Polis akan bertindak
oleh AZRAI MOHAMMAD dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan sekali gus akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan identiti Kelvin Yip kerana memaparkan kenyataan yang nyata menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis kini menyiasat akaun Facebook terbabit bagi mengesan pemiliknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kita tidak akan berdiam diri atas kesalahan undang-undang ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini, Kelvin menggunakan kata-kata lucah dan kesat meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan takbir Hari Raya Aidilfitri yang berkumandang melalui pembesar suara pada pukul 6.45 pagi.
Kelvin seterusnya meminta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan kenyataan yang telah dipadamkan daripada laman Facebooknya itu.
Bagaimanapun tindakan biadab Kelvin itu mengundang kemarahan umat Islam di negara ini dan pelbagai yang turut mendesak PDRM mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Turut mendesak perkara itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan siasatan terhadap akaun Facebook menggunakan nama Kelvin Yip yang didakwa telah menghina umat Islam.
Menurut Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abdul Rahman, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
"Kita masih lagi sedang menyiasat akaun tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak polis bagi mendapatkan pemilik akaun yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tersebut.
"Kita juga sedang berusaha menyiasat identiti sebenar pemilik akaun tersebut kerana agak sukar mendapatkan individu yang bertanggungjawab melakukannya jika mereka menggunakan akaun palsu,"katanya ketika dihubungi di sini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140803/je_02/Polis-akan-bertindak#ixzz39LLhKAdh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan