Pengikut Blog Panglima

22 Oktober 2013

LAHAD DATU : Ancaman pengganas masih wujud - Menteri KDN @Zahid_Hamidi

Oleh SOFIAN BAHAROM dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ancaman daripada pengganas Kiram terhadap negara ini masih wujud meskipun ketuanya, Jamalul Kiram III mati semalam akibat kegagalan fungsi organ.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, berdasarkan maklumat perisikan oleh pihak polis mendapati terdapat tujuh individu lain sedang berebut untuk mengetuai kumpulan pengganas yang kononnya mewarisi 'Kesultanan Sulu' berkenaan.

Ahmad Zahid tidak mendedahkan nama ketujuh-tujuh individu tersebut tetapi menegaskan bahawa pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk berada pada kedudukan bersiap-siaga terhadap sebarang kemungkinan.

Katanya, polis dan tentera akan memantau dengan dekat kerana apa yang berlaku pada Jamalul Kiram bukan tindakan peribadi beliau semata-mata tetapi yang dikhuatiri ada tangan-tangan ghaib di belakangnya menyebabkan kumpulan pengganas berkenaan memasuki negara kita melalui Lahad Datu, Sabah.

"Saya telah memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih bersiap-siaga di kawasan tanggungjawab Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) dan tentunya pihak ATM juga akan mengambil tindakan sama namun kita memikirkan apa yang berlaku di Kepulauan Sulu dan penempatan Jamalul di Manila, Filipina.

''Ada maklumat perisikan yang akan dianalisis oleh pihak Malaysia terutama PDRM justeru, jangan terlalu selesa memikirkan selepas Jamalul meninggal maka tidak berlaku sebarang tindakan oleh mereka yang akan mengambil alih tempatnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada Februari lalu, beratus-ratus pengikut Jamalul menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah.

Pasukan keselamatan Malaysia kemudian melancarkan 'Operasi Daulat' untuk menghapuskan pengganas berkenaan selepas kegagalan rundingan selama sebulan untuk menggesa mereka berundur.
Dalam operasi itu, 10 anggota keselamatan Malaysia maut, 68 anggota pengganas ditembak mati, 173 ditangkap dan beberapa lagi pengganas Kiram melarikan diri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, berdasarkan maklumat terperinci daripada pihak polis, kesemua tujuh individu yang kini merebut tempat yang dikosongkan Jamalul itu merasakan diri mereka sebagai pewaris sah kepada takhta kesultanan berkenaan.

"Ada tujuh individu yang merasakan mereka merupakan pewaris sah kepada Kesultanan Sulu berkenaan. Saya tidak dapat sebutkan nama mereka seorang demi seorang tetapi kita telah mendapat maklumat individu terperinci tentang individu- berkenaan dan kumpulan masing-asing yang merasakan kesultanan yang sebenarnya sudah tidak wujud lagi itu perlu dituntut.
--
"Kita merasa bahawa apabila putus hubungan kekeluargaan dan darah dari Sultan Jamalul Kiram I dan II, tiada anak lelaki, tiada pihak sepatutnya menuntut apa yang disifatkan sebagai Kesultanan Sulu itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131022/dn_07/Ancaman-pengganas-masih-wujud#ixzz2iRBtNn6T
© Utusan Melayu (M) Bhd

Catat Ulasan