Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

29 Mei 2011

TV ALHIJRAH MULA BERSIARAN 1 JUN 2011 DI ASTRO SALURAN 114


Bermula 1 Jun 2011 ini, stesen TV berkonsepkan Islam, TV AlHijrah akan turut disiarkan menerusi saluran 114 Astro.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu bertujuan membolehkan lebih ramai penonton menikmati siaran stesen TV berkenaan yang sebelum ini hanya dipancarkan secara terrestrial.




"Siaran TV AlHijrah sebelum ini begitu terhad. Kita menerima begitu banyak permintaan daripada masyarakat supaya mereka dapat menonton TV AlHijrah," katanya pada sidang akhbar di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur, semalam.


Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda.


TV AlHijrah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Disember 2010 lalu bersiaran sejak 1 November 2010.


Siarannya boleh ditonton di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).


Jamil Khir berkata, selaras dengan TV AlHijrah, turut dipancar menerusi Astro, waktu siaran ditambah daripada 72 jam seminggu kepada 100 jam seminggu.


"Siaran pada hari Isnin sehingga Khamis adalah seperti biasa iaitu dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, manakala pada Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam," katanya.


Katanya, waktu siaran akan ditambah sehingga 24 jam sehari sekiranya mendapat permintaan tinggi penonton.


Jamil Khir berkata, soal TV Alhijrah bersaing dengan siaran lain tidak timbul, kerana pihaknya hanya ingin memenuhi selera penonton di negara ini yang sentiasa mahukan kelainan daripada segi kandungan siaran.


"Kita akui persaingan memang ada. Sebab itu kita mempelbagaikan program seperti rancangan realiti TV Solehah yang antara lain bertujuan melahirkan lebih ramai pendakwah wanita di negara ini.


"Rancangan bertemakan wajah Islam seperti Madrasah AlHijrah, Refleksi dan Khidmat Syariah akan turut disiarkan pada 1 Jun nanti," tambahnya.


Walaupun baru mula bersiaran, 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan, manakala 40 peratus lagi kandungan asing.


Tiga puluh peratus daripada keseluruhan kandungannya diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah yang menggunakan slogan "Segalanya Bermula Di Sini." www.tvalhijrah.com


- BERNAMA


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate