Assalamu'alaikum wr wbt,
1 Setiap kali perhimpunan agung UMNO berlangsung, saya amat peka dalam segmen ucapan bahas perwakilan terhadap ucapan dasar Presiden. Saya akan pasang telinga sehabis bagus, baik dalam ucapan YAB Presiden mahupun perbahasasan perwakilan.
2 Bezanya kalau dahulu saya perhatikan ucapan itu di depan TV, tetapi semalam saya sendiri hadir ke PWTC untuk mendengar sendiri ucapan itu walaupun sekadar di depan skrin besar dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sekitarnya.
3 Apabila membahaskan ucapan dasar Presiden, yang kita bahaskan ialah kandungan ucapan itu, bukannya apa yang Perdana Menteri dan kita buat sebagai pemimpin atau ahli UMNO selama ini. Dalam erti kata lain perwakilan patut menjadi lebih fokus,mikro dan mengkhusus.
4 Sebagai individu yang pernah bergelumang dengan dunia perbahasan dan pidato dan yang mengambil keputusan untuk turut hadir sebagai pemerhati bebas dalam perhimpunan kali ini, saya dapat merasai majoriti pemerhati yang berada di bawah tidak menghayati ucapan yang kaya dengan fakta sejarah yang dilalui oleh UMNO bersama Perikatan dan kemudiannya BN dalam membangunkan negara ini.
5 Saya tidak begitu pasti sama ada perwakilan yang berada di dalam dewan, benar-benar mengikuti, memahami dan menghayati LIMA perkara yang dibangkitkan oleh Presiden UMNO dalam ucapan dasar beliau yan disusun kebanyakannya secara kronologi sejarah yang berlaku di negara ini.
6 Semalam, rata-rata perwakilan menceritakan apa yang mereka dah buat untuk UMNO, termasuk menceritakan apa yang sudah Perdana Menteri buat untuk negara ini.Ini menjadikan perbahasan oleh perwakilan agak umum tidak menyentuh secara langsung kandungan LIMA perkara yang saya maksudkan.
7 Ada beberapa perwakilan yang menyebut dan mengulas fasal Calon Yang Boleh Menang, seolah-olah mereka merasa itulah yang menjadi fokus dalam perhimpunan kali ini walhal calon yang boleh menang itu keputusan akhirnya terletak di tangan Presiden sedangkan majoriti ahli UMNO lebih perlukan penghayatan terhadap sejarah perjuangan UMNO dan Barisan Nasional serta bagaimana UMNO dibawa bangun semula setelah beberapa kali zaman kemerosotannya.
8 Malahan tidak nampak langsung,Calon Yang Boleh Menang itu yang sangat ditonjolkan dan diulas dengan panjang lebar dalam ucapan YAB Dato' Seri Presdien parti. Tidak salah kita mengulas perkara-perkara lain termasuk apa yang yang kita telah buat, namun biarlah setelah kita mengulas mana-mana satu atau beberapa bahagian daripada LIMA perkara yang disebut oleh Najib.
9 Rata-rata tidak membahaskan LIMA perkara pokok yang diutarakan dalam ucapan Presiden, iaitu :
1) Himpunan pelbagai kekuatan individu yang memperkukuhkah parti dengan kepercayaan kepada orang muda
2) Menjadi Orang UMNO, bukan sekadar ahli UMNO
3) Belajar bagaimana UMNO bangkit semula daripada beberapa peristiwa yang boleh menyebabkan UMNO dikuburkan
4) Keterbukaan dan darjah tolak ansur yang begitu tinggi kepada demokrasi dan perpaduan kaum di negara ini
5) Langkah-langkah transformasi yang dibuat oleh kerajaan,sambil mengambil pengajaran dpd peristiwa di luar negara.
10 Sama ada ucapan DS Mohd Najib terlalu sarat dengan fakta sejarah, atau mengandungi huraian yang terlalu mendalam, tidak pula begitu jelas pada pengamatan saya.Tetapi apabila DS Najib mengangkat suara, barulah ada tepukan seolah-olah mereka hanya mahukan ungkapan yang bersemangat sahaja daripada Presiden, bukan fakta dan data.
11 Keadaan yang agak bising di bawah (di depan skrin besar), dengan kekerapan gangguan daripada seorang peniaga wanita yang mahu mengambil untung banyak daripada orang Melayu yang murah hati (yang belum tentu kita boleh lakukan dalam perhimpunan mereka), gangguan edaran nasi lemak yang sebenarnya tidak mencukupi serta kesibukan jurugambar yang berdiri di hadapan terutama di depan skrin besar sangat mengganggu individu yang datang dengan penuh semangat seperti saya.
12 Terlalu banyak lagu sebelum ucapan Presiden bermula mungkin juga boleh diberi perhatian dalam perhimpunan agung UMNO pada masa akan datang.Begitu juga jualan pakaian seperti tudung dan pakaian sehingga mencecah RM325.00 amat menyedihkan di tengah-tengah himpunan bangsa Melayu yang kebanyakannya datang dari luar bandar dan dalam usaha keajaan memurahkan harga barang melalui kewujudan Kedai 1Malaysia.
Terima kasih.
(ABD BASHID BIN HARUN)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan