Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

29 Jun 2013

Rizab air semakin kritikal - Syabas

PRISCILLA Alfred (kiri) menunjukkan graf penurunan kadar air dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kira-kira enam juta warga ibu kota, Selangor dan Putrajaya kini berdepan risiko gangguan bekalan air yang semakin kritikal.

Keadaan itu berikutan rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Antara kawasan yang dijangka terjejas teruk ialah Hulu Langat, Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam dan Gombak.

Bacaan terkini syarikat tersebut menunjukkan rizab air berada pada kadar 0.64 peratus, berbanding kadar minimum yang ditetapkan Syabas iaitu sekurang-kurangnya 10 peratus.

Gangguan itu dijangka lebih parah selepas ini, berikutan musim panas yang melanda Lembah Klang sehingga September ini.

Sementara itu, Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, perkara tersebut ekoran unjuran permintaan bekalan air pada tahun ini yang meningkat mendadak iaitu sebanyak 5.85 peratus berbanding purata 3.5 peratus setiap tahun sebelum ini.

Katanya, peningkatan permintaan itu dilihat berpunca daripada tuntutan pembangunan komersial terutama di kawasan perindustrian di Selangor.

"Peningkatan permintaan ini turut disumbangkan oleh faktor migrasi penduduk dari negeri lain ke Selangor untuk bekerja dan seterusnya menetap dan mendirikan rumah tangga," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Walau bagaimanapun buat masa ini, jelasnya, masalah tersebut masih terkawal memandangkan Syabas melaksanakan beberapa pendekatan proaktif dalam menangi masalah tersebut.

Menurutnya, syarikat tersebut meningkatkan kemudahan bantuan kepada pengguna sewaktu gangguan bekalan air termasuk memperbanyakkan lori air daripada 42 kepada 66 buah dan menambah 125 tangki air statik bermula Ogos ini.

Sejak Januari lalu ujarnya, Syabas turut meningkatkan keupayaan Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) daripada 60 kepada 120 talian namun, perkhidmatan itu hanya mampu menampung 40,000 panggilan sehari dan tidak dapat memenuhi semua pihak sewaktu gangguan air berskala besar.

Kata beliau, kadar pengguna Puspel juga meningkat dengan mendadak tahun ini iaitu sebanyak 4,186 panggilan berbanding 3,517 tahun lalu dan 2,228 pada 2011.

"Sehubungan itu, dalam memastikan masalah tersebut dapat ditangani segera, Syabas meminta kerjasama daripada orang ramai untuk mengelakkan pembaziran air selain melaksanakan beberapa pelan alternatif yang berkesan mengikut kreativiti masing-masing.

"Orang ramai boleh menggunakan kaedah tampungan air hujan. Ramai yang melakukan kaedah ini dalam menjalankan aktiviti harian mereka termasuk menyiram pokok atau membasuh kenderaan sementara air paip digunakan untuk memasak, mandi dan minum," katanya.

Sebarang aduan berhubung masalah bekalan air boleh dilakukan menerusi talian Puspel di 1-800-88-5252, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 39222 atau mengikuti akaun Facebook, Twitter dan YouTube pusat perkhidmatan itu.



© Utusan Melayu (M) Bhd 


Mari kita berjimat menggunakan air sebelum kita ditimpa kemudaratan dan kesulitan dalam kehidupan.

Air anugerah paling banyak di dunia namun kerana tangan manusia maka ia semakin kotor dan kurang dari apa yang patut kita perlukan dalam aktiviti seharian.

Mari jimatkan air dan desak Selangor segera bekerjasama dengan Pusat untuk membina loji air Hulu Langat 2 sebelum keadaan makin tenat.


Sent from my iPad

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate