Pengikut Blog Panglima

24 September 2013

@ShahrizatJalil persoal peranan Maznah dan Raihan yang dakwanya 'tak aktif'

Ini secara kebetulan dan bukan dirancang.Sidang akhbar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di pejabat Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra diadakan sejam setengah selepas pencabarnya untuk jawatan Ketua Wanita UMNO,Datuk Maznah Mazlan bersua dengan wartawan di sebuah hotel di Petaling Jaya Isnin.

Jemputan sidang akhbar Ketua Wanita UMNO untuk bercakap mengenai program Jaringan Untuk Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA) pergerakan itu sudah dihantar sejak petang Ahad.

Maznah sendiri mungkin tidak tahu menahu mengenai sidang akhbar Shahrizat ketika memanggil wartawan yang mencarinya sejak petang Sabtu bila secara mengejut menyerahkan borang untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO.

Seperti biasa kerana kehangatan mood pemilihan UMNO,sidang akhbar Shahrizat dikuasai oleh soalan-soalan berkaitan isu berkenaan.

Beliau antara lain bersemangat menepis cubaan pihak yang cuba memperlekeh keupayaan dan prestasi sayap itu.

Beliau berkata prestasi Wanita UMNO memang tidak boleh dinafikan, malah ia juga menjadi tunjang kekuatan dan kemenangan Umno serta Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Wanita UMNO hari ini lebih bersatu dan mantap, justeru menjadikan pergerakan itu idaman ramai, katanya.

"Kita bukan paper tiger. Gitu-Gitu bagi syarahan, bagi retorik. Kita memang turun padang. Saya nak cabar siapa boleh pertikaikan itu. Kami ini pergerakan di peringkat akar umbi," katanya.

Shahrizat diminta mengulas kenyataan  Maznah bahawa keputusan beliau bertanding jawatan Ketua Wanita adalah kerana mahu memperkuatkan sayap itu supaya dihormati dan tidak diperlekeh oleh sesiapa.

"Nak memperlekehkan apa. Orang yang mempertikaikan itu pun tak pernah turun program Wanita," katanya.

Shahrizat berkata beliau mengambil alih sayap itu daripada Tan Sri Rafidah Aziz pada tahun 2009 ketika suasana politik negara tegang.

"Saya bukan ketua di zaman senang-lenang. Saya ambil alih di zaman kita hadapi tsunami politik," katanya.

Setelah empat tahun memimpin sayap itu, beliau berkata Wanita kini lebih bersatu padu dan berada di satu tahap yang membanggakan, katanya.

"Wanita UMNO telah jadi satu pergerakan yang amat menarik, sebab itu ramai orang nak masuk. Mereka lihat, wah... Wanita hidup semula, penjenamaan, jentera, semua dah OK. Sebab tu ramai berminat," katanya.

Shahrizat berkata sekiranya diberi kepercayaan untuk terus memimpin, beliau akan membawa Wanita UMNO ke satu lagi tahap kecemerlangan.

Selain Maznah, beliau dicabar anggota UMNO Kulim Bandar Baharu Raihan Sulaiman Palestin.

Shahrizat berkata walaupun menjadi Exco Wanita kebangsaan, Maznah tidak pernah hadir untuk sebarang mesyuarat sejak awal 2013, selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti sayap.

Begitu juga dengan kes Raihan yang tidak aktif dalam sayap itu sehingga keanggotaannya menjadi tanda tanya, kata beliau.

Mengulas dakwaan Raihan terhadap cubaan beberapa pihak yang memujuknya menarik diri, Shahrizat berkata beliau tidak berminat dalam hal seperti itu.

"Kita orang politik, menang kalah mesti dalam gelanggang. Saya sebagai Ketua Wanita, saya bertanding dalam gelanggang, tak jadi masalah siapa mahu bertanding," katanya.

Shahrizat berkata beliau juga langsung tidak terkejut dengan tindakan Maznah dan Raihan kerana sudah menjangka mereka akan tampil mencabarnya.

Beliau turut ditanya berhubung penyertaan Maznah dan Raihan yang dilihat banyak pihak sebagai protes sesetengah kumpulan terhadap kepimpinannya.

"Kalau kita nak bertanding, baik kerana kita nak bawa visi, perjuangan, jangan kita masuk (bertanding) sebab dendam atau suka-suka atau kita proksi," katanya.

Katanya, dalam pertandingan, beliau berpegang kepada prinsip tidak memburukkan lawan sejak menjadi Anggota Parlimen pada 1995.

Shahrizat juga yakin dengan peluangnya dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menilai sendiri rekod prestasi beliau sepanjang berkhidmat di sayap itu.-23/9/2013

http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/shahrizat-persoal-peranan-maznah-dan-raihan-yang-dakwanya-tak-aktif.html

Catat Ulasan