Berikut ialah usul berkenaan pencapaian yang telah dicapai oleh Perdana Menteri kita yang akan dicadangkan di Dewan Negara. Semalam Panglima kebetulan berada di sana atas urusan tertentu dan terbaca usul yang dibentangkan yang dicetak untuk pegawai kerajaan yang bertugas di Dewan Negara. Ia sangat sesuai dihayati oleh semua rakyat Malaysia betapa kuat dan gigihnya Perdana Menteri mencari jalan memajukan negara kita agar dapat dinikmati oleh semua rakyat tidak kira bangsa dan agama mereka.
Usul ini belum lagi dibentangkan dan usul ini boleh dibaca di laman rasmi Parlimen di sini http://www.parlimen.gov.my/ . Anda bertuah dapat membacanya dengan kemudahan internet yang ada lebih awal. Berikut isi usul tersebut :
Senator Dato' Haji Abdul Rahman bin Bakar akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YAB. Perdana Menteri kerana keberkesanan dan kejayaannya memimpin dan menakhodakan negara melalui transformasi berlandaskan empat tunggak utama iaitu :
- Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,
- Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA,
- Program Transformasi Ekonomi berteraskan Model Baru Ekonomi negara,
- Rancangan Malaysia Ke-10 dan ke 11 berjaya membawa perubahan dan wajah baru dalam semua bidang kehidupan.
Kejayaan pimpinan YAB. Perdana Menteri juga boleh dilihat melalui pencapaian ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan pesat ekonomi pada kadar 7.2 peratus pada tahun 2010 berbanding penguncupan
1.7 peratus pada tahun 2009.
Manakala indeks Bursa Malaysia telah mencatat paras tertinggi melebihi 1570 mata. Pelaburan asing dalam sektor pembuatan juga meningkat kepada RM29.1 bilion pada tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak 31.7 peratus.
Adalah diramalkan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini melebihi daripada 6 peratus. Perdagangan luar juga
meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.2 bilion berbanding RM988.2 bilion pada tahun 2009.
Pimpinan beliau juga berjaya meletakkan Malaysia di tangga ke 10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010 menjadikan imej negara semakin diyakini.
Di bidang pelancongan, Malaysia menduduki tangga ke 9 dalam senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2009 diramal terus melonjak naik.
Dari segi keselamatan Malaysia berada di tempat kedua terbaik di Asia dan 22 di dunia. Penurunan indeks jenayah sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada tahun 2010 merupakan satu pencapaian memberangsangkan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri.
Kemiskinan juga dapat dikurangkan daripada 44,000 ketua isi rumah miskin tegar yang dikenal pasti pada tahun 2010 kepada hanya 100 sahaja. Kadar pengangguran juga berada dalam tahap paling minima iaitu dalam lingkungan 3.5 peratus yang disifatkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai sifar pengangguran (mana-mana negara yang kadar penganggurannya 4 peratus dan ke bawah adalah sifar pengangguran). Pendapatan isi per kapita berjaya diperoleh dari RM22,345 pada tahun 2007 kepada RM26,355 pada tahun 2010 dan dijangka meningkat kepada RM27,950 pada tahun 2011. Diramalkan akan melebihi RM50,000 menjelang 2020.
YAB. Perdana Menteri juga berhasil memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku untuk generasi muda berumur 35 tahun ke bawah dan membina beribu-ribu unit rumah baru untuk rakyat. Kejayaan pimpinan beliau boleh dilihat daripada hasil lawatan-lawatan keluar negara jiran, Timur Jauh, Timur Tengah, Amerika Syarikat, Eropah, Turki, Australia, Rusia dan lain-lain di mana banyak pelaburan berjaya di bawa balik
di samping mengeratkan hubungan dua hala.
Kejayaan pimpinan beliau juga boleh dilihat hasil dari keputusan pilihan raya kecil di 16 tempat (Parlimen dan DUN) di seluruh negara. Sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri semakin ketara, kuat dan meyakinkan.
Sebenarnya kejayaan kepimpinan sangat luas dan banyak termasuk dalam bidang-bidang yang lain seperti agama, pelajaran, perpaduan, sosial, budaya, pembangunan, sains, teknologi, angkasa di samping politik, ekonomi dan pentadbiran. Sewajarnya kita merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YAB.Perdana Menteri yang berjaya melakukan perubahan, pembaharuan dan kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang di bawah ilham besar beliau iaitu 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
YAB. Perdana Menteri, kami bersyukur atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecap selama ini. Kami yakin Malaysia berada di landasan yang betul untuk memenuhi hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Selamat memimpin dan menakhodakan negara.”
Panglima : siapa pandai buat poster boleh 'design' untuk disebarkan kepada Melayu Cina India agar mereka bersyukur dengan kejayaan yang dicapai negara kita oleh Kerajaan Barisan Nasional.. Juga kepada RTM jika mereka dapat ulang semua kejayaan ini dalam bentuk video bagi memudahkan ia diketahui oleh rakyat. Mari kita bersyukur demi menambahkan lagi kejayaan yang bakal kita kumpul.
Alhamdulillah !
Alhamdulillah !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan