Pengikut Blog Panglima

08 Februari 2017

AJK Fatwa Pulau Pinang Bantah Campur Tangan Politik Dalam Urusan Fatwa CC @501Awani @Bernama


PENJELASAN DATO' MD SALLEH HJ AHMAD (AJK FATWA PULAU PINANG) MENGENAI ISU CAMPUR TANGAN POLITIK TERHADAP PROSES PEMFATWAAN

Saya mengikuti isu yang berbangkit di dalam akhbar mutakhir ini mengenai campur tangan politik terhadap proses pemfatwaan. Sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang masih berkhidmat, saya menyokong penuh kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Ust Afnan Hamimi,  bahawa wujudnya campur tangan politik daripada Kerajaan Negeri terhadap proses pemfatwaan. 

Saya melahirkan dukacita terhadap Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana campur tangan beliau ke atas proses pemfatwaan. Ada arahan daripada beliau pada tahun 2010 kepada Jawatankuasa Fatwa supaya fatwa kalimah Allah yang telah digazetkan, dibincangkan semula agar keputusan Jawatankuasa Fatwa selari dengan pendirian Kerajaan Negeri pimpinan DAP ketika itu yang tidak bersetuju dengan fatwa kalimah Allah. 

Walau bagaimanapun, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada tahun 2010 tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang telah digazetkan, dikekalkan sebagai fatwa.

Selain itu, terdapat beberapa fatwa yang ditangguhkan oleh Exco Agama untuk dibawa kepada Yang DiPertuan Agong. Perkara ini pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri. Saya kesal dengan tindakan ini, seolah-olah kuasa Exco Agama di dalam hal pemfatwaan ini lebih besar daripada kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Oleh itu, saya minta supaya tindakan campur tangan politik ini dihentikan. Semua fatwa yang diputuskan hendaklah terus dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong, tidak perlu melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Saya berharap kenyataan ini dapat menjelaskan perkara yang sebenar berkaitan isu yang timbul. Saya juga mengharapkan agar masyarakat Islam sama-sama bangkit mempertahankan institusi fatwa daripada sebarang campur tangan dan tekanan politik mana-mana pihak.

Sekian, terima kasih.

DATO' MD SALLEH HAJI AHMAD
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang 
8 Februari 2017


Sent from my iPhone
Catat Ulasan