Pengikut Blog Panglima

10 November 2014

Akta Hasutan : @MuhyiddinYassin @Zahid_Hamidi @ShahrizatJalil @Khairykj Mahu Dikekalkan


Empat pemimpin besar UMNO telah menyuarakan pandangan mereka terhadap usaha untuk menghapuskan Akta Hasutan. Mereka ialah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Kanan UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.

Terbaru Wanita juga akan menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri untuk menyatakan bantahan terhadap usaha menghapuskan Akta Hasutan dengan sasaran sejuta tandatangan akan dikumpulkan dalam masa tiga bulan 



Mereka telah memberi kenyataan berhubung Akta ini dan ramai juga turut bersuara nada yang sama. Dalam perbincangan di kalangan profesional yang turut disertai bekas Ketua Polis Negara, Peguam, di aplikasi whatsapp dan telegram mereka juga turut menyokong agar Akta Hasutan ini dikekalkan. 

Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga turut menyuarakan nada yang sama agar ia dikekalkan demi keamanan http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=1073895 

Meskipun Kerajaan telah memberi jaminan ia akan dimansuhkan namun ia boleh difikirkan kembali berdasarkan situasi semasa di mana ia masih lagi relevan dengan situasi hari ini yang telah semakin mencabar ekoran kepesatan teknologi canggih dan aplikasi percuma yang turut memburukkan lagi keadaan.

Tidak mustahil pergaduhan antara kaum juga akan berlaku jika benteng terakhir untuk keamanan ini dihapuskan.

Justeru suara yang menekan agar ia dikekalkan ialah suara kepimpinan UMNO sendiri yang turut disambut oleh perwakilan dan rakyat marhaen. MB Kedah yang juga MT UMNO Datuk Mukhriz Mahathir turut membantah Akta Hasutan ini dimansuhkan dalam kenyataannya pada 27 September yang lalu. Berita klik sini


Kita berharap Presiden parti aka Perdana Menteri akan menimbangkan kembali hasrat untuk menghapuskan akta hasutan demi kebaikan masa panjang rakyat dan negara kita.


Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin:

MELAKA 27 Okt. – Akta Hasutan 1948 wajar dikekalkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat sebarang kenyataan yang menggores perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, adalah penting undang-undang yang mencegah perbuatan menghasut seperti Akta Hasutan dikekalkan dan sedikit pindaan perlu dibuat berikutan beberapa perkembangan mutakhir yang berlaku wajar ditangani segera.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini ada pihak cuba menghasut rakyat sehingga menimbulkan suasana tegang dalam hubungan kaum di negara ini termasuk yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Kita tidak boleh membiarkan sikap melampau segelintir pihak boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang kita kecapi selama ini, apatah lagi jika mereka semakin berani mempersoalkan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Antara yang disentuh adalah hak keistimewaan Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hak-hak sah bagi kaum bukan Melayu, kedudukan agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Bagi kerajaan tindakan sebegini tidak boleh kita kompromi walau sedikit pun dan pada hemat saya adalah penting Akta Hasutan dikekalkan sebagai satu bentuk kawalan yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.... Selanjutnya di sini



Naib Presiden UMNO :

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.
Beliau menarik perhatian bahawa atas desakan pihak tertentu sebelum ini, kerajaan telah memansuhkan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Sekarang mereka bagaimanapun (desak) nak mansuhkan Akta Hasutan juga…saya tidak fikir ada perlunya, sebab apa lagi yang kita tinggal (ada) untuk melindungi rakyat dan ketenteraman negara,” katanya.
Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas merasmikan perlepasan konvoi kembara bermotosikal sempena ulang tahun ke-75 Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata: “Tambahan, bila ia dihapuskan, semua fitnah, tohmahan dan kutukan yang dilakukan penghasut boleh dianggap dihalalkan walhal demokrasi kita tidak menuntut begitu.”
Ganti Ordinan Darurat
Ahmad Zahid berkata pemansuhan undang-undang tertentu sebelum ini dilihat telah menjurus kepada peningkatan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat.
“Malah, jika ditangkap dengan pertuduhan (pun), mereka (penjenayah) akan mencari aspek-aspek teknikal untuk melepaskan diri dan pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa biarpun mempunyai bukti kukuh,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata perbincangan terperinci akan dibuat berhubung undang-undang menggantikan Ordinan Darurat.
“Bagi melaksanakan dasar keterbukaan berhubung perkara ini, Kementerian Dalam Negeri, polis dan Jabatan Peguam Negara akan mengadakan majlis dialog bersama badan-badan bukan kerajaan, individu dan masyarakat umum untuk mengetahui maklum balas, input dan komen-komen,” jelasnya.
Konvoi selama tiga hari disertai 28 motosikal berkuasa tinggi dan empat kenderaan lain itu akan melalui perjalanan sejauh 400 kilometer dari Kuala Lumpur ke Queen Street, Singapura untuk menjejaki sejarah penubuhan Utusan Melayu.
-Bernama
selanjutnya klik sini 

Bagitu juga Ketua Wanita UMNO Malaysia:

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kerajaan diminta mendengar kebimbangan dan suara hati rakyat terutamanya kaum wanita dalam membantah cadangan penghapusan Akta Hasutan 1948.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, suara majoriti rakyat negara ini perlu diutamakan berbanding beberapa personaliti yang membawa agenda politik semata-mata.
Menurutnya, kerajaan tidak perlu takut untuk ke hadapan dalam mendengar suara majoriti tersebut demi menjaga kestabilan dan kese­lamatan negara.

“Sehubungan itu, Wanita UMNO hari ini sebulat suara menetapkan bahawa segala usaha untuk memansuhkan akta berkenaan perlu ditangguhkan.

“Ini kerana Akta Keharmonian Nasional tidak mencukupi untuk mengekang ancaman yang dapat mengganggu-gugat keselamatan rakyat di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Pemahaman Akta Hasutan 1948 di Hotel Seri Pacific di sini hari ini.

Program yang dijalankan secara tertutup anjuran Biro Perundangan dan Advokasi Pergerakan Wanita UMNO itu turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; peguambela dan peguamcara, Datuk Salehuddin Saidin dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia, Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Tambah Shahrizat, Wanita UMNO juga akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantah pemansuhan tersebut dalam masa terdekat.
Jelas beliau, pihaknya juga akan membuat pungutan suara dalam satu referendum sejuta tandatangan untuk diserahkan kepada Najib.

“Wanita UMNO akan mengumpul tandatangan bermula dengan kira-kira 19,000 cawangan UMNO di seluruh negara,’’ ujarnya.-Selanjutnya di sini



Khairy Jamaluddin mempertahankan penggunaan Akta Hasutan

Alasan KJ mempertahankan penggunaan Akta Hasutan dengan alasan Kerajaan boleh dikritik sekiranya rakyat merasakan tidak puas hati, namun kebebasan di negara ini ada hadnya, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Katanya, tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 terhadap beberapa aktivis mahasiswa juga disebabkan perlakuan mereka mengeluarkan kenyataan sensitif dan menyentuh asas negara ini.
“Akta Hasutan tidak hanya mensasarkan belia sahaja, ia mensasarkan mereka yang menganggu gugat negara ini dengan kenyataan yang sensitif dan dianggap sebagai menghasut.
“Ada beberapa kes kenyataan itu jelas mempertikaikan asas negara kita,” kata Khairy di sidang media selepas merasmikan Kopiko Purple League di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau turut mempertahankan penggunaan akta itu terhadap beberapa individu termasuk kumpulan belia, dengan alasan “mempertahankan keharmonian negara”.
“Di dalam Malaysia kita kena terima hakikat, kita menjulang kebebasan sebagai hak rakyat, tapi di negara ini kebebasan itu datang dengan batas dan hadnya.
“Akta Hasutan adalah untuk mempertahankan keharmonian. Mahu kritik kerajaan tiada masalah,” katanya. Baca lanjut di  Malaysian Insider

Kenyataan Perdana Menteri

Najib ulangi pendirian mansuh Akta Hasutan




Najib ulangi pendirian mansuh Akta Hasutan
NAJIB: Kerajaan tidak akan membenarkan kebebasan tanpa tanggungjawab terutama dalam soal agama yang dianuti oleh semua rakyat, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan raja-raja Melayu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian pentadbirannya mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, lapor Bernama.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri perkara berkaitan agama dan bangsa tidak akan diabaikan dalam akta baru itu nanti.

Ini kerana kerajaan tidak akan membenarkan kebebasan tanpa tanggungjawab terutama dalam soal agama yang dianuti oleh semua rakyat, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan raja-raja Melayu.

"Kita mesti pertahankan... bukan kata ada (undang-undang) yang baharu ini, semua kita ketepikan... tetapi kita akan masukkan peruntukan-peruntukan yang lebih sesuai," katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di Jerlun, Kedah.

Menurut Najib, setiap kebebasan dan keterbukaan ada batasnya dan terikat kepada prinsip kebertanggungjawaban sebagai asas pertimbangan yang matang termasuk di media sosial.

Katanya, kerajaan memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara termasuk menegur pemimpin tetapi harus ada batas, jangan sampai merosakkan keamanan dan keharmonian negara.

"Saya nak beri amaran, sesiapa cuba menggugat keamanan, undang-undang sedia ada akan digunakan. Perkara ini memang dikuatkuasakan," katanya.

Kenyataan ini Najib ini menyusul siasatan dan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin politik Pakatan Rakyat di bawah Akta Hasutan 1948 sejak dua minggu lalu. Pada minggu ini, pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azmi Sharom didakwa di bawah akta yang sama manakala wartawan Malaysiakini, Susan Loone ditahan untuk siasatan dan kemudian dibebaskan pada Khamis.

Pada Jumaat, bekas pemimpin mahasiswa, Safwan Anang dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur setelah sabit tuduhan menghasut berhubung satu ucapan pada 13 Mei 2013.

Najib pertama kali membuat pengumuman memansuhkan akta itu dalam satu ucapan pada Julai 2012.

"Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama," katanya ketika itu.


Catat Ulasan