Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

28 Disember 2011

Islam dan Melayu Boleh Dipertahan Jika Tulisan Sangat Ikhlas Dr Ridhuan Tee Ini Disebarkan



Semalam semasa berceramah Panglima ada menyentuh isu orang Cina masuk Islam mungkin lebuh kuat keislaman mereka seperti Dr Ridhuan Tee.

Kita tidak boleh memperkecil atau menghina mereka walaupun kafir sebelumnya kerana hidayah belum tentu tidak singgah ke hati orang seperti ini.

Contoh lain Dr Farid Ravi, antara orang yang jujur memeluk Islam dan mengajak orang ke arah Islam. 

MEREKA SEMUA DIANGGAP MELAYU KERANA DEFINISI MELAYU IALAH MERANGKUMI SETIAP ORANG ISLAM WALAU DARI BANGSA BUKAN MELAYU!

Kecuali kafir anti Islam, mereka sememangnyq WAJIB ditentang demi maruah Islam.

Zaman Nabi saw, sahabat berbangsa asing tetap dianggap saudara sendiri walau datang jauh dari Parsi atau berketurunan hamba Habsyi. Sama seperti kita amalkan di Malaysia.

SEPERTI SAIDINA BILAL DAN SALMAN AL FARISI.

Baca tulisan Dr Ridhuah Tee yang dipetik dari yahoogroups yang boleh menyedarkan umat Melayu Islam pro PAS atau UMNO jika mereka inginkan kebenaran.


Orang Pas menyuruh saya berhenti menulis dan jangan campurtangan urusan rumahtangga mereka mengenai kedudukan Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa yang diibarat sebagai duri dalam daging. Menurut Pas, biarlah mereka tangan sendiri masalah dalamannya. Orang luar tidak perlu campurtangan, sebab mereka berada di luar. Pas lebih tahu, apa yang perlu dilakukan. Benar, saya mengakui, tetapi tidak perlulah menyuruh saya berhenti memberi pandangan, kerana kebebasan ini dijamin oleh perlembagaan. Kenapa tidak suruh ultra kiasu yang terang-terang menghina Islam dan melakukan kemungkaran berhenti bercakap dan menulis. Manakah yang lebih bahaya, saya atau ultra kiasu?. 

Pas sepatutnya perlu merasa beruntung dan bersyukur kerana ada ahlinya yang bernama Hasan dan Nasharuddin. Orang seperti ini perlu wujud bagi menegurkan Pas supaya kita tidak terlalu syok sendiri atau terlalu tertutup. Teguran sebegini agak sukar diterima oleh Pas. Ternyata segelintir orang Pas lupa bahawa saya adalah ahli akademik. Saya berhak untuk memberikan pandangan mengikut bidang dan perspektif saya, asalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan perlembagaan. Apatah lagi menyeru agar umat Islam bersatu, sudah menjadi satu kemestian yang mendesak. 

Jika masih ada yang beranggapan sedemikian, kita tidak boleh menyentuh sesuatu parti sebab 'orang luar', sayapun boleh katakan Pas jangan campurtangan atau memberi pandangan tentang Umno kerana Pas adalah orang luar Umno. Umno lebih tahu hal Umno, daripada Pas. Kenapa Umno dikritik begitu hebat, seolah-olah semua yang Umno lakukan salah, yang betul hanya Pakatan Rakyat dan ultra kiasu? Kita hanya manusia biasa, tidak lari dari salah dan silap. Saya sendiri tidak semuanya betul, saya bersedia menerima kritikan. Saya bersikap terbuka. Komen-komen negatif dalam blog, saya biarkan, kecuali mereka mencarut atau menggunakan bahasa lucah. 

Dalam Islam, nasihat dan teguran tidak mengenal kawan atau lawan, sebab kita tidak maksum, kecuali para Nabi. Hatta, para sahabat sekalipun yang dijamin masuk syurga, pun ditegur oleh mereka yang sezaman dengannya. Inikan pula pemimpin-pemimpin parti politik yang sentiasa diperhatikan oleh rakyat perlakuannya. Rakyat berhak bersuara. Sepakar atau sepandai manapun kita, hatta pakar perlembagaan mana sekalipun, kita tetap manusia. Ada kalanya kita benar, adakalanya kita silap. Itulah manusia yang dijadikan oleh Allah SWT serba kekurangan. Justeru, janganlah terlalu rigid.

Belajarlah daripada Hamas dan Fatah. Kedua-dua parti ini boleh diibaratkan seperti Pas dan Umno. Hamas dan Fatah begitu terbuka. Inilah ciri-ciri orang yang mahu berjaya. Kepentingan umat Islam didahulukan, daripada kepentingan parti dan peribadi. Bukan seperti kita, asyik berdolak dalih. Sekejap ini, sekejap itu, sekejap negara Islam, sekejap negara berkebajikan. Itu yang menjadikan orang lain keliru dan tidak dapat menerima, terutama pengikut setia Pas seperti Hasan dan Nasharuddin. 

Apatah lagi Umno yang tidak sehaluan dengan Pas. 

Hamas berfahaman Islam, menolak Amerika dan kuncunya Israel, manakala Fatah bertindak sebaliknya, berfahaman nasionalis, cuba berbaik dengan Amerika dan Israel. Dua parti saling bertentangan. Namun, kebangkitan rakyat di negara Arab memberi kesan dalam mengubah persepsi politik mereka. 

Bersatu demi kepentingan agama dan bangsa. Begitu juga dengan Pas dan Umno. Saya tidak nampak ada halangan besar di situ. Dalam Islam, kita tidak boleh menerima semua dan menolak semua, kecuali dalam perkara kebaikan. 

Amerika dan Israel, tidak boleh dimusuhi sepanjang masa. Mereka juga adalah makhluk Allah. Ramai kalangan mereka yang bersimpati dengan Islam. Kita hanya menolak gerakan zionis yang mahu memusnahkan Islam. Saya tidak memusuhi ultra kiasu, tetapi saya menegur mereka supaya jangan menjadi terlalu ultra seperti segelintir Yahudi. Hak kita boleh diganggu, hak mereka langsung tidak boleh diusik. Penyatuan hanya berlaku akan jika para pemimpin bersedia, bersikap terbuka dan bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Selagi tidak ada sifat keterbukaan ini, saya tidak nampak ada lorong ke arah penyatuan. 

Pelbagai salah laku yang dibuat pemimpin hari ini yang membuatkan rakyat sudah muak dan jelak. Apa sahaja yang cuba dilakukan, semuanya salah. Saya masih ingat lagi, apabila kita menentang dakyah Kristian yang bercanggah dengan perlembagaan, maka kita dikatakan bersubahat atau bersekongkol dengan Umno yang mahu memenangi hati pengundi Melayu, disebabkan oleh pengaruhnya yang didakwa semakin merosot. Kedua, apabila kita melaungkan kesatuan, kita dicop lagi menyokong Umno sebab Umno dikatakan sudah terdesak. Sedangkan kedudukan Islam semakin parah. Ketiga, apabila kita memperjuangkan kesatuan Melayu Islam, kita dituduh rasis seperti Umno. Apa jua kebenaran yang dibangkitkan, jawapannya Umno! Umno! Umno. Ultra kiasu yang jelas-jelas memperjuangkan bangsa, terang-terang dikatakan memperjuangkan Malaysian first. 

Baru-baru ini ultra kiasu mengeluarkan pendapat bahawa mereka menolak "politik diskriminasi" Umno yang mendahulukan Melayu dan meletakkan rakyat Malaysia di tempat kedua. Ultra kiasu mengecam Umno dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu. Menurut ultra kiasu lagi, Umno selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk mewajarkan agenda perkauman mereka. Persoalan saya, adakah ultra kiasu tidak rasis? Jika tidak percaya, cuba sentuh sedikit hak mereka. Lihatlah reaksinya. Misalnya, isu mengenai kantin sekolah Cina yang perlu menyediakan makanan halal. Lihatlah reaksi mereka! Kita hanya akan dinobatkan menjadi wira, hanya apabila kita mengkritik kerajaan atau Umno. Jika tidak, selama-lamanya kita akan dilabelkan sebagai tali barut Umno, profesor kangkung dan sebagainya. Yang bukan tali barut dan bukan profesor kangkung, hanyalah mereka. Apakah makna semuanya ini?

Kita masih tidak belajar dari Hamas dan Fatah. Lebih menyedihkan, sampai ke peringkat, apa sahaja yang dilakukan, termasuk perkara baik, semua dianggap sebagai mainan atau helah politik untuk memenangkan Umno. Sesiapa yang bersifat neutral, tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti, tetapi hanya memperjuangkan kebenaran juga terpalit dan dilabel dengan pelbagai tohmahan dan gelaran. Justeru, saya menyeru, keegoaan dan prejudis pemimpin hari ini mesti diketepikan jika ingin memastikan nasib umat Islam terjamin dan terbela. Kita harus belajar dari Hamas dan Fatah. Hamas dan Fatah telah berselisih sejak Hamas memenangi pemilihan parlimen Palestin pada Januari 2006. Dahulu mereka bermusuh. Tidak boleh bertatap muka. Kenapa hari ini mereka boleh duduk semeja? Jawapannya mudah. Masa lalu dilupakan, masa kini dan akan datang adalah segalanya. 

Islam mesti diselamatkan daripada diratah oleh musuh, kerana jika Islam selamat, yang lain-lain pasti akan selamat. Justeru, pemimpin harus bersedia untuk berubah jika ingin terus relevan dan tidak rebah. Tidak guna pemimpin melaungkan kesatuan jika mereka tidak bersedia untuk bekerjasama dan saling berkorban. 


Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee AbdullahUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia

1 ulasan:

AJAI62 berkata...

Assalam Bro

Mohon izin utk copy and paste ke blog saya... TQ

Cari Blog Ini

Translate