Beberapa rakan saya banyak kali bertanya beberapa soalan yang lebih kurang sama seperti apa relevennya 'Ketuanan Melayu', kenapa tidak mahu 'Ketuanan Islam'?
Apa dia 'Ketuanan Melayu'? Secara mudah maksudnya ialah pemerintahan negara mesti diketuai oleh orang Melayu kerana mereka adalah penduduk asal dan majoriti negara ini. Mengikut sejarah, warganegara dari kaum Cina dan India di negara ini asalnya merupakan imigran yang datang ke Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.
Orang Melayu sanggup dan sedia menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) walaupun pada waktu itu kesetiaan kaum imigran itu lebih kepada negara asal mereka. Sebagai timbal balas di atas pengorbanan orang Melayu, maka Perlembagaan telah memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini dikenali sebagai 'Kontrak Sosial'.
Sesungguhnya 'Ketuanan Melayu' masih releven di negara kita. Ia perlu untuk menjaga kelangsungan bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam di negara ini. Jika pemerintahan negara terlepas ke tanah bukan Melayu, apakah jaminan kedua-dua elemen penting yang kita ingin pertahankan ini terus selamat? Mahukah kita menjadi seperti Singapura, di mana bangsa Melayu dipinggirkan, agama Islam ditundukkan?
Ada rakan saya membantah dengan mengatakan bahawa konsep 'Ketuanan Melayu' adalah perkauman sempit, Islam tidak pandang pun dari apa keturunan, bangsa atau warna kulit seseorang tapi takwanya kepada Allah.
Saya ingin menyatakan bahawa memang benar Islam tidak memandang kepada perkara-perkara tersebut, tetapi dalam soal kepimpinan ia melibatkan skop pemahaman yang lebih luas. Di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih berkenaan prasyarat pemerintah mestilah dari keturunan Quraisy. Salah satunya ialah sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:
Maksudnya: "Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy." [HR Ahmad dan al Baihaqi]
Apakah Nabi s.a.w. bersifat perkauman sempit dengan bersabda demikian? Nauzubillahi min zaalik. Semoga Allah menjauhkan kita dari persangkaan buruk sedemikian.
Sebenarnya ada sebab, illat atau maslahah umum Nabi memerintahkan supaya kepimpinan umat ini mesti dari kaum Quraisy. Menurut Ibn Khaldun di dalam kitab al Muqaddimah, illat yang melatarbelakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.
Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya. Menurut beliau, illat yang terkandung dalam penyebutan “golongan Quraisy” akan terus berlaku dengan syarat ‘asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.
Ibnu Khaldun menyebutkan:
"Kerana itu, kita pun menganggapnya sebagai satu prasyarat yang mendesak bagi seseorang yang bertugas menguruskan persoalan kaum Muslimin supaya dia termasuk golongan orang-orang yang kuat perpaduannya, dan mengatasi perpaduan bangsa-bangsa lain yang semasa dengan mereka, sehingga mereka dapat memaksa bangsa-bangsa itu bersatu demi kepentingan bersama. Kenyataan demikian tidak akan pernah ditemukan di seluruh pelusuk dunia sebagaimana terjadi pada masa kekuasaan keturunan Quraisy; sebab dakwah Islamiyah yang ada pada mereka sifatnya adalah universal, sehinggakan mereka dapat mengalahkan bangsa yang lainnya. Namun dewasa ini setiap daerah mempunyai orangnya sendiri yang mewakili perasaan 'asabiyyah (kekitaan) terbesar di sana." [Mukadimah Ibn Khaldun (2006), Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 207-208]
Dari kupasan oleh sarjana Islam terkenal itu, dapat difahami illat daripada hadis tersebut ialah para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan ‘asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.
Dalam konteks hadis berkenaan 'Ketuanan Quraisy', jika ‘asabiyyah, kewibawaan dan kekuatan politik golongan Quraisy tidak kuat lagi maka syarat pemimpin dari golongan ini juga akan hilang.
Berikut adalah beberapa lagi hadis sahih lain menyebut tentang 'Ketuanan Quraisy'.
“Manusia itu (hendaklah) mengikut orang-orang Quraisy dalam urusan pemerintahan. Setiap orang Islam hendaklah mengikut (pemimpin) yang Islam di kalangan mereka dan orang-orang kafirnya mengikut (pemimpin) yang kafir juga di kalangan mereka.” [HR al Bukhari]
“Sesungguhnya urusan (pemerintahan/khilafah) ini ada di tangan Quraisy. Tidak seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan membuatnya terjungkal/tersungkur ke tanah, selama mereka menegakkan agama (Islam).” [HR al Bukhari]
“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dari mereka dua orang.” [HR al Bukhari]
“Urusan (pemerintahan khilafah) ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih tersisa dua orang di antara manusia.” [HR Muslim]
“Manusia mengikuti Quraisy dalam perkara (pemerintahan) ini. Yang muslim mengikuti kaum muslimin dari kalangan mereka. Yang kafir mengikuti kaum kafir dari kalangan mereka.” [HR Muslim]
“Orang-orang Quraisy adalah pemimpin manusia, dalam hal kebaikan mahupun dalam hal keburukan sampailah ke hari kiamat.” [HR at Tirmidzi]
"Agama ini akan terus berkuasa sehingga naik memerintah kamu seramai dua belas orang amir (khalifah), dan setiap manusia amat mencintai setiap mereka itu.” Kemudian aku mendengar Nabi s.a.w. menyebutkan sesuatu yang aku tidak berapa jelas lalu aku bertanya kepada bapaku, “Apa yang baginda sebutkan?” Jawabnya, “Mereka semua adalah dari kaum Quraisy.” [HR Abu Daud]
“Kalian adalah manusia yang paling layak memegang urusan (pemerintahan) ini selama kalian berada dalam kebenaran. Apabila kalian menyimpang dari kebenaran maka kalian akan dikupas habis sebagaimana kulit kayu ini dikupas! —Beliau menunjuk sebuah kayu yang ada ditangannya.” [HR al Baihaqi]
“Tetaplah bersama Quraisy selama mereka tetap bersama kalian. Kalau mereka tidak melakukan hal itu, maka angkatlah pedang kalian di atas pundak kalian, lalu musnahkahlah pemimpin-pemimpin (quraisy) itu. Jika kalian tidak melakukannya, maka jadilah sebagai kaum petani yang payang hidupnya dimana kalian akan makan hanya dari hasil jeritan kalian.” [HR ath Thabrani]
Di negara kita, orang Melayu merupakan kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan 'asabiyyah dan kekuasaan terbesar ketika ini. Orang Melayu seperti ditafkrifkan menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan adalah mereka yang beragama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.
Natijah dari illat beberapa hadis sahih tadi, disamping penegasan takrifan orang Melayu yang dimestikan beragama Islam, maka saya berpendapat 'Ketuanan Melayu' releven dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Malah ia merupakan anjuran yang bersifat Islamik untuk menjaga maslahah ammah atau kepentingan umum.
Ia bukanlah bermakna kepentingan bangsa atau kaum lebih diutamakan dari Islam. Keadaan ini sama seperti 'Ketuanan Quraisy' dalam pemerintahan khalifah yang masih meletakkan Islam sebagai prioriti teratas dalam pemerintahan mereka.
Saya harap mereka yang keliru dengan konsep 'Ketuanan Melayu' dapat menyelami tulisan saya ini. Bagi saya 'Ketuanan Melayu' dan 'Ketuanan Islam' tidak ada bezanya, ini kerana perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia sebenarnya adalah untuk Islam juga.
-----------------------------------------------------------
Oleh Ibnu Hussin al Kelantani
rujuk laman asal artikel di sini http://kelabchedet.com/
5 ulasan:
Di Indonesia, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
Di Singapura, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
Di Thailand, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
Di Folipina, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
Di Kemboja, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
Di Jepun, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
Di Bangladesh, Melayu adalah kaum dan Islam adalah agama.
TETAPI di MALAYSIA, Melayu itu Islam (rujuk Perlembagaan).
Tuan,
Mengikut kefahaman orang Malaysia semua orang melayu adalah beragama Islam. Ini bermakna melayu itu Islam dan Islam itu agama orang melayu. Lainlah dengan bangsa arab, bukan semua arab itu beragama Islam. Ketuanan melayu bertujuan untuk menegakkan Islam. Inilah asal perjuangan orang melayu. Mereka yang mempertikaikan ketuanan melayu samalah juga seperti mempertikaikan ketuanan Islam. Mari kita pertahankan.
salam. ak rasa la kan. berkenaan ketuanan Melayu ini..kerajaan perlu buat satu iklan dimana kita harus terangkan apa itu ketuanan Melayu. Apa yg aku tahu,ketuanan Melayu bermaksud pemilik. kan?kan?
jelaskan pada mereka (yg masih buta hati) ttg perkara ini. Susah-susah.. Kena buat subjek "Ketuanan Melayu" nie..
Setuju sangat dengan saudara Amiull Izzat. Dah lama terfikir macam tuh.
Tapi yang sedihnya sekarang ni x semua Melayu itu Islam. Sedih sangat. Patutnya kalau ikut perlembagaan, melayu yang murtad sepatutnya ditanggalkan juga nama bangsa Melayunya juga sebab Melayu itu agamanya Islam.
Nak mintak izin copy ..
Melayu yang murtad bukan lagi Melayu. Kerana dalam perlembagaan negara pun telah dicatatkan kalau sudah keluar dari Islam, Melayu itu bukan lagi Bumiputera.
Catat Ulasan