KUCHING 28 Jun - "White Rajah", sebuah filem epik Hollywood mengenai pemerintahan James Brooke di Sarawak bakal menjalani penggambaran di negeri ini bermula pertengahan tahun depan.
Filem arahan Rob Allyn tersebut diterbitkan Margate House Film, sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan kos dianggarkan mencecah RM48 juta.
Menurut Allyn, watak James Brooke berkemungkinan besar akan dipegang bintang filem terkemuka dari Britain atau Australia selain turut menampilkan barisan pelakon tempatan.
"Kami menghasilkan filem ini bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata sebaliknya mahu mengangkat sejarah dan kebudayaan Sarawak selepas membuat kajian mengenai negeri ini sejak tiga tahun lalu.
"Setakat ini barisan pelakon belum dimuktamadkan kerana masih dalam peringkat perbincangan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari dalam pada itu berkata, "White Rajah " yang dijangka ditayangkan pada 2015, mampu menjadi landasan terbaik untuk para penggiat industri filem tempatan menonjolkan bakat masing-masing.
"Paling penting, filem ini mampu memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat dunia sekali gus melonjakkan industri pelancongan negeri," katanya. - UTUSAN ONLINE
Sent from my iPad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan