Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Saudara dan saudari sekalian,
Alhamdulillah, kini kita berada di dalam bulan Rejab, salah satu daripada bulan-bulan Haram di dalam taqwim Islam. Haram yang membawa maksud kehormatan, kesucian dan kemuliaan. Hari ini, kita diperingatkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang telah dikhabarkan sendiri oleh wahyu Allah SWT, dalam surah al-Israk ayat pertama yang bermaksud :
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat."
Sememangnya, peristiwa yang menyatakan kekhususan Rasulullah SAW ini memberi makna yang besar kepada kita semua. Melalui peristiwa ini, pelbagai elemen seperti keimanan, sejarah, sirah, politik, sosial, geografi dan teknologi telah digabungjalinkan untuk diiktibari oleh umat pada masa kini.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini secara langsung akan terus mengingatkan kita kepada ikatan kita dengan Masjidil Aqsa di Palestin yang merupakan masjid suci yang ketiga di dalam Islam. Apa yang terjadi di Palestin hari ini, memberikan kita pengajaran, betapa pentingnya keamanan dan kemakmuran negara ini untuk dipertahankan. Ia juga memberikan kita amaran, betapa malangnya jika negara kita berjaya diganggu-gugat oleh kuasa-kuasa asing.
Semasa Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, baginda telah mengimami solat yang disertai oleh seluruh para Nabi. Ini menjelaskan kepada kita kepentingan dalam menyatukan ummah dalam satu kesatuan agenda menegakkan risalah Allah di atas muka bumi ini.
Oleh yang demikian, sempena peristiwa hebat Israk dan Mikraj ini, marilah kita semua kembali bersatu hati dalam meneruskan agenda transformasi kita untuk menjulang Malaysia menjadi sebuah negara Islam moden yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti.
"Biduk berlalu, kiambang bertaut". Semoga peristiwa agung penuh berkat ini membawa seribu rahmat buat kita semua. Mengakhiri perutusan ini, saya dan keluarga mengucapkan Salam Israk dan Mikraj kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
http://www.1malaysia.com.my/blog/perutusan-perdana-menteri-sempena-peristiwa-israk-dan-mikraj-1434-hijrah/Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan