Sejuta Rahsia pikat penonton dengan peribahasa
15 November 2016 8:04 PM
|
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hijrah, Izelan Basar ketika sidang akhbar pelancaran program Sejuta Rahsia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL
KUALA
LUMPUR 15 Nov.— Stesen TV AlHijrah bakal menampilkan program baharu
berkonsep dakwah santai berjudul ‘Sejuta Rahsia’ yang akan ke udara pada
awal tahun depan dengan mengangkat kembali martabat peribahasa Melayu
dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah,
Izelan Basar berkata, pendekatan baharu itu diharap dapat menambat hati
penonton terutamanya golongan muda di negara ini.
“Program ini akan mencungkil maksud peribahasa
Melayu dan pada masa yang sama menggunakan elemen komedi dan dakwah
santai yang digemari oleh masyarakat terutamanya golongan belia.
“Pendekatan seperti ini bukan sahaja
memartabatkan peribahasa Melayu malah para penonton akan mendapat
manfaat dalam kehidupan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di
sini hari ini.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama
Anugerah International Sdn. Bhd. itu diserikan dengan kehadiran pakar
motivasi, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat
selaku pengacara bagi rancangan 17 episod itu.
Kata Syamsul, beliau teruja dengan program
baharu tersebut sambil menyifatkan para penonton akan mendapat pelbagai
iktibar daripada setiap maksud peribahasa yang diutarakan.
“Ia satu kejutan budaya untuk mengendalikan
program seperti ini di TV AlHijrah dan sememangnya cabaran untuk saya
sendiri memahami pelbagai peribahasa yang akan diketengahkan dalam
program itu nanti.
“Saya percaya penonton akan dapat menimba banyak ilmu melalui peribahasa yang jarang digunakan selama ini dan diharap ramai yang akan menontonnya nanti,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan