tarikh jawapan : Rabu 8 Oktober 2014
TRANSKRIP JAWAPAN MENTERI :
. Tuan Julian Tan Kok Ping [Stampin] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah dan usaha kerajaan dalam menangani gejala ‘human trafficking’ yang semakin buruk di Malaysia sehingga memburukkan nama negara.
Menteri Dalam Negeri [Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi]: Tuan Yang diPertua, kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha dalam menangani jenayah pemerdagangan orang. Di antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan ialah dengan mewujudkan Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Akta ini diluluskan pada 24 April 2007 dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 28 Februari 2008. Akta ini kemudiannya telah dipinda dan dikuatkuasakan pada 15 November 2010 dan kini dikenali sebagai Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Bagi memastikan akta ini dapat dikuatkuasakan dan usaha dapat dilaksanakan, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran atau MAPO telah ditubuhkan. Susulan daripada penubuhan MAPO tersebut, lima jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Perundangan, Penguatkuasaan, Perlindungan dan Pemulihan Mangsa, Media dan Publisiti serta Jawatankuasa Khas Pemerdagangan Buruh telah pun dibentuk. Kerajaan telah melancarkan pelan tindakan kebangsaan sebagai satu panduan untuk melaksanakan usaha bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang tersebut. Pelan tindakan kebangsaan ini menggariskan strategi kerajaan dalam membanteras jenayah ini di peringkat domestik dan juga peringkat antarabangsa.
Beberapa langkah telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk penambahbaikan pemerdagangan orang:
(i) membuat pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran atau ATIP SOM 2007;
(ii) mengukuhkan sekretariat MAPO bagi tujuan penyelarasan dan koordinasi jawatankuasa-jawatankuasa di bawah MAPO serta secara lebih efektif dan terancang; dan
(iii) menyediakan dana tahunan bagi MAPO untuk melaksanakan program atau aktiviti menangani jenayah pemerdagangan orang.
Pindaan kepada ATIP SOM 2007, pengukuhan sekretariat MAPO dan penyediaan bajet khusus bagi program atau aktiviti pembanterasan pemerdagangan orang adalah merupakan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil oleh pihak kerajaan bagi tujuan untuk mempertingkatkan kedudukan negara bagi tempoh penilaian oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2015 dan seterusnya.
Tuan Julian Tan Kok Ping [Stampin]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, terima kasih atas jawapan yang telah diberikan. Soalan saya, kenapakah dengan adanya akta-akta yang disebut tadi serta usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan, status Malaysia dari segi membanteras human trafficking jatuh ke paras yang paling rendah iaitu ke tier3, sama paras dengan negara Thailand yang begitu popular sekali dengan industri seks. Mengikut laporan CNN, yang dikatakan dari CNN dengan izin, ‘lack of insufficient action against human trafficking’.
Dalam satu temu duga dengan mangsa yang terselamat, negara kita adalah human trafficking hub di mana sebagai tempat strategik untuk menghantar mangsa ke negara lain. Ini adalah sangat membimbangkan. Yang Berhormat Menteri, mengikut sebuah dokumentari yang bertajuk ‘Trapped’ yang boleh ditonton di YouTube, dengan izin. Under age sex industry di Malaysia adalah begitu ketara sehinggakan walaupun ia adalah salah dari segi undang-undang, perniagaan seks dijalankan seumpama ianya adalah sah.
Soalan saya, apakah langkah serius kerajaan dalam melindungi mangsa-mangsa industri seks ini di mana di antara mereka dipaksa, dicabuli kehormatan mereka, pasport dirampas oleh sindiket-sindiket yang dikhuatiri begitu berkuasa sehingga memburukkan nama baik pihak berkuasa kita, pihak polis kita kerana dikhuatiri melindungi sindiket ini yang sudah sekian lama budaya perlindungan ini diamalkan.
■1050
Saya percaya rakyat mahu tindakan yang serius yang ditunjukkan oleh kerajaan. Buktikanlah dengan kembalikan status kita daripada tier 3 ke tier 1, biarlah ini KPI kerajaan kita. Dengan ini, saya menyokong kerajaan kita dalam membanteras industri seks di Malaysia supaya ia tidak akan memburukkan lagi nama negara kita serta saya menyokong perlindungan dan usaha kerajaan dalam melindungi mangsa-mangsa industri tersebut. Terima kasih.
Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Tuan Yang di-Pertua, saya sendiri telah mengadakan rundingan dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Saya juga berjumpa denganHomeland Security of US, saya juga berjumpa dengan beberapa agensi di US. Bukan untuk berlindung di bawah mereka tetapi kerana kedudukan negara kita dengan izin daripada tier 2 telah turun ke tier 3. Ini adalah disebabkan oleh jika sesebuah negara itu berada di tier 2 selama tiga tahun berturut-turut, secara automatik dia akan turun ke tier 3 pada tahun berikutnya.
Apa yang telah saya lakukan ialah dengan menubuhkan HLC dengan izin, High Level Committee di mana lima kementerian terlibat di dalam HLC ini, di mana beberapa langkah telah diambil mengikut checklist yang telah ditentukan. Senarai semakan ini telah saya ikuti dengan teliti dan saya sendiri mempengerusikan mesyuarat dan mengkordinasikannya dengan lima kementerian yang berbeza termasuklah bekerjasama dengan NGO supaya memberikan perlindungan kepada mangsa-mangsa pemerdagangan ini.
Langkah-langkah yang dilakukan termasuklah dengan memberikan peluang untuk mereka kembali ke negara asal setelah pemulihan dilakukan terhadap mangsa-mangsa berkenaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua NGO yang telah datang ke Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga untuk membantu dan peruntukan telah diusahakan supaya NGO ini diberikan peruntukan khas untuk mereka membantu mangsamangsa berkenaan.
Langkah-langkah lain yang perlu saya sebutkan di Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua termasuklah usaha pihak kerajaan untuk mempertingkatkan kehadiran dan pemantauan di semua hot spots yang digunakan untuk penyeludupan Malaysia khususnya di sempadan negara iaitu di utara dan selatan Semenanjung dan mengumpulkan semua maklumat tekong darat dan tekong laut serta bertindak sebaik sahaja pengumpulan maklumat diselesaikan. Selanjutnya mewujudkan contact point dengan pihak berkuasa Thailand bagi memudahkan perkongsian maklumat dan sumber risikan sebagaimana yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Stampin tadi.
Seterusnya mewujudkan kerjasama antara agensi umpamanya dengan pihak Australia melalui Border Protection Command dalam usaha membanteras kejadian penyeludupan manusia melalui Malaysia, Indonesia dan lain-lain negara untuk ke negara ketiga. Memperkukuhkan kerjasama antara agensi seperti PDRM, APMM, TLDM, Jabatan Laut Kastam Diraja Malaysia, imigresen dan lain-lain. Itu telah dijalankan termasuk juga mempertingkatkan keperluan logistik semua agensi-agensi penguatkuasaan terlibat seperti kapal dan bot ronda dan juga peralatan bagi menambah keberkesanan.
Ertinya, langkah-langkah yang kita jalankan adalah satu langkah yang memperlihatkan keseriusan pihak kerajaan bukan sahaja mewujudkan MAPO tetapi langkah-langkah telah dilakukan bagi memperlihatkan komitmen pihak kerajaan di dalam menangani permasalahan pemerdagangan orang ini.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Tuan Yang diPertua. Yang Berhormat Menteri, negara kita ini telah dicemari oleh sindiket perdagangan manusia. Seolah-olah kita telah dijadikan hab pengeluaran perdagangan orang dan kalau kita lihat sejarah, perdagangan manusia ini berlaku beribu-ribu tahun yang lalu. Ruparupanya betullah kata P.Ramlee, “ Wow, rupa-rupanya berniaga orang lebih untung daripada berniaga unta”. [Ketawa]
Jadi oleh kerana itu, dengan mewujudkan beberapa jawatankuasa, dengan mewujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia, apakah mungkin juga kerajaan perlu melihat visa on arrivalitu mungkin salah satu penyumbang ke arah perdagangan manusia itu sendiri sebab ada yang menyamar sebagai pelancong tetapi sebetulnya mereka diperdagangkan.
Jadi negara ini kecil tetapi sudah seluruh dunia tahu bahawa kita sebuah negara yang memproses manusia untuk diperdagangkan sedangkan perkara ini tidak betul. Ia dilakukan oleh sindiket. Jadi bagaimana untuk mematikan langkah-langkah sedikit ini pada masa-masa akan datang dan berapa ramaikah sindiket ini yang telah didakwa. Ditangkap dan didakwa di mahkamah dan apa hukuman yang diberikan kepada mereka supaya mereka tidak lagi melakukan perkara-perkara yang jahil begini untuk memperdagangkan manusia. Terima kasih.
Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Tuan Yang di-Pertua, apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Kinabatangan tadi adalah sesuatu yang benar termasuk apa yang disebut memberikan VOA atau visa on arrival dan ingin saya maklumkan bahawa visa on arrival dari China telah dihapuskan. Visa on arrival dari India telah juga dihapuskan dan beberapa negara juga telah dihapuskan termasuk dari Iran. Kita tidak prejudis dengan izin, kita tidak prasangka kepada mana-mana negara tetapi kita lihat daripada segi sumber permasalahan.
Bagi negara-negara yang menimbulkan masalah itu, bukan negara itu yang menimbulkan masalah tetapi ialah tekong-tekong darat dan tekong-tekong laut serta mereka yang disebut sebagai cerita P.Ramlee tadi. Saya harap Yang Berhormat
Kinabatangan tidak terlibat di dalam aktiviti itu. [Ketawa]
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Ini sangkaan jahat. [Ketawa]
Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Saya kata kita harap tidak terlibat, memang tidak terlibat pun tetapi yang penting di dalam perkara ini ialah usaha-usaha yang dilakukan oleh semua pihak termasuk dengan Angkatan Tentera Malaysia apabila kita menubuhkan GBC dengan izin General Border Committee kerana kita dapati bahawa terdapat lebih daripada 560 lorong-lorong tikus yang telah menjadi lorong-lorong gajah. Penyeludupan manusia ini bukan sahaja dari Utara tetapi di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia dan juga di kawasan laut. Begitu juga melalui selatan tanah air. Saya mengakui bahawa usaha-usaha harus diperkukuhkan dan diperkasakan bagi menentukan bahawa tidak ada penyeludupan ini lebih banyak berlaku.
Namun saya lihat permasalahan antaranya saya tidak menggunakan kesempatan ini untuk menyentuh lain-lain kementerian tetapi termasuklah visa pelajar. Apabila mereka masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar di kolej-kolej atau pusat bahasa tertentu yang kemasukan mereka adalah sebagai pelajar tetapi mereka tidak belajar. Mereka hanya mendaftar kemudian mereka bekerja ataupun bertugas di bawah sindiket-sindiket tertentu. Inilah pembanterasan yang sedang dilakukan.
Saya berterima kasih kepada beberapa orang Ahli Parlimen termasuk daripada Yang Berhormat Kelana Jaya yang telah memberikan maklumat kepada saya dan kita telah melakukan operasi bersama dan insya-Allah operasi bersama dengan Imigresen, dengan Jabatan Pendaftaran Negara, dengan JASA, dengan RELA, dengan JPAM dan lain-lain agensi dilakukan dan saya harap usaha yang dapat dilakukan termasuklah pendakwaan yang menjadi suatu isu pertikaian pihak Jabatan Negara Amerika terhadap Malaysia termasuklah apabila penangkapan dilakukan kepada 777 orang dan pendakwaan hanya dilakukan terhadap 153 orang.
Apa yang dilakukan oleh KDN ialah kita telah membincangkan dengan Jabatan Peguam Negara supaya mewujudkan mahkamah khas agar isu-isu yang tertangguh ini dapat dipercepatkan pendakwaan dan juga penghakimannya agar keseriusan kita menangani permasalahan ini akan dapat menjawab beberapa persoalan dan saya ingin menyebutkan di Dewan yang mulia ini bahawa sesungguhnya kerajaan serius di dalam menangani permasalahan perdagangan orang ini. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan