Harap kerajaan tidak buat pusingan-U
KOTA BHARU 24 Nov. - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap tidak melakukan pusingan-U selepas membuat penegasan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan keputusan itu, namun berharap semua pihak terutama golongan yang bersikap 'pelampau' juga menerima keputusan kerajaan itu dengan hati terbuka.
Tanpa menjelaskan definisi 'pelampau' yang beliau maksudkan, Mohamad Shukri berkata, keputusan itu juga menunjukkan kerajaan memberi perhatian kepada sensitiviti masyarakat.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, meskipun Palestin dan Arab Saudi menandatangani ICERD, tidak bererti Malaysia perlu mengambil langkah sama kerana sejarah, adat dan penerimaan setempat yang berbeza.
Katanya, ada juga negara yang meratifikasi konvensyen itu tetapi tidak pun memenuhi segala perkara dalam konvensyen tersebut seperti Israel yang diketahui melanggari beberapa hak asasi manusia terutama dengan menindas rakyat Palestin.
"ICERD tidak perlu dan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana kemudaratannya dikhuatiri lebih besar. Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin hak setiap kaum dan agama di negara ini," jelas beliau.
Dalam pada itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tiada lagi keperluan untuk perhimpunan diadakan setelah kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD.
"Kerajaan telah pun mendengar bantahan rakyat dan kita kenalah berterima kasih kepada mereka, itu sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan