Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

03 September 2014

Hasut keluar Malaysia: Polis ambil tindakan


LAHAD DATU 2 Sept. - Polis akan bertindak termasuk mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap 'dalang' dan pihak-pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan untuk menghasut rakyat negeri ini supaya membawa Sabah keluar dari Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung beberapa kenyataan itu yang disifatkan mampu menggugat keamanan, khususnya di Sabah.

"Kita (polis) tahu (mereka yang membuat kenyataan tersebut) dan akan melakukan tindakan. Kenyataan itu dianggap cuba menghasut masyarakat tempatan supaya membenci negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman; Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Festival Gasing dan Tamu Besar (Gata) Sipitang 2014 mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencadangkan supaya Sabah keluar dari Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, pasukan keselamatan telah pun mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut rakyat negara ini agar menuntut supaya Sabah keluar dari Malaysia.

Perkara sama turut dilontarkan beberapa pemimpin di negeri ini yang melihat cadangan itu sebagai hasutan untuk memporak-perandakan keharmonian Sabah.

Mohd. Bakri seterusnya memberitahu, semua pihak perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan negeri ini dan segera menghentikan hasutan atau usaha membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Sementara itu, sumber keselamatan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kebanyakan kenyataan hasutan tersebut bermotifkan politik dan disebarkan menerusi blog, media sosial termasuk diucapkan secara terbuka.

"Ini bagi meraih simpati dan menanam kebencian sesetengah kaum kepada kerajaan Persekutuan.

"Kita juga memantau beberapa laman blog dipercayai milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu terbabit," ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140903/dn_03/Hasut-keluar-Malaysia-Polis-ambil-tindakan#ixzz3CCm6u3X0 
© Utusan Melayu 


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate