Selangor semakin celaru.
Berita terkini PKR seakan memberi kata-dua kepada MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, samada letak jawatan atau dipecat. Dan atas kata-dua itu disuakan pula pedang tekanan, bahawa apa yang dikatakan “salah-laku” Tan Sri akan didedahkan oleh parti…
Ini mengingatkan kita kepada pepatah Melayu, habis madu sepah dibuang…. Tan Sri bakal menjadi Hang Nadim dalam kisah “Singapura dilanggar todak”….dikorbankan atas kebimbangan “menggila” orang tertentu walaupun telah banyak berbakti dan menabur jasa.
Episod ini jika benar-benar berlaku akan menjadi catatan hitam dalam sejarah politik Selangor dan Negara kerana insan yang berkaliber, berkelayakan dan terbukti cemerlang…..dikorbankan demi kepentingan politik puak-puak tertentu.
Dalam lipatan sejarah Selangor, ada MB yang dikenakan undi tidak percaya, tetapi beliau diperlakukan demikian setelah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Ada MB yang disingkir setelah terlibat dengan skandal “Anak Raja” dan duit tunai berkilo-kilo, ada MB yang lari dari jawatan apabila terlibat dengan skandal sedarah daging.
Tetapi Tan Sri Khalid?
Kadang-kadang kita menyampah akan ungkapannya, tetapi benar juga kata-kata Tun Dr Mahathir , “Melayu mudah lupa”…..Rupanyan bukan Melayu Umno, Melayu lain-lain pun begitu juga semacam.
Betapa banyak yang Tan Sri telah korbankan untuk PKR, orang PKR yang lebih tahu. Betapa banyak yang telah ia sumbangnkan untuk Selangor, ramai yang maklum dan tahu. Tiba-tiba orang yang sebegini hari ini mahu disingkirkan, mahu ditendang mahu diterajang. Kita kata BN dan Umno buruk akhlak rupanya kita apa kurang.
Sebagaimana penegasan Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS, bahawa rekod Tan Sri di Selangor adalah baik dan rakyat Selangor selesa dengan beliau. Pandangan ini rupanya tidak penting, kalau betul pun, tidak relevan kerana yang penting sekarang adalah MB Selangor “wajar” ditukar. Anehnya pemuka-pemuka DAP yang sebelum ini berjunag atas dasar “meritokrasi” pun menumpang sekaki mahu singkirkan seorang yang dari segi meritnya paling layak duduk atas kerusi MB di Selangor.
Kalau kita sondol kemahuan rakyat, kita terjah diplomasi dan tolak ansur, kita letakkan kepentingan politik khasnya politik peribadi di atas, kewarasan di bawah, maka sesungguhnya tiadalah “politik baru” yang berjaya dicipta dan diperkenalkan, tetapi sekadar mengulangi dan memutar kembali lagu-lagu lama politik “kuno” Umno dan BN. Percayalah kita akan menjadi bahan jenaka dan ketawa rakan dan musuh, tiada lagi hormat pada kita.
Saya masih menaruh harap kewarasan dan rasional akan timbul, kesudahannya, PKR yang diterajui Dato Seri Anwar Ibrahim akan terbit dengan keputusan yang paling “magnanimous” yakni paling mulia dan bijak. Demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negeri Selangor, Tan Sri Khalid kekal MB Selangor sehingga berakhir penggal ini. Beliau pun sudah menyatakan sedia begitu.
Tetapi mungkin harapan itu terlalu tinggi, kerana realitinya politik adu-domba, politik cantas mencantas, politik kata-mengata dan politik periuk nasi masih kekal pekat melekat dalam hati sanubari kebanyakkan kita.
(Dulu Dr M mahu pecat Anwar atas kepentingan yang sama……kalau tak mahu berundur saya akan dedahkan keaiban anda, walaupun fitnah…..ahhh ulang tayang rupanya)
Roslan SMS atau Shahrir Mohd Shahrir (gambar kiri) adalah bekas Setiausaha Akhbar TUan Guru Haji Hadi Awang yang bekas YDP Pas Kelana Jaya.
Beliau dikatakan berperanan menyingkirkan geng Erdogan dalam PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan