Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

21 Oktober 2017

D-8 perlu proaktif bantu #Rohingya: TPM @Zahid_Hamidi | Berita Harian




D-8 perlu proaktif bantu Rohingya: TPM

ISTANBUL: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi pengalaman sebagai pemimpin kanan Asia Tenggara pertama melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Cox's Bazar, Bangladesh, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tinjauannya mendapati antara langkah menangani isu berkenaan ialah pelaksanaan cadangan yang disyorkan laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine supaya aspek pembangunan ekonomi komuniti Rohingya ditingkatkan.

"Bagaimanapun, ia hanya boleh dicapai jika wujud kestabilan politik," katanya ketika berucap mewakili Malaysia pada majlis penutup sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di sini, hari ini.

Persidangan tiga hari kumpulan yang dianggotai Malaysia, Turki, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Iran, Mesir dan Nigeria itu berakhir hari ini.

Majlis penutup disempurnakan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Ahmad Zahid berkata, keadaan pelarian Rohingya amat menyedihkan dan negara anggota D-8 wajar bersikap proaktif dalam membantu menangani isu kemanusiaan etnik berkenaan.

"Kita memuji perlindungan yang diberi kerajaan Bangladesh kepada pelarian Rohingya manakala Malaysia akan membina hospital medan di Cox's Bazaar bagi menyediakan bantuan perubatan.

"Hospital ini dijangka siap dalam sebulan selepas lawatan saya pada 16 Oktober lalu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, industri pelancongan adalah antara bidang yang perlu diberi penekanan ke arah memperkukuhkan ekonomi negara anggota D-8.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelancongan menjana pendapatan kedua tertinggi Malaysia dengan nilai mencecah AS$19.5 bilion (RM82.3 bilion) tahun lalu.

"Pulangan yang dijana daripada industri ini menyumbang terhadap kepelbagaian sumber ekonomi Malaysia termasuk menyediakan peluang ekonomi untuk rakyat.

"Malaysia berpandangan negara anggota D-8 wajar memberi penekanan dan meningkatkan pelaburan dalam bidang ini.

"Kita perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur dan rangkaian pelancongan kerana kesan gandanya boleh memberi manfaat besar kepada anggota D-8," katanya.

Ahmad Zahir berkata, kelebihan negara D-8 ialah kepelbagaian budaya, geografi dan tinggalan sejarah yang berpotensi besar menarik kehadiran pelancongan.

Pada masa sama, tegasnya, semua pihak perlu memperkukuhkan pembangunan sumber manusia dan promosi bagi menyokong industri itu dalam memastikan impak diharap tercapai.

Menyedari potensi besar sektor pelancongan, katanya, Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Menteri Pelancongan D-8 kedua di Kuala Lumpur pada 10 hingga 13 April tahun depan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/339929/d-8-perlu-proaktif-bantu-rohingya-tpm


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate