Himpunan solidariti ummah untuk Rohingya dapat perhatian OIC - PM Najib
ISKANDAR PUTERI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat peringkat Menteri Luar dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu pembersihan etnik Rohingya di Myanmar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Malaysia akan berurusan dengan sekretariat OIC berhubung perkara itu.
Katanya perhimpunan solidariti ummah untuk Rohingya yang diadakan pada Ahad lalu yang membawa suara rakyat Malaysia itu sudah didengari OIC.
"Saya (dengar) sudah ada sambutan, OIC sudah dengar suara dan mereka hendak adakan persidangan peringkat Menteri Luar dan kita sedang berurusan dengan sekretariat OIC dan apa yang kita suarakan dalam perhimpunan tersebut telah mendapat perhatian OIC," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke 10 Iskandar Malaysia di Stadium Educity di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan, perhimpunan yang disertai ribuan umat itu diadakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, ia berbeza dengan perhimpunan Bersih 5 yang tidak mendapat permit perhimpunan aman dan tidak mengikut undang-undang.
Perhimpunan itu, yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengumpulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh politik, masyarakat dan negara sebagai tanda solidariti bagi menentang kekejaman terhadap etnik Rohingya.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan