Dakwaan Pembangkang Mengenai GST Tidak Berasas, Kata Husni
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Dakwaan pembangkang mengenai perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membebankan rakyat tidak berasas dan hanya sekadar bersifat menentang setiap rancangan kerajaan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata dakwaan tersebut akan menjadi tidak relevan apabila cukai tersebut dilaksanakan pada April 2015.
"Saya melihat peranan pembangkang ini hanya menentang pembangunan dan rancangan oleh kerajaan yang mana akhirnya pembangunan ini mendatangkan manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
"Mereka (pembangkang) menentang pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lebuhraya Utara-Selatan, Putrajaya, KLCC dan sebagainya. Tapi sekarang, adakah mereka masih menetang projek-projek ini?
"Jadi apa yang penting pada saya, jika dia (pembangkang) mahu bising, bisinglah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai Wakaf anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelancaran sebuah buku oleh Pakatan pembangkang yang bertajuk "Faham GST, tolak GST" yang dikhuatiri bakal mengelirukan rakyat mengenai perlaksanaan sistem percukaian tersebut.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Husni menyatakan rasa bimbangnya mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera yang masih rendah, iaitu hanya pada tahap 23.5 peratus pada 2012.
Sehubungan itu, beliau menyeru para peserta seminar itu mengambil peluang membincangkan beberapa langkah berkaitan bangsa dan kaum Bumiputera dalam proses peralihan ekonomi negara.
"Jika kita ingin pemilikan kekayaan Bumiputera mencecah 30 peratus, adalah perlu kadar peningkatan kekayaan Bumiputera berkembang lebih laju dari kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara.
"Natijahnya, jika bangsa kita terlalu bergantung kepada sektor kegiatan ekonomi bernilai rendah, di mana penciptaan kekayaannya kecil, maka peningkatan kekayaan bangsa Melayu tidak mungkin tercapai," katanya.
Ahmad Husni turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum bagi Pusat Antarabangsa Untuk Penyelidikan Wakaf, bagi membangunkan industri wakaf negara.
"Wakaf di negara kita memang tidak diekploitasi secara keseluruhannya dansaya memang bersetuju kita wujudkan satu pusat penyelidikan dan antara lain, kita perlu ada pangkalan data mengenai lokasi tanah-tanah wakaf di Malaysia sekarang untuk perancangan pembangunannya.
"Kita juga mestilah memikirkan bagaimana untuk mengadakan kolaborasi di antara negeri dan kerajaan pusat, disebabkan tanah-tanah wakaf ini diletakkan di bawah kelolaan kerajaan negeri," katanya.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan