Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

14 Jun 2013

Tahanan Mati : Pembangkang Perlu Sokong SIAP Bukan IPCMC !

Anggota polis dan Rela ketika menghadiri Majlis Hari United Against Crime yang diadakan di Esplanade @ KLCC, pada 8 Jun lalu. - utusan/Aizzul A. Majid

KEMATIAN tiga tahanan dalam penjara baru-baru ini menjadi titik gendang penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dipalu semula.

Perbahasan untuk penubuhan IPCMC sudah bermula beberapa tahun lalu sejak era Tun Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri lagi. Penubuhan itu disaran dalam 125 Syor oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2004.

Namun, IPCMC tidak terlaksana sebaliknya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) ditubuhkan pada 2009 seiring dengan lulusnya rang undang-undang Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] selepas dibahaskan di Parlimen.

Kini, sekali lagi penubuhan IPCMC ditekan oleh beberapa pihak. Antaranya SUARAM, Majlis Peguam dan pakatan pembangkang.

Menarik perhatian isu ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, pertamanya, perlu disedari bahawa kewujudan SIAP sepatutnya lebih diutamakan daripada penubuhan IPCMC.

"Hal ini kerana autoriti SIAP meliputi semua agensi penguatkuasaan kecuali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

"Kedua, sekiranya IPCMC ditubuhkan, suruhanjaya ini sekadar terhad kepada penyiasatan ke atas pasukan polis sedangkan kuasa SIAP merangkumi agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Sebab IPCMC mahu ditubuhkan atas dasar sebagai sebuah badan bebas untuk memastikan integriti pasukan polis.

"Perlu diingatkan, SIAP juga sebuah badan penguat kuasa yang bebas sama seperti IPCMC. Bukan PDRM sahaja agensi penguat kuasa yang menghadapi tanggapan umum yang buruk. Kastam Diraja Malaysia juga berkongsi nasib yang sama," kata beliau kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Ahmad Faris yang mengetuai Masterplan Consulting - firma pembekal peralatan pertahanan, sekuriti dan komunikasi - memberitahu, SIAP digambarkan mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu sekadar berfungsi sebagai badan penyiasatan dan laporan penyiasatan kemudiannya dihantar kepada bahagian tatatertib agensi berkenaan.

"Ini antara hujah yang digunakan oleh pihak yang menekankan penubuhan IPCMC terhadap bidang kuasa SIAP. Sekiranya dirujuk kepada Seksyen 29 dan Seksyen 30 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, jelas SIAP mempunyai kuasa yang lebih besar daripada yang dicanang oleh pihak tertentu.

"Merujuk kepada Seksyen 29, kuasa SIAP melangkaui kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib di mana sekiranya terdapat isu salah laku dalam sebuah agensi penguatkuasaan, Pihak Berkuasa Tatatertib perlu memberhentikan siasatan mereka dan menyerahkan urusan penyiasatan kepada SIAP, sekiranya dimaklumkan oleh SIAP.

"Kuasa SIAP diperkukuhkan lagi dalam seksyen seterusnya, Seksyen 30 dalam Akta yang sama," katanya.

Ahmad Faris berkata, terdapat tiga kemungkinan ke mana laporan penyiasatan akan diserahkan.

Pertama, penyiasatan ke atas aduan salah laku tidak dapat disahkan, makanya laporan akan diberikan kepada si pengadu. Kedua, salah laku tersebut tergolong di dalam kesalahan tata tertib.

Oleh hal yang demikian, laporan akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib agensi yang berkenaan. Terakhir, andai salah laku tersebut dikira sebagai kesalahan jenayah, laporan penyiasatan akan dirujuk kepada Pendakwa Raya.

"Ini membuktikan bahawa bukan semua laporan siasatan SIAP akan diuruskan oleh pihak dalaman pihak agensi penguat kuasa. Kes jenayah akan diheret terus ke muka pengadilan dan didakwa atas kesalahan jenayah yang dilakukan.

"Benar, salah laku bukan jenayah akan diuruskan secara dalaman oleh agensi penguat kuasa berkenaan. Tetapi tidak semudah itu. SIAP akan menghantar laporan serta mengesyorkan tindakan yang boleh diambil ke atas kesalahan tatatertib tersebut.

"Berdasarkan Seksyen 30 perenggan (2), Pihak Berkuasa Tatatertib perlu melaporkan semula kepada SIAP tindakan yang dilaksanakan dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan laporan. Begitu juga halnya kepada Pendakwa Raya dengan tempoh masa yang sama iaitu 14 hari.

"Laporan yang diberikan kepada SIAP oleh Pihak Berkuasa Tatatertib tidak berhenti di situ sahaja. Segala tindakan yang dilaksanakan akan diberitakan kepada umum," katanya.

Menyentuh perihal Pihak Berkuasa Tatatertib, bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa tiada tindakan yang dikenakan kepada anggota polis yang melakukan salah laku, kata beliau, sebenarnya ada tindakan-tindakan serius yang dikenakan kepada anggota polis yang bersalah oleh Unit Urus Setia KPN (Tatatertib).

Mengikut Laporan Tahunan PDRM, pada 2009 sahaja, sebanyak 1,077 kes telah dikenakan hukuman. Ini termasuklah ke atas Pegawai Kanan Polis.

"Ini membuktikan Unit Tatatertib menjalankan tugas mereka. Namun begitu, menyentuh isu yang hangat diperkatakan sekarang iaitu kes kematian dalam tahanan, ini dikira sebagai kes jenayah.

"Melalui pemerkasaan SIAP, siasatan oleh SIAP mampu membawa kes ini terus kepada Pendakwa Raya tanpa perlu melalui Pihak Berkuasa Tatatertib dalam PDRM. SIAP sudah pun diberi kuasa ini, namun malangnya kuasa ini gagal terlaksana seperti yang sepatutnya.

"Berhubung isu kematian tiga tahanan baru-baru ini, SIAP sudahpun memaklumkan bahawa suruhanjaya tersebut akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. Seperti yang disebut tadi, kematian dalam tahanan dikira sebagai kes jenayah. Oleh hal yang demikian, SIAP boleh membawa terus kes ini kepada Pendakwa Raya dan bukan untuk siasatan dalaman PDRM," katanya.

Persoalan mengapa SIAP tidak efektif seperti mana yang diilhamkan pada permulaan rang undang-undang Akta SIAP boleh dijawab melalui kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif SIAP, Nur Hafizah Hanum Mokhtar yang menyatakan masalah kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan penyiasatan.

"Oleh itu, sekiranya benar SIAP mahu diperkasakan, kerajaan seharusnya serius dalam menangani masalah ini. SIAP perlu dibekalkan dengan jumlah penyiasat yang cukup kerana suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk menyelia 21 agensi penguatkuasaan.

"Masalahnya bukan pada penubuhan SIAP, tetapi masalahnya pada pelaksanaannya. Ini yang seharusnya diperjuang oleh pihak yang benar-benar jujur mahu memperbaiki agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini.

"Selain penambahan anggota penyiasatan, orang awam perlu diberi penerangan dan kesedaran tentang keberadaan SIAP. Kemudahan-kemudahan untuk orang ramai menyalurkan maklumat salah laku anggota penguatkuasa perlu disediakan dan disebar luas," katanya.

Seiring dengan syor di atas, Ahmad Faris mahu SIAP bersikap proaktif dalam menjalankan penyiasatan. Ini kerana SIAP mempunyai kuasa untuk menyiasat sesuatu kes salah laku walaupun tidak menerima sebarang aduan. Ini termaktub di dalam Akta SIAP.

Menurut beliau, selepas hampir empat tahun penubuhan SIAP, suruhanjaya itu seolah-olah terlepas pandang oleh semua. Sedangkan inilah bentuk IPCMC yang diminta-minta, malah lebih besar lagi kuasa yang ada.

"Sekiranya SIAP gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif selama ini, apa yang membuatkan kita fikir IPCMC mampu memberikan keputusan yang berbeza? Janganlah meminta penubuhan sebuah suruhanjaya semata-mata untuk mengadakan suruhanjaya.

"Kita sudah ada SIAP dan sekarang tugas kita untuk membantu usaha murni SIAP menggeledah penyelewengan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasaan yang tidak bertanggungjawab.

"Anggota-anggota ini, bukan sahaja menyusahkan kehidupan orang awam, malah memberi imej buruk kepada Agensi Penguatkuasaan di negara ini," kata Ahmad Faris.



© Utusan Melayu (M) Bhd 


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate