DENGAN NAMA ALLAH MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW DAN KELUARGA BAGINDA SEKELIAN
Skim Khas Pembelian Rumah PPR-MTEN, PA DBKL Tidak Libatkan KWSP
KUALA LUMPUR: Skim khas pembelian rumah Program Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) tidak melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan pinjaman kepada individu, kata Timbalan Ketua Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Beliau berkata peserta yang berminat perlu memohon terus kepada Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar dan bukannya KWSP.
Katanya KWSP kini masih dalam perbincangan dengan syarikat tujuan khas (SPV)di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (SPV Yayasan WP) untuk memberikan pinjaman dengan syarat-syarat sedang dimuktamadkan.
"KWSP ingin memberi jaminan kepada pencarum bahawa semua pinjaman yang diberikan KWSP kepada kerajaan Malaysia atau agensi kerajaan lain dibuat berdasarkan pertimbangan komersil dan dengan jaminan yang bersesuain untuk melindungi kepentingan pencarum," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.
Kenyataan itu bagi menjelaskan kebimbangan orang ramai mengenai skim pinjaman itu seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berhubung penjualan perumahan awam kepada peserta yang layak.
Raja Nong Chik ketika sesi taklimat skim tersebut pada Jumaat lepas dilaporkan berkata melalui pinjaman bercagar itu KWSP dijangka menikmati kadar keuntungan 5.5 peratus setahun daripada pembiayaan RM1.5 bilion dalam Skim Pembiayaan Khas untuk membolehkan penyewa berkelayakan membeli rumah dikendalikan DBKL.
Skim khas pembelian rumah PPR-MTEN dan PA DBKL yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Disember lepas bertujuan membantu penyewa sedia ada mendapatkan sumber kewangan bagi membeli rumah-rumah yang ditawarkan.
Skim itu akan bermula Mac ini dan pembeli dijangka menandatangani surat perjanjian jual beli mulai Mei depan.
Shahril Ridza berkata pada asasnya syarat-syarat yang sedang dimuktamadkan itu melibatkan kemudahan awal sebanyak RM300 juta dengan pinjaman selanjutnya akan diluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP tertakluk kepada prestasi memuaskan pengendalian akaun oleh SPV Yayasan WP, dengan kemudahannya akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada jumlah RM300 juta yang dibuat.
Beliau berkata dalam kes itu, SPV Yayasan WP akan mengadakan urusan pajakan (Skim Ijarah) dengan peserta individu dan hak milik rumah-rumah tersebut kepunyaan SPV Yayasan WP sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah diselesaikan sepenuhnya oleh peserta terlibat.
Katanya pinjaman kepada SPV Yayasan WP adalah terjamin kerana semua unit rumah akan dicaj atau diuntukkan oleh SPV Yayasan WP kepada KWSP dengan perlindungan jaminan sekurang-kurangnya dua kali ganda amaun pinjaman.
Shahril Ridza berkata terdapat penahanan tunai sebanyak 25 peratus daripada pembayaran pinjaman KWSP kepada SPV Yayasan WP yang akan disimpan dalam akaun rizab kecairan yang diuntukkan kepada KWSP bersama-sama dengan semua peruntukan aliran tunai.
"Syarat-syarat perjanjian pinjaman juga dalam risiko boleh diterima KWSP kerana ia dicagarkan terhadap aset dan aliran tunai dengan jaminan yang sesuai ke atas pembayaran balik pinjaman yang dibuat dengan KWSP difahamkan SPV Yayasan WP hanya akan memilih peserta yang mempunyai rekod bayaran sewa yang baik," katanya.
Beliau berkata bagi memastikan akaun individu diuruskan dengan baik SPV Yayasan WP juga diminta melantik institusi kewangan yang bersesuaian untuk menguruskan pentadbiran skim tersebut.
Katanya berdasarkan syarat dan aturan jaminan yang telah dikemukakan, KWSP dilindungi sepenuhnya dan kadar keuntungan tahunan sebanyak 5.5 peratus yang dikenakan adalah wajar.
"KWSP sentiasa menyedari kepentingan pencarum dan ingin menegaskan bahawa simpanan persaraan mereka dilaburkan secara berhemah dalam rangka kerja urus tadbir yang baik dan menerima pakai profil risiko pulangan yang konservatif," katanya. - BERNAMA
http://mstar.com.my/
KWSP tiada pinjaman skim khas rumah DBKL
Oleh S Anand Kumar
2012/02/09
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam menjelaskan Skim Khas Pembiayaan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, tidak membabitkan pemberian pinjaman kepada individu.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata peserta yang berminat terhadap skim itu perlu memohon terus kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan bukan KWSP.
Beliau berkata, KWSP kini dalam perbincangan dengan syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) untuk memberikan pinjaman dengan syaratnya sedang dimuktamadkan.
“Pada asasnya, syarat itu membabitkan kemudahan awal sebanyak RM300 juta dengan pinjaman selanjutnya akan diluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP, tertakluk kepada prestasi pengendalian akaun oleh syarikat tujuan khas berkenaan.
“Kemudahan itu akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada RM300 juta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan dana RM1.5 bilion daripada KWSP yang akan digunakan untuk skim itu bagi rakyat berpendapatan rendah tidak akan menjejaskan pencarumnya.
Perdana Menteri berkata, skim dicadangkan tidak menjejaskan kepentingan KWSP kerana sekiranya pembeli tidak mampu membayar balik atau tidak membayar balik, rumah itu akan dijual di pasaran dengan harga lebih tinggi.
Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa kerajaan menggunakan dana KWSP untuk menyembunyikan kadar hutang negara, selain mendakwa skim itu akan menjadi punca Malaysia mengalami krisis kewangan.
Shahril Ridza menjelaskan semua pinjaman yang diberikan KWSP kepada kerajaan atau agensinya dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dengan jaminan yang bersesuaian untuk melindungi kepentingan pencarum.
“Dalam kes ini, syarikat tujuan khas di bawah YWP akan mengadakan urusan pajakan (Skim Ijarah) dengan peserta individu. Hak milik rumah kepunyaan syarikat itu sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah diselesaikan peserta.
“Pinjaman syarikat tujuan khas itu adalah terjamin kerana semua unit rumah akan dicaj atau diuntukkan oleh mereka (SPV) kepada KWSP, dengan perlindungan jaminan sekurang-kurangnya dua kali ganda jumlah pinjaman,” katanya.
Di samping itu, katanya, ada penahanan tunai sebanyak 25 peratus daripada pinjaman KWSP kepada SPV yang akan disimpan dalam akaun rizab kecairan yang diuntukkan kepada KWSP bersama dengan semua peruntukan aliran tunai.
“Syarat perjanjian pinjaman juga dalam risiko boleh diterima KWSP kerana ia dicagarkan terhadap aset dan aliran tunai dengan jaminan yang sesuai ke atas pembayaran balik pinjaman yang dibuat.
“Kita juga difahamkan bahawa SPV hanya akan memilih peserta mempunyai rekod bayaran sewa yang baik. Kita juga meminta syarikat itu melantik institusi kewangan untuk menguruskan pentadbiran pinjaman bagi memastikan akaun individu diuruskan dengan baik,” katanya.
Shahril Ridza berkata, di bawah cadangan syarat perjanjian, DBKL akan membeli balik rumah itu bagi mendapatkan aliran tunai untuk membayar balik pinjaman jika peserta tidak membayarnya.
“Berdasarkan syarat dan aturan jaminan yang KWSP kemukakan, KWSP dilindungi sepenuhnya dan kadar keuntungan tahunan sebanyak 5.5 peratus yang dikenakan adalah wajar,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan KWSP pada 16 Februari ini bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai skim berkenaan.
TAKLIMAT SKIM PEMBIAYAAN KHAS PENJUALAN RUMAH PERUMAHAN RAKYAT DBKL
Panglima bersama dengan Unit Media Baru Pemuda Umno Malaysia bertuah dapat bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik di Kelana Jaya dua hari lepas untuk sesi bersama penggiat media sosial untuk menerangkan isu skim pembelian rumah yang dibiayai KWSP yang hangat digunakan oleh pembangkang khususnya Nurul Izzah untuk memburukkan usaha murni kerajaan.
Memandangkan banyak fakta dikemukan dan memerlukan masa yang agak panjang maka hanya pagi ini artikel berkenaan berjaya disiapkan walau ditulis sejak semalam. TIdak guna artikel yang tidak lengkap dan kemas disiar jika mahu mengejar masa. Selepas sesi selama dua jam pada malam Jumaat tersebut, kami telah mendapat gambaran cukup jelas tentang isu yang sedang hangat dimainkan oleh pembangkang. Berbagai soalan telah ditanyakan dan berikut maklumat yang kami perolehi.
Sejarah :
Para penyewa berhasrat mahu membeli rumah DBKL. Ada antara mereka sudah 30-35 tahun menyewa. Ada pemimpin yang telah menjanjikannya untuk dijual. Maka, apabila Menteri Wilayah Datuk Raja Nong Chik sebaik sahaja dilantik telah menjadikan perkara menjual rumah DBKL sebagai agenda pertama beliau. Ia akhirnya telah dipersetuju oleh Perdana Menteri. Keseluruhan rumah yang ingin dijual ialah 44,146 dan telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 11 Julai 2009. Rundingan dibuat dengan bank untuk membantu penyewa memiliki rumah tersebut namun gagal. Lalu skim khas ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada penyewa yang mampu membayar bulanan namun tidak diluluskan pinjamannya oleh pihak Bank kerana masalah tidak cukup kelayakan.
Dari jumlah yang ingin dijual sebanyak 4,988 telah Berjaya dibeli oleh penyewa. Dengan 716 oleh persendirian manakala 4272 lagi melalui bayaran tunai atau KWSP.
Pada 7 Oktober 2011 kelulusan pertama jemaah Menteri telah diperolehi. Pada 18 Jan 2012 kelulusan terakhir telah diperolehi. Selepas sepuluh hari tanggal 28 Jan 2012 Perdana Menteri telah mengumumkan skim tersebut.
Skim ini adalah satu pembiayaan mudah untuk rakyat di mana berdasarkan Private Sector Initiative (PSI) dengan diwujudkan Special Purpose Vehicle (SPV). DBKL menjual rumah kepada SPV dengan pembiayaan sebanyak 5.5 peratus dikenakan. Manakala SPV akan menjual rumah secara sewa beli atas konsep syariah bernama Ijarah Muntahiyyah Bittamlik. Caj yang dikenakan 1% ke atas pembeli adalah untuk digunakan bagi tujuan pembinaan PPR yang baru dan juga untuk kos penyelenggaran.
Jika gagal membayar ansuran bulanan pembeli akan diminta keluar dari rumah dan pihak SPV akan menjual kembali rumah tersebut kepada DBKL.
Berapakah harga rumah ? Antara 25 – 40 k seunit.
Dalam hal ini pihak DBKL akan jual harga yang sama SPV dan pembeli juga akan membeli pada harga yang sama kepada SPV.
Biasanya kos guaman mencecah RM1200 untuk setiap unit rumah saiz yang dijual oleh DBKL namun dengan rundingan pihak DBKL maka ia dikurangkan kepada RM600 sahaja.
Menariknya cukai juga dikecualikan. Ia termasuk bayaran insuran rumah yang akan membayar baki pinjaman jika peminjam meninggal dunia.
Pinjaman yang ditawarkan sehingga 25 tahun.
Buat masa ini 2000 keluarga penyewa ditanggung oleh Baitulmal dan 2000 lagi Jabatan Kebajikan Masyarakat.
DBKL tidak memaksa penyewa membeli rumah tersebut dan mereka boleh terus menyewa jika tidak mampu membayar pinjaman.
Untuk ‘first-batch’ penyewa yang tidak mempunyai sepanjang tunggakan akan dipilih membeli rumah yang ditawarkan.
Pembelian ini tidak dikenakan ‘down-payment’ dan ‘full loan’
Usia 18 tahun ke atas tanpa had. Jika sudah tua maka pembeli boleh membuat ‘co-borrower’ dengan memasukkan anaknya sebagai peminjam kedua.
Kadar bayaran serendah RM150 -300 sebulan. Jika ia disewakan kembali kepada orang lain selepas dibeli dengan kadar RM700 sebulan sudah tentu banyak keuntungan yang akan diperolehi oleh rakyat walaupun sudah tidak lagi tinggal di Bandar.
DBKL ketika ini menangguna kos penyelenggaraan sebanyak RM200 lebih sebulan manakalan rakyat hanyat membayar pada kadar RM 124 dengan kos selebihnya ditanggung oleh DBKL.
Kenapa perlu ada SPV ? ini kerana jika tidak ada SPV maka risiko Non Payment Loan (NPL) akan berlaku dan ia akan menjadi negative cash flow kepada DBKL.
Kenapa KWSP ? bukan menggunakan dana Kerajaan ?
Apabila KWSP membuat pembiayaan maka apabila pembeli menerima pinjaman dan membayarnya dengan faedah yang ditetapkan sudah tentu ia akan mendatangkan keuntungan kepada KWSP dan akan kembali kepada rakyat yang menjadi pencarum dalam KWSP. Ini adalah win-win situation kepada dua belah pihak. Jika skim ini tdak diwujudkan, rakyat yang mampu membayar tetapi tidak mempunyai penyata kewangan yang lengkap atau tidak cukup syarat tidak akan mampu memiliki rumah sendiri. Skim ini juga akan digunakan oleh Kementerian Perumahan Tempatan Di Selangor selepas ini.
Jaminan projek ini tidak akan menjadi ‘bad credit’ dengan empat perkara berikut :
1. Rumah yang dijual kepada pembeli, dicagar kepada EPF dengan nilai dua kali ganda
2. Jaminan beli semula oleh DBKL jika pembeli gagal membayarnya.
3. Dana rizab pembelian semula sebanyak 20% (redemption reserve account). Ini bertujuan memastikan 20% dari nilai jualan akan disimpan untuk pembelian semula rumah yang gagal dibayar oleh pembeli.
4. Dana rizab kecairan sebanyak 5% (Liquidity reserve account) Ini akan digunakan jika ada kelewatan pembayaran oleh pembeli. Kerana pihak SPV akan membayar dua kali setahun kepada EPF iaitu Januari dan Julai.
Dengan empat jaminan di atas sudah tentu tidak ada pihak perlu risau perkara ini.
Fakta tambahan : rumah yang dibeli hanya boleh dijual atau dicagar selepas tujuh tahun. Ini untuk mengelakkan salah guna rumah oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan. Dalam tempoh tiga tahun pembeli juga dibenarkan pindah loan kepada anak jika mahu.
Isu member board EPF tidak mengetahui pembiayaan ?
Jawapannya bukan semua member mengetahui kerana EPF mempunyai panel pelaburan dipanggil Investment Panel yang dipengerusikan oleh Pengerusi KWSP yang tidak melibatkan semua ‘member of board’ EPF.
Harap isu ini dapat disebarkan penjelasannya kepada rakan kita di luar sana. Isu ini jelas mahu disabotaj Pakatan demi mengelakkan sokongan rakyat beralih kepada Barisan Nasional pada PRU akan datang. Bukan untuk kebaikan rakyat itu sendiri.
Terima kasih. Mohon disebarkan.
ALLAHUMMA SOLLI WASALLIM 'ALA SAIDINA MUHAMMADIN WAALIHI WASALLIM
Pesanan : satu group fb baru nama 'Facebooker 1Malaysia' telah diwujudkan oleh Panglima pada 6.6.2011. Sasaran 1 Juta sebelum 13 Julai 2012. Sila klik di sini http://on.fb.me/kFnvGS untuk join dan mohon jasa baik anda untuk disebar kepada kawan2 Fb anda. Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan