Pengikut Blog Panglima

29 Jun 2014

Pas bakal tuntut jawatan MB Selangor?




Oleh ABDUL YAZID ALIAS
utusanpengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 28 Jun - Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa mahu menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor menerusi ‘Langkah Kajang’ dijangka gagal apabila jawatan tersebut dikatakan akan dituntut oleh Pas.

Menurut sumber dalaman kerajaan nege­ri, keadaan itu mungkin berlaku apabila Pas di negeri ini dikatakan mahu meletakkan wakil rakyat mereka untuk mengisi jawatan Menteri Besar berdasarkan kedudukan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu berbanding PKR yang hanya menang 14 kerusi DUN.

Malah, sumber terbabit turut difahamkan Abdul Khalid tidak mempunyai sebarang masalah untuk berundur daripada jawatan yang disandangnya sejak 2008 bagi memberi laluan kepada Pas.

"PKR difahamkan mahu menggantikan Abdul Khalid dengan Presiden PKR (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kajang sebagai Menteri Besar. Namun, hasrat PKR itu mungkin sukar untuk diterima oleh Pas.

"Malah, ada desas-desus kuat bahawa Pas kali ini akan mengambil alih jawatan Menteri Besar dan melantik seorang calon yang berkelayakan daripada ADUN mereka di negeri ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Isu pertukaran Menteri Besar Selangor sekali lagi dibangkitkan apabila wujud dakwaan bahawa Pas Selangor sebulat suara menolak Abdul Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar kerana kononnya ADUN Pelabuhan Klang itu sering membuat keputusan secara bersendirian tanpa merujuk parti dalam pakatan pembangkang.

Dakwaan itu turut disiarkan menerusi sebuah portal berita www.themalaysianinsider.com pada 20 Jun lalu yang memetik kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Jaafar Sulaiman.

Dalam laporan itu, Jaafar menyatakan keputusan itu buat dalam satu mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dengan kesemua 22 Yang Dipertua Pas kawasan ne­geri ini bersetuju agar Abdul Khalid ditukar kerana dianggap membawa masalah.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan turut menerima kecaman daripada pemimpin PKR sendiri apabila didesak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Sela­ngor sehingga wujudnya ‘Langkah Kajang’ yang menyaksikan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan pada 23 Mac lalu.

Sementara itu, sumber berkenaan melihat ADUN Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi calon yang sesuai mengisi jawatan Menteri Besar memandangkan kedudukannya ketika ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

Mingguan Malaysia difahamkan, ADUN Tanjung Sepat, Ir. Mohd. Haslin Hassan turut disebut-sebut sebagai antara pemimpin Pas yang dipertimbangkan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140629/po_01/Pas-bakal-tuntut-jawatan-MB-Selangor#ixzz360QFmNfG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Catat Ulasan