Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

04 Julai 2014

Kenyataan Media @TengkuAdnanReal Jawab Isu Pengemis

KENYATAAN MEDIA

YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN
"KERAJAAN SERIUS TANGANI MASALAH PENGEMIS DAN GELANDANGAN DI KUALA LUMPUR"

Merujuk kepada masalah gelandangan dan pengemis yang masih berterusan di ibukota Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memandang serius mengenai perkara ini dan ingin menjelaskan beberapa perkara iaitu:

Masalah gelandangan telah menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi-lokasi tumpuan pengunjung/pelancong. Mereka tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit.

Manakala golongan pengemis pula kebanyakannya meminta sedekah di hadapan kompleks perniagaan, tepi-tepi jalan dan sebagainya. Kedua-dua faktor ini bukan sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang pelbagai masalah lain seperti sosial; keselamatan; menjejaskan imej Kuala Lumpur dengan pandangan kurang elok jika dilihat oleh pelancong. Menurut siasatan oleh pihak berkuasa, didapati terdapat sindiket yang beroperasi membawa golongan ini untuk mengemis di ibukota terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Mengemis juga seolah-olah telah dijadikan sebagai satu kerjaya yang mendatangkan hasil yang lumayan. Malah, terdapat diantara pengemis yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa menginap di hotel-hotel berdekatan dengan tempat mereka mengemis;

Bagi tahun 2013, operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengangkut sejumlah 965 orang gelandangan dan didapati 125 orang daripada mereka adalah pendatang asing . Pada tahun 2014 (sehingga Mei) sejumlah 117 orang gelandangan telah berjaya diangkut menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dan didapati 21 orang daripada mereka adalah pendatang asing.

Masalah gelandangan ini menjadi semakin rumit apabila mereka mempunyai
kumpulan masing-masing yang menguasai kawasan tertentu. Masalah timbul apabila mereka berebut kawasan dan berlaku pergaduhan diantara mereka;

Antara faktor yang menyumbang kepada masalah gelandangan ialah tiada pekerjaan, miskin, masalah mental/kemurungan,/penyakit melarat, warga asing tiada pekerjaan, ketidakupayaan mengurus diri, ditinggalkan keluarga serta penagihan dadah/arak/bekas banduan dan warga emas.

Kawasan "Hot Spot" masalah gelandangan di Kuala Lumpur ialah Mydin Kotaraya; Masjid Negara; Central Market; Menara Maybank; Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Jalan Tiong Nam (Chow Kit), Jalan Silang, Masjid Jamek, Bank Negara, Bulatan Sultan Mohamad dan Dataran Merdeka.
Antara pendekatan strategik yang akan dilaksanakan bagi menangani masalah gelandangan ialah Pelaksanaan Zon Sifar Gelandangan iaitu 2.0 KM Radius bermula daripada Simpang Empat Lot 10. Pemilihan kawasan ini adalah berasaskan kepada aspek tumpuan pelancong, kawasan perniagaan dan berada di pusat Bandar Kuala Lumpur.

Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di kawasan ini dengan mengenakan denda dan bayar serta merta (terhadap mereka yang memberi makanan dan derma) serta melaksanakan proses "pungutan" terhadap gelandangan dan pengemis yang berada di kawasan berkenaan.

Pihak DBKL juga akan melaksanaan Perundangan Di bawah PBT di mana penggubalan undang-undang kecil akan dilaksanakan yang memberi kuasa kepada pihak DBKL untuk mengangkut golongan gelandangan dan pengemis yang berada di 2.0 km radius dan menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan selanjutnya seperti PDRM, Imigeresen; Jabatan Kebajikan Masyarakat; AADK dan pihak-pihak lain yang berkenaan.

Di samping itu, Kementerian Wilayah Persekutuan akan bekerjasama rapat dengan Agensi Kerajaan yang lain serta NGO-NGO yang berkaitan secara bersepadu bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan masalah ini dapat ditangani secara berkesan.

Sehingga kini, pihak DBKL telah mengenalpasti 12 NGO yang aktif memberi makanan kepada golongan gelandangan in
i mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti Pasar Seni; Dataran Kota Raya; Stesen Bas Klang, Masjid India; Masjid Negara; Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; Kota Raya; Pudu Sentral; dan Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini. Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.

KWP bersama dengan DBKL akan mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunan seperti konsep "Anjung Singgah" yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan seperti:

Menyediakan makanan yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut;

Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini;
Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini;

Menyediakan pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk maklumat diri, waris dan sebagainya;

Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri; dan

Menyediakan perkhidmatan kaunseling dan membantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

Justeru, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa kerajaan bertindak zalim dan tidak berperikemanusiaan, sebaliknya tindakan tersebut adalah bagi membantu golongan gelandangan dan pengemis ini dengan kehidupan yang lebih baik dan sempurna melalui perkhidmatan yang disediakan di 'Anjung Singgah'.

Usaha-usaha yang dilaksanakan ini juga adalah bagi memasti
kan keselesaan dan kesejahteraan warga kota sentiasa terpelihara serta aktiviti-aktiviti sindiket mengemis dapat dibanteras.

Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiauasaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan bersama dengan NGO-NGO ini pada hari Selasa (8 Julai 2014) bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Sekian, terima kasih.



TENGKU ADNAN BIN TENGKU ADNAN

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Blok 2, Menara Seri Wilayah, Presint 2, 62100 Putrajaya
Tel: 03-8889 7888 Faks: 03-8889 7957
Laman web: www.kwp.gov.my


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate