Kita dapati
pengaruh IS semakin hari semakin bertambah dan semakin ramai hendak
menyertainya di Syria.
BH:
Berdasarkan siasatan ke atas suspek yang ditahan itu, apakah matlamat dan
perancangan mereka di negara ini?
Ayub
Khan: Ancaman IS kini sudah masuk ke fasa kedua. Dalam fasa pertama, mereka
hanya terbabit dalam usaha merekrut, penyebaran ideologi, pengumpulan dana dan
penghantaran rakyat ke Syria. Kini mereka merancang untuk melancarkan serangan
di Malaysia. Ini terbukti menerusi tangkapan pertama pada 5 April lalu
membabitkan 17 suspek ketika sedang bermesyuarat bagi merancang melancarkan
serangan dengan merompak senjata api di balai polis dan kem tentera. Mereka
juga merancang menyerang pusat hiburan dan bangunan kerajaan kerana bagi
mereka, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara kufar, bukan negara Islam.
Pada 25 April pula, 12 suspek berjaya diberkas. Mereka sudah memiliki bahan
untuk diadun bagi dijadikan bahan letupan. Berdasarkan analisis daripada unit
bom, letupan yang hendak dihasilkan itu mampu memberi kesan kemusnahan seluas
500 meter.
BH:
Dari mana mereka mendapat arahan untuk menyerang ini?
Ayub
Khan: Fasa kedua ini berlaku selepas jurucakap IS, Abu Muhammad al-Adnani
mengeluarkan kenyataan menggesa sesiapa yang bersimpati dan bersetuju dengan
perjuangan IS, tidak perlu datang ke Syria. Mereka boleh melancarkan serangan
di negara masing-masing khasnya negara yang dianggap bukan negara Islam. Itu
yang menyebabkan berlaku serangan persendirian seperti di Amerika Syarikat
(AS), Kanada, Belgium dan New York. Itulah yang cuba dilakukan kumpulan suspek
yang ditahan di Gunung Nuang baru-baru ini. Mereka hendak menyahut seruan Abu
Muhammad al-Adnani.
BH:
Apakah tarikan ideologi IS ini sebenarnya sehingga berjaya mempengaruhi umat
Islam termasuk dari Malaysia untuk menyokong perjuangan mereka?
Ayub
Khan: Banyak pihak keliru. Ada yang mengatakan IS adalah khawarij baharu atau
kumpulan Takfiri iaitu yang mengkafirkan orang Islam lain. Tetapi berdasarkan
kajian pihak polis dan pengalaman menangani anasir militan Islam sekitar tahun
2001 hingga 2013 antaranya Jemaah Islamiah (JI), Darul Islam, al-Qaeda dan
al-Shabab, tidak ada perbezaan antara ideologi IS dengan kumpulan militan
terbabit. Mereka kononnya memperjuangkan 'Salafi Jihadi'. Sebenarnya, mereka
bukan kumpulan Salafi, tetapi mengaku sebagai Salafi dan sering membidaahkan
orang. Konsepnya mudah, bidaahkan kita, kita murtad dan darah kita adalah
halal. Keduanya, kumpulan ini adalah pihak yang mengeksploitasi Islam untuk
kepentingan mereka. Ada juga pihak tertentu yang mahir agama, mendakwa
sesetengah daripada IS itu baik dan tidak boleh melabelkan keseluruhan IS itu
pengganas. Kenyataan seperti ini akan mengelirukan orang ramai, padahal dalam
konteks ini, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan
pembabitan rakyat Malaysia dalam IS.
BH:
Apa sebenarnya yang menjadi tarikan rekrut baharu untuk menyertai IS?
Ayub
Khan: Mereka hendakkan negara Islam. Mereka memang tiada ilmu, itu hakikatnya.
Ia berbeza kumpulan militan sebelum ini seperti JI kerana kebanyakan anggota
mereka sebenarnya hendak belajar agama, niat memang baik, tetapi silap
kumpulan. Ada juga kategori yang kecewa dan bermasalah, tetapi bukan semuanya
macam itu. Ada yang mahu berjihad dan berhijrah.
BH: Jika begitu, apakah peranan yang boleh dimainkan
pihak berkuasa agama di negara ini bagi menangani ancaman ideologi IS?
Ayub
Khan: Saya berpendapat, pihak berkuasa agama negara kita perlu lebih agresif
menapis dan menyiasat latar belakang pendakwah asing yang datang ke negara ini.
Jangan biarkan pendakwah asing bebas berdakwah di negara ini kerana ada antara
mereka pemimpin kumpulan militan, merekrut rakyat kita seperti pelajar
universiti, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan seperti yang berlaku
dalam kes JI sebelum ini. Dalam isu keselamatan, saya nasihatkan semua pihak
agar akur dengan nasihat polis.
BH:
Dalam kebanyakan kes, adakah keluarga tahu yang anak atau saudara mereka
menyokong IS?
Ayub
Khan: Banyak kes yang memang keluarga mereka tahu. Bahkan, ada kes yang memang
keluarga sendiri hendak hantar anak mereka ke Syria. Ada bapa yang tahu anak
mereka hendak kahwin dengan pemuda IS. Mereka mahu kahwin selepas berkenalan
melalui aplikasi talian video Skype. Majalah dalam talian mereka iaitu Dabiq
banyak mempromosikan pemuda IS sebagai tarikan menyebabkan ramai wanita Melayu
tertarik untuk ke sana.
BH: Adakah penyokong IS mempunyai karakter tertentu?
Ayub
Khan: Berdasarkan siasatan kami, suspek yang ditangkap ini kebanyakannya
bermasalah. Jika pelajar universiti mereka menghadapi masalah sosial, terlanjur
dan mahu menebus dosa mereka. Ada juga yang hendak berhijrah ke Syria kerana
mereka menganggap Malaysia bukan negara Islam, negara kufar. Kategori ketiga,
mereka yang memang berniat menyertai IS hendak bertempur.
BH: Apakah cabaran paling besar PDRM menghadapi ancaman
militan IS? Adakah IS berbeza dengan kumpulan militan lain yang pernah
dihadapi?
Ayub
Khan: Dalam cabaran menangani kumpulan militan, sejak tahun 1993 hingga kini,
belum ada kumpulan pengganas yang seunik IS. IS amat unik dari segala segi
seperti merekrut anggota, menghantar anggota ke Syria, kekuatan, kewangan, dana
dan paling penting eksploitasi media sosial untuk merekrut ahli. Orang
menyertai IS dari pelbagai negara, peringkat umur dan latar belakang.
Ada anggota IS baharu berusia sembilan atau 10
tahun. Ia disebabkan capaian media sosial sangat luas. Ia tidak dapat dihalang.
Mereka ada televisyen dan majalah dalam talian serta laman web. Segala maklumat
yang mereka sediakan boleh diakses. Mereka juga ada cyber trooper. Beribu-ribu
jumlahnya di serata dunia. Sudah ada golongan doktor atau anggota keselamatan
menjadi ahli. Belum ada kumpulan pengganas yang dikesan begitu hebat
mengeksploitasi media sosial.
Hampir
95 peratus suspek yang ditangkap ini direkrut menerusi media sosial. Anggota IS
juga boleh berbaiah dengan pemimpin hanya menerusi media sosial. Mereka
mengeksploitasi baiah untuk mengikat ahli dan jika mereka keluar, darah mereka
halal (dibunuh). IS bergerak secara sel atau kumpulan kecil antara lima hingga
10 orang. Mereka tidak ada kumpulan besar. Matlamat mereka kini ialah sama ada
hendak melancarkan serangan atau pergi ke Syria.
BH:
Sebelum ini Datuk pernah mencadangkan perang siber perlu dipertingkatkan bagi
menangani ancaman dan ideologi kumpulan militan IS daripada berkembang di
negara ini. Ada sebarang maklum balas?
Ayub
Khan: Apa yang penting, kita perlu mendapat input yang tepat jika hendak
berdepan dengan perang siber. Input yang betul dan tepat ini ibarat peluru.
Agensi kerajaan yang mengawal selia internet dan media sosial ibarat senjata.
Itu sebabnya kita berharap pihak berkuasa agama lebih agresif menangani ancaman
IS ini. Kita sedang berdepan ancaman ideologi dan kumpulan yang mengeksploitasi
ayat al-Quran dan hadis untuk kepentingan mereka.
BH:
Apakah benar dakwaan mengatakan pusat tahfiz, sekolah agama, maahad dan sekolah
pondok menjadi sarang melahirkan militan di negara ini?
Ayub
Khan: Tidak ada. Itu satu kenyataan yang terburu-buru. Hanya kerana seorang
gadis bawah umur yang belajar di sekolah agama ditangkap, habis semua madrasah
atau sekolah agama dilabel sebagai sarang melahirkan IS. Dalam konteks militan
IS ini, mereka tidak peduli kerana dalam pasukan keselamatan dan agensi
kerajaan pun mereka boleh masuk. Jangan tuduh sekolah agama sahaja.
BH:
Sejauh manakah undang-undang pencegahan yang dimiliki negara hari ini mampu
menangani ancaman kumpulan militan IS ini?
Ayub
Khan: Selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada tahun 2011,
kita menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA
bagi menangani ancaman keganasan. Ia adalah undang-undang prosedur, tetapi
kesalahan disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
Kita
sudah mula buat tangkapan dan pendakwaan. Setakat ini 30 sudah didakwa di
mahkamah mengikut Kanun Keseksaan. Kita juga gunakan Akta Pencegahan Jenayah
(POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dalam kes tertentu. Kita berharap apabila
Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dikuatkuasakan nanti, ia juga akan dapat
menangani aktiviti kumpulan militan seperti IS.
Dalam
POTA ada klausa yang membolehkan kita melaksanakan program pemulihan kepada
individu yang didapati terbabit kegiatan militan seperti IS. Klausa ini penting
kerana jika hendak menangani kumpulan keganasan, aspek pemulihan amat penting. Kita
perlu memulihkan ideologi anggota kumpulan ini jika hendak membasmi ideologi
mereka. Berdasarkan pengalaman memulihkan 250 ahli JI antara tahun 2001 hingga
tahun 2009, kadar kejayaan kita ialah 97 peratus. Kita percaya undang-undang
yang ada ini mampu menangani ancaman militan IS.
BH:
Bagaimana PDRM menangani masalah keghairahan rakyat Malaysia hendak ke Syria
menyertai IS walaupun sudah ramai ditangkap?
Ayub
Khan: Dalam konteks polis, kita perlu meningkatkan pengumpulan risikan.
Matlamat kita jelas iaitu hendak menyekat mereka keluar negara untuk sertai IS.
Sebab itu kita banyak buat tangkapan dan siasat. Jika tidak cukup bukti, mereka
akan dibebaskan. Sekurang-kurangnya kita ada peluang berinteraksi dengan mereka
dan memberi penerangan yang sebenarnya mengenai IS.
Kalau
mereka tidak bersetuju dengan penerangan yang diberikan, tetapi
sekurang-kurangnya mereka mendapat pandangan kedua. Contohnya, remaja 14 tahun
yang kita tahan, tetapi tidak didakwa dan kita bawa dia berjumpa ustaz dan
pegawai polis yang mempunyai latar belakang agama dan kaunseling bagi memberi
nasihat kepada mereka sepanjang tempoh tahanan sebelum dibebaskan.
Tanpa
risikan, hampir mustahil kita hendak bertindak. Sebab itu kita perlukan
sokongan masyarakat, rakan seperjuangan mereka atau kakitangan jabatan kerajaan
supaya memberi sokongan padu kepada polis.
BH:
Apa harapan Datuk dalam usaha mengenai ancaman IS?
Ayub
Khan: Pertama, perlu tegas kerana kita berhadapan dengan perang ideologi. Kalau
tidak tegas dalam soal agama, perkara ini akan berlarutan. Ancaman militan
bukan perkara baru kerana ia sudah masuk sejak era tahun 1960-an. Sebabnya
ialah kita tidak tegas, anggap semua itu tiada apa-apa jika berbeza sedikit
fahaman agama. Jangan sesekali terima fahaman luar, mesti berpegang teguh kepada
Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Sejak
1,000 tahun lebih aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahli Sunnah
Wal-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha'irah dan Maturidiah dan dalam bidang
fekah, ia berasaskan kepada empat imam kita iaitu Imam Syafie, Hambali, Maliki
dan Hanafi. Jangan terpengaruh dengan sesetengah golongan yang mendakwa tidak
perlu mengikut mazhab dan haram bermazhab. Golongan ini mengaku sebagai ahli
sunnah Wal-Jamaah, tetapi menolak ijmak dan kias.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/52666
Tiada ulasan:
Catat Ulasan