Pengundi Bakal Tolak Pakatan Harapan – Ahmad Zahid
SHAH ALAM, 2 Ogos – UMNO yakin pengundi PAS akan menolak calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan hari ini yang menghantar 'isyarat' bahawa parti itu kekal dengan pendirian menentang PH yang didakwa mengetepikan Islam dan masyarakat Melayu.
Ia susulan komitmen yang tinggi diperlihatkan oleh gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan daripada PAS sepanjang tempoh berkempen setakat ini, katanya.
"Persetujuan dicapai bukan saja dengan Mursyidul Am PAS (Hashim Jasin) tetapi di peringkat PAS Kota Raja dan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis," katanya kepada pemberita selepas melawat PDM Jalan Kebun, malam tadi.
Ditanya mengenai reaksi pengundi terhadap calon BN Datuk Lokman Noor Adam, Ahmad Zahid berkata sokongan adalah positif ekoran kekecewaan dan ketidakpuasan mereka dengan pentadbiran kerajaan PH yang memasuki tempoh 70 hari setakat ini.
Katanya, respons sedemikian diterima hasil pertemuan jentera BN dan Lokman Noor dengan pengundi Sungai Kandis di beberapa lokasi kempen.
Sebelum ini, Takiyuddin meminta pengundi PAS di Sungai Kandis membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam, masyarakat Melayu dan masa depan negara.
Pada PRK DUN Sungai Kandis, Lokman Noor bakal berdepan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K. Murthy.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie dari PKR akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan