Pengikut Blog Panglima

24 Julai 2013

BERNAMA - Proses Undi Lebih Cepat Dengan Celup Jari Dalam Dakwat - SPR

KUALA BESUT, 24 Julai (Bernama) -- Kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal yang diperkenalkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut hari ini mempercepatkan proses pengundian berbanding kaedah mencalit pada kuku sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang melakukan tinjauan ke pusat-pusat pengundian di Kuala Besut di sini, berkata kaedah mencelup jari itu juga membantu kelancaran proses pengundian.

"Proses pengundian lebih cepat kerana sebuah buku yang mengandungi 50 kertas undi boleh dihabiskan dalam masa 40 minit, iaitu kurang dari seminit untuk seorang pengundi," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Peroi di sini.

Beliau kemudian meninjau pusat pengundian di SK Kampung Nangka, SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri.

Wan Ahmad berkata kelancaran proses mencelup itu juga disebabkan kecekapan petugas SPR yang kini lebih berhati-hati dalam mengendalikan dakwat berkenaan.

"Pengundi juga faham bagaimana proses mencelup dilakukan hasil hebahan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Pada 18 Julai lalu, satu simulasi proses pengundian dan cara mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal diadakan di Pejabat Daerah Besut di sini.

--BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=965697


Sent from my iPhone
Catat Ulasan