Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

29 Julai 2014

@Drwanazizah Jadi MB: @NikAbdulAziz pertahan Hadi @Abdulhadiawang - Tamparan Keras Kepada @Anwaribrahim


KUALA LUMPUR 27 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor.

Nik Abdul Aziz berkata, Pas perlu meletakkan keutamaan ketaatan kepada Presiden walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan parti itu berhubung polemik yang sedang melanda pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Pas ini nakhodanya Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri turut mendapat maklumat daripada banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini.

"Cukuplah untuk saya menyatakan buat masa ini, ahli Pas hendaklah meletakkan keutamaan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Abdul Hadi baru-baru ini mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Abdul Hadi berhubung polemik jawatan tersebut sebagai pandangan peribadi dan bukan keputusan rasmi parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Abdul Aziz berkata, beliau pada mulanya enggan melayan isu Menteri Besar Selangor, namun mengubah pandangan apabila terus didesak memberikan respon terhadap kenyataan Abdul Hadi mempertahankan Abdul Khalid kelmarin.

"Saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Presiden Pas yang mempertahankan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

"Ramadan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik, seolah-olah kenyataan Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan," katanya.

Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mahu menggugurkan Abdul Khalid daripada kedudukannya sekarang sebagai Menteri Besar.

"Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Abdul Khalid ingin digugurkan daripada jawatan Menteri Besar?

"Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihan raya umum yang lepas, prestasi pakatan rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi menteri besar, tiba-tiba hari ini ingin digugurkan.

"Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan? Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan pakatan rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti.

"Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai," katanya.

Beliau dalam pada itu berharap pemimpin utama dalam pakatan pembangkang dapat menyelesaikan polemik tersebut secara baik.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada beberapa pimpinan Pas yang terus memberi sokongan kepada beliau untuk terus menerajui negeri itu.

"Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pencerahan yang diberikan oleh Nik Abdul Aziz serta Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan," katanya.

Beliau dalam pada itu berjanji kepada rakyat Selangor untuk memastikan pentadbiran negeri itu diurus sebaik mungkin.

"Saya berjanji sempena akhir Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang, kita akan pastikan pentadbiran kerajaan Selangor diurus dengan sebaik-baiknya sebagaimana mandat yang diberikan rakyat sejak 2008 dan akan meneruskan kecemerlangan Selangor agar pentadbiran di negeri ini memperoleh keberkatan Allah SWT," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140728/po_01/MB-Nik-Aziz-pertahan-Hadi#ixzz38rMVrVTw 
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate