Pengikut Blog Panglima

13 Oktober 2014

Utusan Malaysia : @ZulkifliNordin : Isu @Ulil Abshar: Desak kaji kedudukan Saifuddin @saifuddinabd cc @NajibRazak @Zahid_Hamidi




KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kerajaan didesak supaya mengkaji semula kedudukan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berikutan dikaitkan dengan diskusi membabitkan seorang aktivis Islam liberal dari Indonesia.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) berkata, ini ekoran aliran pemikiran, sikap dan tindakan Saifuddin yang dilihat sangat tidak sesuai, malah bercanggah dengan aspirasi dan gagasan wasatiyyah yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah katanya, langkah Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menghalang kemasukan aktivis tersebut, Dr. Ulil Abshar Abdalla daripada memasuki negara amat dipuji.

"Saya mengucapkan tahniah dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menghalang aktivis sesat, Ulil Abshar daripada memasuki Malaysia.

"Ini adalah satu tindakan proaktif yang saya percaya sangat dialu-alukan rakyat yang cintakan keamanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan tidak membenarkan tokoh liberal melampau dari Indonesia itu memasuki Malaysia bagi menghadiri satu diskusi meja bulat bertajuk 'Tantangan Fundamentalisme Agama Abad Ini' anjuran bersama Islamic Renaissance Front dan Yayasan GMM di ibu negara pada 18 Oktober ini.

Dalam pada itu, Zulkifli turut mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap individu dan pertubuhan yang terlibat dengan penganjuran aktiviti sesat tanpa mengira siapa atau kedudukan mereka.

Tambah beliau, fahaman sesat liberalisme agama dan pluralisme akidah adalah lebih bahaya daripada kumpulan seperti Al-Arqam kerana bersifat global serta mempunyai rangkaian antarabangsa yang jika dibiarkan boleh merosakkan kesucian Islam dan keharmonian antara agama.

"Kegiatan seperti ini mesti dibendung dari akar umbinya supaya tidak terus bercambah dan merosakkan keharmonian agama.

"Kita melihat ketegasan pihak berkuasa terhadap kumpulan Al-Arqam yang dirungkai sampai ke akar umbi menyebabkan kumpulan itu tidak boleh bernyawa lagi," tegasnya.



© Utusan Melayu (M) Bhd




Dr Ulil, pengikut Abu Bakar Bashir disekat

Posted on October 13, 2014, Monday


Oleh Agnes Tugong //

Kehadiran mereka undang protes, dikhuatiri jejas pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah

KUCHING: Pengamal Islam liberal dari Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla yang dijadual menghadiri beberapa program ceramah di ibu negara disekat daripada memasuki negara ini.

Arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Jabatan Imigresen bagi menyekat Dr Ulil yang dijadual memberi ceramah mulai 15 Oktober ini.

“Dr Ulil telah mendapat jemputan daripada beberapa organisasi dan NGO di negara ini untuk memberi ceramah dan menghadiri beberapa program.

“Namun kehadiran beliau telah mengundang protes dan jika beliau memberikan ceramah yang dianjurkan oleh NGO berkenaan ia akan merosakkan bukan sahaja akidah orang Islam tetapi akan menyelewengkan pegangan kita sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Atas sebab itu, maka saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menyekat Dr Ulil daripada memasuki negara ini sehingga didapati tidak membahayakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2014 di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid juga telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menghalang pengikut pemimpin Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) Abu Bakar Bashir daripada memasuki negara ini.

Menurut Ahmad Zahid, seramai 350 pengikut pemimpin berkenaan dijangka dibebaskan tahun depan selepas menjalani hukumuan di penjara Indonesia.

“Saya telah meminta PDRM untuk bekerjasama dengan pihak penguat kuasa Indonesia untuk tidak mengizinkan bekas-bekas pengikut JAT Abu Bakar Bashir ini memasuki negara dan menjadikan negara ini sebagai tempat untuk mereka memperluaskan (fahaman) militan mereka.

“Ini kerana Islam mengajar umatnya kesederhanaan dan saling hormat-menghormati dan bukannya bersikap militan yang cenderung menggunakan keganasan sebagai jalan singkat ke syurga seperti yang dilakukan oleh pengikut Abu Bakar Bashir,” katanya.

Turut hadir pada sidang media dan majlis itu semalam Timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Read more: http://www.theborneopost.com/2014/10/13/dr-ulil-pengikut-abu-bakar-bashir-disekat/#ixzz3FzsVJioh
Catat Ulasan