Polis akan siasat dua akuan bersumpah Balasubramaniam- kata Ismail
KUALA LUMPUR 4 Julai - Polis akan menjalankan siasatan terhadap dua akuan bersumpah yang dibuat oleh penyiasat persendirian P. Balasubramaniam walaupun beliau menarik balik tuduhan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis akan menyiasat akuan bersumpah yang dibuat oleh Balasubramaniam pada 1 Julai lepas dan begitu juga terhadap akuan bersumpah yang bertarikh hari ini.
``Polis akan siasat kedua-duanya. Yang semalam kita siasat dan yang ditarik (balik) hari ini juga kita siasat,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Balasubramaniam, yang juga saksi dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, semalam mengedarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai yang mengandungi beberapa butiran yang didakwanya menunjukkan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.
Bagaimanapun, dalam akuan bersumpahnya bertarikh hari ini, Balasubramaniam menarik balik seluruh isi kandungan dalam akuan bersumpahnya sebelum ini.
Ismail berkata, polis akan tetap menyiasat akuan bersumpah pertama Balasubramaniam kerana beliau (Balasubramaniam) mungkin mempunyai niat yang terselindung.
``Mungkin ada niat untuk mengaburi mata orang ramai, jadi kita kena siasat keseluruhannya,’’ katanya.
Najib dalam sidang akhbar semalam, sekali lagi menegaskan yang beliau tidak pernah mengenali Altantuya dan menyifatkan tuduhan mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh itu sebagai `pembohongan dahsyat.’
Najib menegaskan cubaan terbaru itu untuk mengaitkan beliau dengan jenayah itu adalah “rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya. - Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan