Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

04 Oktober 2014

Pendaftar Pertubuhan nafi iktiraf CEC DAP @LimKitSiang @LimGuanEng







Pendaftar Pertubuhan nafi iktiraf CEC DAP

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kesahihan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sekali lagi menjadi tanda tanya apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini membuat penafian pernah mengiktiraf pemilihan tersebut sebagai sah.

Malah ROS turut mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh DAP itu dan tertanya-tanya bagaimana parti tersebut boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada mahkamah.

Timbalan Ketua Pengarah ROS, Mohd. Norzam Mustapa berkata, hal ini kerana badan tersebut belum mendapat apa-apa pemberitahuan daripada mahkamah berhubung status CEC parti berkenaan sehingga hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, ROS akan menyiasat perkara tersebut seterusnya menjawab isu 120 cawangan DAP tidak mendaftar dan mengundi pada pemilihan semua CEC parti berkenaan yang kini menjadi perbualan hangat masyarakat.

"Kita tidak tahu bagaimana mereka boleh mengisytiharkan sebegitu (CEC DAP sah) kerana kita pun tidak dapat sebarang maklumat begitu daripada mana-mana pihak terutama mahkamah.

"Pada ketika ini, ROS sedang menyiasat perkara ini dan berharap dapat memperoleh jawapan terhadap persoalan-persoalan melibatkan CEC DAP tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 23 September lalu, kemelut 21 bulan melibatkan ROS dan DAP akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila agensi tersebut didakwa mengiktiraf CEC parti berkenaan.

Dalam pendengaran kes saman DAP terhadap agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu, ROS bersetuju bahawa CEC DAP yang dilantik pada 29 September tahun lalu adalah sah dan boleh melaksanakan tugas.

Ekoran itu DAP mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka terhadap ROS untuk memaksanya supaya mengiktiraf pemilihan CEC dalam Kongres Khas parti itu pada 29 September 2013.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili parti itu memberitahu Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur, ROS telah mengakui bahawa CEC yang telah dipilih itu boleh menjalankan kuasa dan tugas yang diberikan kepadanya mengikut perlembagaan DAP.

Hakim Datuk Zaleha Yusof sehubungan itu membatalkan permohonan DAP tersebut. DAP mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman pada Februari lalu dalam usaha memaksa ROS mengiktiraf pemilihan CEC tersebut.

Parti tersebut mengadakan pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas itu selepas diarah berbuat demikian oleh ROS yang tidak mengiktiraf keputusan pemilihan pada 15 Disember 2012.

Semalam, Presiden Jaringan Cina Malaysia (JCM), Ng Lum Yong menggesa Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng memberi penjelasan kepada semua kaum Cina berhubung penglibatan 120 cawangan parti itu yang tidak berdaftar namun hadir dan mengundi pada pemilihan semula CEC pada 29 September 2013.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20141004/po_02/Pendaftar-Pertubuhan-nafi-iktiraf-CEC-DAP#ixzz3FAlaVKdm 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate