Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

20 Jun 2014

TPM @MuhyiddinYassin Nafi Berundur Daripada Kabinet - @Bernama



KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan akan berundur daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, sekaligus menolak desas-desus yang tersebar di laman media sosial mengenai perkara itu.

Muhyiddin menegaskan beliau akan terus memberi perkhidmatan selama yang termampu dan selagi diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya masih lagi di sini, masih cergas. Rombakan Kabinet adalah hak perdana menteri. Kemungkinan akan berlaku sebab beliau dah nyatakan akan bawa masuk beberapa pemimpin parti politik dari MCA dan Gerakan.

"Kedudukan saya terserah kepada beliau tapi selama masa saya berada dalam Kabinet, beliau (perdana menteri) dah biasa berbincang dengan saya.

"Jadi, setakat hari ini, tak ada apa-apa pun perkara yang dibangkit melibatkan kedudukan saya," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Majlis Sains Asia Ke-14 di sini, hari ini.

Khabar angin mengenai pengunduran Muhyiddin daripada Kabinet tersebar di laman-laman blog sejak semalam, yang mendakwa beliau mahu memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno.

Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang akan dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata khabar angin itu mungkin timbul berikutan hubungan baik beliau dalam kerajaan khususnya dengan Najib selain tidak menolak ekploitasi sesetengah pihak terhadap kedudukan kerajaan yang bertambah kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lepas.

"Kedudukan saya, terserah kepada beliau (perdana menteri), tapi selama masa saya berada dalam Kabinet, beliau dah biasa berbincang dengan saya,"katanya.

Menurutnya hubungan baik antara beliau dan Najib juga membolehkan perbincangan dilakukan dari hati ke hati.

"Kalau ada apa-apa berkaitan masa depan saya pun, saya akan bincang dengan Perdana Menteri juga," katanya.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan semua pihak mengenai pentingnya kestabilan parti dan kerajaan yang akan menjurus kepada kestabilan negara.

"Kestabilan negara bergantung kepada keupayaan kita untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh, dan apa juga spekulasi tidak boleh membawa kesan buruk kepada mana-mana pihak.

"Bagi saya, keutuhan kerajaan dan kekukuhan Umno dan BN, itu yang utama. Jangan mereka salah baca, kononnya boleh berjaya cetuskan keadaan tidak menentu untuk eksploitasi keadaan," katanya.

Justeru itu, Muhyiddin meminta semua pihak khususnya anggota Umno dan BN untuk memahami tujuan sebenar di sebalik khabar angin yang ditimbulkan itu.

"Mungkin sebab sengaja nak timbulkan spekulasi supaya wujud satu keadaan ketidakstabilan atau pertembungan puak-puak dalam parti atau kerajaan saya dengan sesiapa yang lain supaya boleh menangguk di air keruh dan dapat faedah daripadanya," katanya.

Beliau juga yakin anggota parti yang mahir dan bijak membaca keadaan politik negara tidak akan mudah dipengaruhi khabar angin yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate