Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

05 Ogos 2014

Analisa Isu Semasa MB Selangor : Pas berputih mata lagi? & @UMOnline @Abdulhadiawang @Anwaribrahim



ANWAR Ibrahim (tengah) bersama-sama Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang ketika menghadiri mesyuarat khas oleh pihak pembangkang selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada 2009. Sampai bilakah pakatan tidak rasmi ini mampu bertahan?

WAKTU ini kuat benar kokokan ayam kedengaran dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pensiangan, Sabah, yang diadakan semula sehari sebelum Ramadan pada 28 Jun lalu memihak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Calon Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar (MB) Selangor itu dikatakan hanya memerlukan sejumlah baki undi di dua lagi cabang iaitu Cabang Kelana Jaya dan Puchong yang hanya akan menyudahkan pemilihannya pada 10 Ogos atau Ahad ini.

Di dua cabang itu khususnya Kelana Jaya, Abdul Khalid dijangka mendapat sokongan padu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia yang juga Timbalan Speaker DUN negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad. Ini nanti tidak menyukarkannya untuk meraih sekurang-kurangnya 1,000 lebih lagi undi daripada antara 4,000 hingga 5,000 undi pada kedua-dua cabang.

Pada hari sama 10 Ogos, mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berlangsung di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, membincangkan kedudukan genting Abdul Khalid sebagai MB dan Abdul Khalid sendiri pada hari itu mungkin akan dimuktamadkan menang ke atas Azmin Ali dalam perebutan jawatan nombor dua PKR.

Kelak akan timbul persoalan besar: Setelah menang, apa justifikasi nak buang Abdul Khalid daripada jawatan MB?

Cuma di sini, mahukah PKR yang semua cukup maklum `wahyu'nya dikeluarkan melalui Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang berkehendakkan Azmin menang) mengumumkan sebelum 10 Ogos kemenangan Abdul Khalid sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu. Itu pun andai PKR memiliki daya telusnya.

Sewajarnya sekutu-sekutu pakatan terutama Pas sedar diri akan ketelusan PKR dalam memproses pemilihannya. Di Indonesia, pengundi jawatan Presidennya mencecah 195 juta manusia, tiga minggu sudah diketahui keputusannya. UMNO yang mentransformasikan pemilihan parti itu dari peringkat kepemimpinan tertinggi hingga bahagian, cawangan serta sayap-sayapnya Oktober lepas, hanya memerlukan sehari keesokannya untuk diumumkan pemenang. Bahkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia berjaya mengendalikan 13.5 juta pengundinya dalam sehari suntuk sahaja untuk kelancaran Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei tahun lalu.

Tetapi malangnya PKR, perjalanan pemilihan partinya yang kini sudah masuk lebih empat bulan tidak selesai-selesai lagi. Mengaibkan lagi, ada insiden tumbuk menumbuk dan baling kerusi. Inikah cara Anwar memimpin parti?

Detik 10 Ogos ini memang dinanti-nantikan oleh pengikut dan penyokong pembangkang serta seluruh rakyat Selangor tentang apakah pendirian muktamad Pas. Apakah ketegasan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang begitu kuat mempertahankan Abdul Khalid akan terlerai?

Penulis percaya dan cukup pasti keputusan mesyuarat Ahad ini akan berubah. Seperti apa yang sering berlaku sebelum ini, Pas akan menarik brek dengan akhirnya menyokong isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Abdul Khalid. Abdul Hadi akan tunduk, Pas akan patuh pada arahan Anwar dan DAP.

Sejarah mengajar Pas tunduk mengikut rentak masa dan tempat yang sesuai. Ketika Pas berkira-kira menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 70-an, Dewan Ulamanya menentang keras. Namun, pendirian itu kendur setelah Presidennya ketika itu, Datuk Mohd. Asri Muda (Allahyarham) memaklumkan pengagihan anggota Kabinet untuk parti itu, waima harta dan jawatan dalam GLC (syarikat milik kerajaan) yang diperuntukkan. Percayalah! peristiwa sama akan berulang apabila Pas bakal ditawarkan jawatan tambahan dalam kerajaan Selangor, itu pun belum termasuk GLC negeri.

Apa yang berlaku sekarang dengan pendirian membuak-buak Pas mempertahankan Abdul Khalid cuma wayang. Ia sekadar alat tawar menawar untuk Pas meraih ghanimah atau habuan dalam kerajaan negeri Selangor.

Andai kata senario selepas 10 Ogos ini dibuat undi tidak percaya dalam sidang DUN secara mengejut, dijangkakan Abdul Khalid akan kalah dengan 41 undi. Waktu ini hanya dua daripada 15 ADUN Pas memihak kepada MB.

Melalui sisi yang lain pula, angin mula membawa khabar bahawa pertukaran MB Selangor semenjak dua ini sudah melangkah ke fasa baharu. Apa benar PKR sudah mendapat denai baru ke istana melalui seorang kerabat, bekas isteri seorang pemimpin negeri pada suatu ketika, untuk melantik Wan Azizah sebagai MB? Khabarnya, pencalonan Azmin ditolak sama sekali walhal Wan Azizah menerima lampu hijau.

Pas dalam insiden pertukaran MB Selangor dalam persimpangan. Pengarah Pusat Penyelidikan Operasi Pas Pusat, Dr. Zuhdi Marzuki yang mencetus kontroversi dengan WhatsAppnya mahu parti itu keluar pakatan, hanya sekadar `kambing hitam' (scape goat).

Kes bocor WhatsApp Dr. Zuhdi pula kini menjadi sensasi. Persoalannya, siapa yang bocor? Dalam AJK Pas Pusat, terdapat empat orang yang dikenal pasti penyokong tegar Anwar. Khalid Samad, Dr. Hatta Ramli, Dr. Mujahid dan Dr. Dzulkefly Ahmad. Mereka ini konsisten bercakap menyokong Anwar di dalam dan luar mesyuarat Pas Pusat. Keempat-empat ini bukan berlatar belakang pendidikan agama.

Penyokong tegar yang lain seperti Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Husam Musa, Syed Azman pula hanya berani berdegar-degar di luar mesyuarat atau dalam ceramah sahaja. Atau apabila balik ke negeri sendiri, bersikap lain pula. Jadi, siapa yang bocorkan?

Banyak persoalan berlingkar dalam kalangan orang Melayu terhadap isu-isu hubungan Pas-PKR-DAP ini. Konsep Kepimpinan Ulama Pas selepas era Mohd. Asri (Presiden Pas dari 1969 hingga 1982), apa sudah jadi sekarang? Lebih percaya kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama seperti Mohamad Sabu, Husam, Salahuddin Ayub, Khalid dan Dzulkefly.

Kalau disuluh pun ideologi Pas, kewajipan menubuhkan Negara Islam sudah berubah kepada Negara Kebajikan. Sanggup pula mengatakan tiada perintah Allah untuk menubuhkan Negara Islam demi nak berbaik dengan DAP-PKR. Rujuk surah Al-Maidah ayat 57, cuba Pas lihat dan kaji. Semua maklum kenyataan DAP/mendiang Karpal Singh akan `langkah mayat saya dahulu kalau mahu buat hudud'.

Selepas bocornya WhatsApp Dr. Zuhdi, lihatlah kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli serta Anthony Loke dan Tony Pua daripada DAP. Tidak perlu penulis paparkan, boleh digoogle. Begitu sekali Pas diperlekeh dan dan dicerca. Pas menjadi bacul.

Loke dan Pua membuka topeng DAP dengan cabarannya yang jelas menekan Pas. Kini, wajah tanpa topeng mereka sudah terang lagi bersuluh untuk parti yang mahu memperjuang Islam membuat kata putus. Sayang kalau Pak Kaduk terus bersorak sedang kampungnya tergadai. Satu spekulasi yang boleh diusul, mungkin sudah ada ghanimah yang menanti menyebabkan pimpinan Pas gelap mata dan terhijab hati untuk mereka melihat kebenaran di alam nyata?

Istilah kafir harbi dalam kamus kepimpinan Pas kelihatannya sudah mempunyai takwil yang berbeza. Malah, ini bukan perkara baru yang berlaku sehari dua ini tetapi sudah beberapa ketika sejak laungan tahaluf siyasi dengan DAP berkumandang. Sejarah menjadi saksi hakiki segala tohmahan DAP terhadap hudud Pas bila Pas bertegas mahu melaksana hudud. Saban hari, semakin terbukti, hidung parti Pas ini memang tak mancung, pipinya pula tersorong. Parti ini menjadi titik maruah Islam dihenyak oleh mereka yang tidak senang dengan keberadaan Islam di tanah air yang tercinta ini.

Sehingga masa ini, ramai yang percaya dan yakin, pada penghujung sandiwara pelantikan MB baru ini, akan diakhiri dengan seluruh rakyat Malaysia akan melihat bagaimana Hadi Awang akan akur, tunduk dan patuh serta menurut perintah Anwar dan Kit Siang. Permainannya berbeza. Dramanya punya babak lain. Namun begitu, penghabisannya nanti kita sudah maklum seperti sebelumnya. Ramai sudah muak dengan politik murahan meraih publisiti media dan dalam masa sama mempermain amanah rakyat. Banyak tenaga habis untuk politik Pakatan Rakyat yang langsung tidak mendatang secubit faedah kepada rakyat jelata.

Penulis terpanggil untuk meminjam sekerat kenyataan AJK Pas Pusat Dzulkefly di akhir kalamnya baru-baru ini; "Ya Allah, ku sudah lunaskan tanggungjawabku menegur Pimpinan Tertinggi muafakat politik ini...."

* PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa. ceo_mpc@yahoo.com



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140805/re_02/Pas-berputih-mata-lagi#ixzz39TiqXsXo
© Utusan Melayu (M) Bhd













Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate