Pengikut Blog Panglima

20 Mac 2014

Ucapan Mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid : Bersama Mempertahan Perlembagaan Bersama BPN - Mohon Sebarkan


Bersama mempertahan Perlembagaan

Tun Abd Hamid (kanan) gambar dari laman web JAKIM

SEBENARNYA, reaksi awal saya kepada pelawaan untuk menyertai tuantuan dan puan-puan dalam kumpulan iniadalah untuk menolaknya kerana selain keuzuran saya, saya tidak fikir tugas ini sesuai dengan watak dan latar belakang saya. Saya bukan seorang aktivis. Saya lebih kepada seorang pemikir dan penulis.

Tetapi, setelah mendengar penjelasan dan akuan wakil tuan-tuan; melihat kesungguhan dan harapan mereka; memikirkan betapa runcingnya kedudukan bangsa Melayu dan umat Islam di negara kita pada masa ini, saya bersetuju dengan beberapa syarat:

Pertama, penyertaan saya ini adalah untuk suatu tempoh sahaja, bukan untuk sepanjang hayat, apatah lagi saya pun sudah berada dalam 'waktu kecederaan'.

Kedua, saya tidak akan terlibat dalam apa-apa hal yang menyalahi undangundang.

Ertinya apa yang dilakukan oleh BPN hendaklah dalam lingkungan undangundang bukan di luar atau melanggarnya.

Ketiga, segala tingkah laku kita hendaklah mengikut peradaban Melayu dan akhlak Islam. Sebagai orang Melayu, kita ada adat dan adab. Sebagai orang Islam, kita ada syariah dan akhlak. Itu kita perlu patuhi.

Saya sedar bahawa kehadiran saya mungkin akan memberi beberapa kekangan atau halangan terhadap aktiviti tuantuan sekalian. Saya tidak mahu menyekat atau menghalang pergerakan dan tindakan tuan-tuan.

Sebaliknya, saya tidak mahu terlibat, walaupun secara tak terus (indirectly) dalam tindakan atau perbuatan yang saya tidak sepatutnya terlibat. Saya tidak akan mengkompromi integriti saya.

Tetapi, saya percaya bahawa terdapat ruang cukup untuk kita melakukan sesuatu yang berkesan dengan cara betul dan terhormat. Sepanjang hidup Rasulullah SAW, pernahkah baginda melakukan sesuatu termasuk terhadap musuh-musuhnya, yang merendahkan kedudukannya sebagai seorang Rasul? Jawapannya tidak.

Itulah yang membezakan di antara Nabi Muhammad dengan Abu Jahal dan di antara umat Islam dengan umat agama lain. Saya juga mahu ia menjadi garis pengukur yang membezakan di antara bangsa Melayu dengan bangsa lain.

Maka kita akan lakukan sesuatu yang betul dengan cara betul dan terhormat. Itu falsafah saya.

Untuk mencapai sesuatu, niat baik sahaja tidak mencukupi. Doa sahaja tidak memadai. Usaha yang sesuai mestilah dilakukan dengan betul dan bersungguhsungguh.

Kekalahan pasukan Islam dalam peperangan Uhud, walaupun di bawah pimpinan Rasulullah sendiri adalah misalan yang tepat. Mereka kalah kerana pasukan pemanah tidak mematuhi arahan sebalikya meninggalkan kedudukan untuk merebut harta rampasan perang, membolehkan Khalid Ibn Walid mengumpulkan semula pasukannya dan menyerang dari arah yang bertentangan.

Ia berlaku walaupun kepada pasukan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah sendiri.

Siapakah kita hendak mengharapkan keajaiban?

Dalam peperangan Khandaq, baginda menerima cadangan Salman Al-Farsi dan bertungkus-lumus mengorek parit. Mereka tidak hanya berdoa memohon pertolongan Allah. Dalam kata lain, kita perlu lakukan sesuatu yang betul dengan cara betul untuk mendapat hasil yang diharapkan.

Dalam hidup ini, tidak ada jalan senang untuk senang. Kita dilahirkan orang Melayu dan Islam.

Itu bukan pilihan kita. Itu adalah takdir Allah SWT terhadap kita. Kita akan mati sebagai orang Melayu. Kita juga tiada pilihan mengenainya. Walaupun kita ada pilihan dalam hal agama, kita mahu mati sebagai orang Islam. Itu pilihan kita, dengan izin dan rahmat Allah SWT.

Maka salahkah jika kita katakan "Kami Melayu dan Islam"? Salahkah jika kita katakan"Kami akan bercakap sebagai orang Melayu dan Islam"? Salahkah jika kita, sebagai satu bangsa dan satu umat, berkata: "Kami mahu mempertahankan kedudukan dan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam di negara kami"?

Saya datang bukan untuk memimpin. Saya datang cuma untuk berkongsi buah fikiran dan pengetahuan saya jika ada dan bersesuaian, demi agama, bangsa dan negara.

Maka, sama-samalah kita berusaha mela­kukan apa yang perlu dan patut dilakukan.

Semenanjung Tanah Melayu telah dijajah. Yang menentangnya baik Datuk Bahaman, Datuk Sagor, Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, ialah orang Melayu.

Yang menentang Malayan Union ialah orang Melayu. Yang mengangkat senjata menentang pengganas komunis semasa darurat ialah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan ialah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ianya akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuannya sudah berbeza.

Logiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, dan "untuk menjaga perpaduan" orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh Inggeris. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka "untuk menjaga perpaduan".

Orang Melayu bersetuju, sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum 1955, untuk memberi lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan majoriti Melayu diberikan kepada calon-calon bukan Melayu untuk bertanding.

Semasa rundingan kemerdekaan, Pas menuntut supaya Pulau Pinang dan Mela­ka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak keistimewaan orang Melayu.

Begitu prihatin mereka kepada nasib bangsa Melayu pada masa itu. Parti Buruh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Tida kkah tuan-tuan terhidu bau yang serupa sekarang?

Parti Komunis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan komunis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan mereka? Mahukah orang Melayu diperalatkan lagi?

Biar apa pun, akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan dipersetujui dan ia menjadi undang-undang utama di Malaysia. Hak rakyat, hak setiap kaum, bentuk kerajaan dan seterusnya diperuntukkan dengan teliti.

Ia diterima oleh semua pihak dan merupakan antara beberapa buah Perlembagaan sahaja yang dibuat dalam dekad sama yang masih kekal. Kita patut berbangga dengannya.

Dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan anak nege­ri Sabah dan Sarawak lebih mirip kepada orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka.

Selama 56 tahun Kerajaan Persekutuan

dipimpin oleh sekumpulan parti pelbagai bangsa dengan seorang Melayu sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan dinikmati oleh semua orang dan semua kaum.

Mana satu kaum yang boleh berkata bahawa mereka tidak menikmati kemakmuran Malaysia walau sedikit pun?

Negara kita di antara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalnya masih berkuat kuasa.

Malah Malaysia disifatkan sebagai model­ negara membangun dan negara Islam moden. Jika kaum minoriti hendak complaint mengenai kebebasan mereka, tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memberi lebih banyak hak kepada kaum minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohing­ya di Myanmar? Di negeri-negeri­ jiran, nama mereka pun perlu diubah.

Dari segi kebebasan beragama, pernahkah kerajaan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka? Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumahrumah ibadat mereka di Malaysia termasuk di atas tanah kerajaan dengan percuma tanpa sebarang tindakan malah akhirnya akan diberi pula pampasan berbanding halangan yang dihadapi oleh orang Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah atau Amerika Syarikat.

Tetapi, berlainan dengan rakyat negara lain, banyak rakyat Malaysia tidak tahu berterima kasih, tidak berbangga dengan negaranya dan tidak mempunyai rasa taat setia yang secukupnya. Bukan itu sahaja, mereka memperlekehkan negara sendiri terutama sekali semasa berada di luar negara.

Golongan ini, akan melakukan apa sahaja, tanpa mempeduli apa caranya dan apa akibatnya kepada negara untuk mengaut keuntungan diri sendiri, sambil memperlekehkannya.

Keadaan bertahan selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh, pemimpin-pemimpin tegas dan ekonomi senantiasa berkembang.

Kerajaan Persekutuan kuat sebab mene­rima sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang mencukupi, walaupun lebih

banyak orang Cina menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja sebabnya.

Tetapi, keadaan berubah lebih kurang satu dekad kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka dengan kemakmuran yang baru dirasa, ketaksuban kepada parti dan pemimpin serta kehadiran pemimpin dan penyokong yang oportunis yang tidak kira apa akan terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan citacita mereka tercapai.

Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Melihat keadaan itu, kumpulan yang memang pandai mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan mereka untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatupadu sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang naif itu.

Mereka hampir berjaya. Sambil itu kumpulan yang ekstremis mula membuat tuntutan yang bukanbukan, menyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja, menghina pemimpin Melayu dan menghina agama Islam.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan mengalah dan memberi. Sikap itu dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi. Senjata mereka sama seperti semasa menuntut kemerdekaan: "Jika mahu sokongan kami, berikan kami itu dan ini."

Apa yang mereka mahu sekarang ialah apa yang telah dipersetujui dahulu semasa rundingan Perlembagaan sebagai hak orang Melayu sedangkan hak yang diberi kepada mereka kekal hak mereka.

Apakah perdirian kita mengenainya? Itu soalan yang kita mesti jawab. Sebenarnya, kita bukan hendak berlawan membuat tuntutan dengan sesiapa. Kita cuma berkata, marilah sama-sama menghormati perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dimaktubkan dalam Perlembagaan kita. Marilah kita sama-sama menunjukkan taat setia kepada negara kita ini.

Marilah sama-sama kita bina negara Malaysia ini untuk faedah bersama. Jika kita menghormati peruntukan-peruntukan Per­lembagaan yang telah kita setujui itu dan melaksanakannya dengan adil dan bertanggungjawab, semua akan mendapat faedahnya. Tiada siapa yang akan terpinggir.

Sejarah Malaysia telah membuktikannya. Kepada sesama bangsa Melayu dan saudara Islam, tidak kira dalam parti mana atau kumpulan mana, kita berseru marilah kita mengeratkan semula silaturrahim di antara kita.

Marilah kita perkuatkan barisan. Marilah kita sama-sama mempertahankan hak bangsa dan agama yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Hanya jika kita bersatu dan kuat barulah orang lain akan menghormati kita semula.

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana, kita minta supaya mengetepikan kepentingan peribadi, jauhi rasuah, berfikir lebih jauh, jadilah teladan yang boleh diikuti oleh rakyat dan bersama-samalah mempertahankan bangsa, agama dan negara, dengan mempertahankan peruntukanperuntukan Perlembagaan Malaysia yang sedia ada dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan.

Malah semua pemimpin negara, tidak kira apa parti politiknya, sama-sama mempunyai tanggungjawab mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan semua.

Anak-anak Sabah dan Sarawak juga perlu ingat bahawa apa yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya bersama mempertahankannya.

Sekian terima kasih.

Ucapan juga boleh diikuti melalui http://www.tunabdulhamid.my


© Utusan Melayu (M) Bhd
Catat Ulasan